Membanteras Keciciran Pelajar: Antara Janji dan Realiti

Isu keciciran pelajar terus menjadi cabaran utama dalam sistem pendidikan Malaysia. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada semalam sekali lagi menegaskan komitmen mereka untuk menangani masalah ini melalui pelbagai strategi intervensi dan inisiatif baharu. Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menyatakan bahawa kementerian akan memberi tumpuan kepada peningkatan enrolmen di peringkat sekolah menengah serta menangani jurang sosioekonomi yang menjadi faktor utama keciciran.

Walaupun usaha ini wajar dipuji, realitinya, tanpa tindakan yang lebih komprehensif dan pemantauan yang ketat, ia mungkin sekadar janji tanpa impak jangka panjang yang signifikan.

Faktor Sosioekonomi sebagai Punca Utama

Statistik menunjukkan bahawa golongan B40 mencatatkan kadar keciciran pelajar yang lebih tinggi berbanding kumpulan ekonomi lain. Ramai pelajar terpaksa berhenti sekolah bukan kerana kurangnya minat terhadap pendidikan, tetapi kerana faktor ekonomi yang mendesak mereka untuk bekerja dan menyara keluarga. Keadaan ini lebih ketara di kawasan luar bandar, di mana peluang pekerjaan yang terhad mendorong keluarga untuk mengutamakan keperluan ekonomi berbanding pendidikan anak-anak mereka.

Oleh itu, sebarang dasar menangani keciciran perlu merangkumi mekanisme bantuan kewangan yang lebih kukuh, termasuk elaun khas untuk pelajar daripada keluarga miskin bagi mengurangkan beban ekonomi mereka. Selain itu, dasar yang lebih fleksibel dalam sistem pendidikan perlu diperkenalkan, seperti pendidikan alternatif dan program pembelajaran berasaskan kemahiran yang membolehkan pelajar memperoleh pendapatan tanpa mengorbankan pendidikan mereka.

Akses Pendidikan yang Tidak Sekata

Selain faktor ekonomi, akses kepada pendidikan berkualiti juga menjadi isu besar yang menyumbang kepada keciciran pelajar. Infrastruktur pendidikan di kawasan luar bandar masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan sekolah di bandar. Kekurangan guru, kemudahan asas yang tidak mencukupi, dan akses terhad kepada teknologi serta internet menjadikan pengalaman pembelajaran tidak efektif, sekali gus menyumbang kepada ketidakhadiran pelajar. Pelajar di kawasan pedalaman sering kali perlu menempuh perjalanan jauh dan berbahaya untuk ke sekolah, menyebabkan mereka cenderung untuk berhenti sekolah.

Oleh itu, KPM perlu memberi penekanan kepada penambahbaikan infrastruktur sekolah luar bandar dengan menyediakan kemudahan seperti asrama, pengangkutan percuma, dan akses internet yang lebih baik.

Keberkesanan Dasar dan Pemantauan Berterusan

Walaupun pelbagai inisiatif diumumkan, keberkesanan dasar bergantung kepada pelaksanaan yang menyeluruh dan pemantauan berterusan. Kerjasama antara kementerian, sektor swasta, dan masyarakat setempat sangat penting dalam memastikan dasar ini benar-benar memberi kesan kepada golongan sasaran. Program seperti “Sekolah Selamat” dan “Guru Angkat” yang melibatkan komuniti dalam pemantauan kehadiran dan kesejahteraan pelajar perlu diperluaskan.

Selain itu, teknologi perlu dimanfaatkan untuk mengenal pasti dan mengesan pelajar yang berisiko tercicir melalui sistem data yang lebih efisien. Sistem pemantauan yang komprehensif ini akan membolehkan tindakan intervensi dilakukan lebih awal sebelum pelajar berhenti sekolah sepenuhnya.

Kesimpulan

Isu keciciran pelajar bukanlah masalah yang boleh diselesaikan dengan sekadar pengumuman dasar. Ia memerlukan pendekatan yang menyeluruh, termasuk bantuan ekonomi kepada keluarga B40, penambahbaikan infrastruktur sekolah luar bandar, dan sistem pemantauan yang lebih efektif. KPM telah mengambil langkah yang positif dalam mengenal pasti masalah ini, tetapi kejayaan sebenar bergantung kepada kesungguhan pelaksanaan dan keupayaan dasar untuk mencapai golongan yang benar-benar memerlukan. Pendidikan adalah hak setiap anak Malaysia, dan sebarang kelewatan dalam menangani masalah ini hanya akan memperbesar jurang ketidaksamaan dalam masyarakat.

Picture of Hafizudin Yahaya

Hafizudin Yahaya

Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.3
Baca Artikel Penuh
2025.3.14_Nexus_Hanisah Rahman_RM1
Baca Artikel Penuh