Penerbitan Majalah Elektronik

NEXUS +

Majalah Elektronik

Bil 02/2024

E-Majalah (NEXUS+) Edisi Kedua 2024

Pelbagai tajuk menarik diketengahkan dalam NEXUS+ edisi kali ini, antaranya kecerdasan buatan dalam membangunkan bandar pintar, pencernaan anaerobik terhadap sisa makanan yang bercampur unsur haram dan adaptasi pertanian padi di Malaysia. Tidak ketinggalan, tema pendidikan STEM turut diperkenalkan, sejajar dengan keperluan melahirkan generasi akan datang yang kompeten dalam bidang ini.

Peranan kami menyebarkan maklumat tidak hanya terhenti di majalah ini, kami juga berperanan aktif melalui dialog dan diskusi bersama pemain industri serta pembuat dasar.

Kami turut melebarkan peranan kami ini melalui kerjasama dengan individu dan organisasi dari rantau Asia Tenggara seperti yang ditunjukkan melalui penganjuran Persidangan Asia Tenggara Mengenai Keterjaminan Makanan dan Kelestarian (SEACOFSS) yang berlangsung November baru-baru ini. SEACOFSS menjadi medan untuk membincangkan isu-isu strategik berkaitan kelestarian dan keterjaminan makanan.

Bil 01/2024

E-Majalah (NEXUS+) Edisi Pertama 2024

Dalam dunia yang semakin menua, isu-isu berkaitan tenaga, iklim, teknologi, dan keterjaminan makanan menjadi semakin kompleks. Isu seperti ini perlu perhatian dan kesedaran masyarakat. Kebanyakan kita sebenarnya akan bertindak jika faham dengan isu. Namun kita memerlukan maklumat bersifat ilmiah yang boleh dicapai melalui bahasa yang mudah difahami. Malangnya kebanyakan isu hanya dapat menembusi sebilangan kelompok akibat penulisan yang terlalu bersifat akademik. Oleh itu, kesedaran terhadap isu seperti di atas tidak menyeluruh.

Menyedari kelompongan ini, Yayasan Strategik Lestari (YSL) ingin menyedarkan orang ramai melalui maklumat yang mudah difahami. Maka kami merealisasikan impian melalui penerbitan e-majalah, NEXUS+. Pada edisi awal ini, kami menumpukan tema seperti Tenaga Boleh Baharu, Perubahan Iklim, Keterjaminan Makanan dan Teknologi dalam Pertanian. Bahasa yang digunakan adalah Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris untuk tidak menyekat kreativiti dan keselesaan penulis.