Selangor Intelligent Parking (SIP) Tender tak telus, kuasa PBT dikebas kerajaan negeri

Kerajaan Negeri Selangor telah mengumumkan pelaksanaan sistem Smart Parking atau dikenali Selangor Intelligent Parking (SIP) bermula tahun 1 Ogos 2025 di empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Petaling Jaya (MBPJ), Subang Jaya (MBSJ), Shah Alam (MBSA) dan Selayang (MPS).

Pelaksanaan yang melibatkan pelaburan swasta bernilai RM200 juta itu akan dikendalikan oleh Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB), sebuah syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor (Incorporated) atau MBI.

Menurut kenyataan kerajaan negeri, peralihan sistem  bertujuan untuk menyeragam dan menambah baik pengurusan parkir, mengurangkan pertindihan sistem dan menawarkan pengalaman pengguna yang lebih lancar melalui penguatkuasaan parkir masa nyata, integrasi pembayaran digital serta sistem yang lebih stabil dan responsif.

Matlamat tersebut kedengaran rasional namun langkah tidak cermat ini telah mengundang banyak persoalan besar serta polemik baru mengenai ketelusan tadbir urus kerajaan negeri.

Ramai pihak kini bertanya, kenapa projek ini tidak melalui proses penyerahan tender yang tidak telus?

Kenapa RMSB yang dimiliki kerajaan negeri sendiri dipilih? Malah kenyataan tidak konsisten oleh Exco Kerajaan Tempatan, Ng Suee Lim yang pada awalnya mengakui tiada tender kemudian menyebut ada 26 cadangan diterima melalui RFP (Request for Proposal).

Namun tiba-tiba mengumumkan MMKN sudah memutuskan pelantikan RMSB untuk mengambil alih sepenuhnya projek ini. menambah lagi rasa sangsi rakyat. Langkah ini bukan sahaja menimbulkan keraguan tentang niat sebenar kerajaan negeri, bahkan memberi gambaran seolah-olah kepentingan rakyat bukanlah keutamaan utama.

Isu ini tidak boleh dilihat kecil kerana ia menyentuh soal integriti, ketelusan dan kuasa tempatan. Justeru, dalam artikel ini dua perkara utama akan dikupas.

Pertama, isu ketidaktelusan tender Smart Parking dan kedua, kesan keputusan ini terhadap pengurangan kuasa PBT. Kedua-duanya mempunyai implikasi besar terhadap rakyat Selangor.

Proses Tender Tidak Telus

Ketelusan dalam proses tender kerajaan bukanlah satu pilihan, ia satu kewajipan bagi menjamin tadbir urus yang baik. Namun dalam kes smart parking Selangor ini, ramai pihak terus mendesak kerajaan negeri agar berterus terang tentang proses penyerahan tender yang telah dibuat.

Kenyataan demi kenyataan yang bercanggah oleh Exco yang bertanggungjawab juga harus dijelaskan agar rakyat tahu bahawa projek ini telah melalui proses tender terbuka atau sebaliknya.

Ramai juga pihak menyeru kerajaan negeri agar menjalankan proses tender terbuka dalam penyerahan projek besar ini. Proses ini secara asasnya amat didokong oleh kerajaan Madani kerana mampu memberi peluang kepada semua syarikat yang layak untuk membentangkan teknologi dan harga terbaik.

Malah jika benar mahu berkhidmat untuk rakyat, apa salahnya memilih cara terbuka supaya rakyat mendapat perkhidmatan paling baik dengan kos paling rendah?

Berdasarkan jawapan bertulis kerajaan negeri Selangor semasa sidang DUN Selangor sesi ketiga, tahun 2013, RMSB ditubuhkan untuk melaksanakan dan mempromosikan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) bukan untuk menjalankan projek komersial besar seperti kutipan hasil parkir.

RMSB juga bergantung sepenuhnya kepada geran kerajaan negeri sebelum ini. Namun, apa yang peliknya, RMSB kini diangkat untuk mengendalikan sistem parkir yang menjanjikan aliran kewangan besar.

Tindakan ini sudah tentu menimbulkan persepsi bahawa kerajaan negeri lebih mengutamakan keuntungan syarikat milik mereka sendiri berbanding kepentingan rakyat.

Walaupun RMSB dimiliki kerajaan negeri, ia tetap sebuah syarikat yang beroperasi untuk keuntungan. Maka setiap caj parkir dan saman yang dikutip, akhirnya akan menguntungkan syarikat itu dahulu sebelum rakyat mendapat apa-apa faedah.

Lebih teruk lagi, terdapat dakwaan RMSB akan menerima sehingga 50% daripada hasil parkir dan saman.

Apabila syarikat milik kerajaan negeri dilantik secara terus, ia membuka ruang besar kepada kronisme dan konflik kepentingan. Kerajaan membuat dasar, kerajaan juga uruskan projek. Maka, siapa yang akan menyelia hasil kerja projek? Sistem ini sudah pasti tidak sihat dan rakyat berhak tahu kenapa ia berlaku.

PBT Hilang Kuasa dan Hak

Selain isu tender, kesan paling serius ialah kuasa PBT diambil alih. Parkir bandar adalah salah satu punca hasil utama PBT. Hasil ini digunakan untuk membiayai kemudahan asas di kawasan bandar. Tetapi sekarang, kuasa itu telah diambil alih oleh kerajaan negeri melalui syarikat RMSB.

Mengikut undang-undang, PBT mempunyai kuasa penuh untuk mengurus operator sistem parkir di kawasan mereka. Namun, kerajaan negeri didakwa memaksa PBT menerima RMSB sebagai operator tunggal. Ini jelas mencabuli prinsip autonomi PBT.

Apabila semua hasil parkir masuk ke dalam kantung syarikat negeri, PBT kehilangan pendapatan penting. Akhirnya PBT terpaksa bergantung kepada kerajaan negeri semula untuk mendapat dana. Ini bukan sahaja melemahkan PBT, malah menjadikan mereka hilang kuasa membuat keputusan untuk kepentingan kawasan masing-masing.

Satu lagi kesan ialah hubungan antara rakyat dengan PBT akan renggang. Ini boleh terjadi sekiranya aplikasi Smart Parking tidak mesra pengguna, harga parkir naik, atau sistem sering gagal, rakyat akan menyalahkan PBT.

Tetapi hakikatnya PBT tidak lagi mempunyai kuasa untuk mengubah apa-apa. Kerajaan negeri pula dengan mudah melepaskan tangan.

Lebih membimbangkan, satu sistem pusat yang dikawal kerajaan negeri akan mengenepikan keperluan tempatan. Keperluan MBPJ mungkin tidak sama dengan MBSJ atau MPS. Namun semuanya dipaksa menggunakan satu sistem dan satu syarikat. Akhirnya rakyat menjadi mangsa kepada keputusan yang dibuat dari atas tanpa memahami realiti di bawah.

Tambahan pula, terdapat dakwaan bahawa kakitangan PBT yang sebelum ini mengurus parkir akan dikurangkan tugas tetapi tetap dibayar gaji, menyebabkan ketidakcekapan perbelanjaan dan pembaziran wang awam.

Kesimpulan

Intinya, kerajaan negeri mesti didesak untuk menjelaskan mengapa tiada tender terbuka dan kenapa RMSB yang dipilih menguruskan isu Smart Parking ini?

Dedahkan juga berapa lama kontrak diberi dan berapa banyak keuntungan kembali kepada rakyat? Siapa yang akan mengaudit pelaburan RM200 juta?

Dan yang paling penting, bagaimana nasib kakitangan PBT yang mungkin hilang peranan dan punca pendapatan mereka? Tanpa penambahbaikan seperti audit bebas, pendedahan dokumen dan proses terbuka, projek ini hanya akan menjadi satu lagi contoh “piratisasi” yang meminggirkan rakyat.

Artikel telah diterbitkan di Malaysia Gazette

Picture of Hafizudin Yahaya
Hafizudin Yahaya
Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.2
Baca Artikel Penuh
2025.2
Baca Artikel Penuh
2025.1
Baca Artikel Penuh