Kerajaan telah menguatkuasa larangan penggunaan Gas Petroleum Cecair (LPG) atapun tong gas LPG bersubsidi di premis perniagaan di seluruh negara. Langkah ini bagi memastikan subsidi kerajaan akan dinikmati oleh pengguna domestik yang layak. Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) , kerajaan membelanjakan RM3.4 bilion pada 2024 bagi gas bersubsidi.
Membanteras Ketirisan dan Penyelewengan LPG Bersubsidi
Kerajaan telah melancarkan OPS GASAK pada 1 Mei 2025 sebagai usaha untuk membendung dan membanteras penyelewengan tong gas bersubsidi oleh sektor yang tidak layak dalam industri komersial dan perniagaan berskala besar. Sepanjang tempoh pelaksanaan operasi, sebanyak 66 kes telah direkodkan dengan jumlah rampasan RM 875 ribu. OPS GASAK turut melibatkan advokasi ke restoran, penjaja dan pengusaha dobi yang memiliki permit sah di bawah Peraturan-Peratusan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.
Kerajaan juga tidak berkompromi dengan mana-mana sektor seperti industri perkilangan, sektor F&B, penternakan, perkhidmatan dobi, restoran berskala besar dan rangkaian makanan yang menyalahgunakan gas bersubsidi bagi tujuan komersial. Malah sektor ini wajib memohon Permit Barang Kawalan Berjadual (BPKB) sekiranya menggunakan LPG melebihi 42kg pada satu masa.
Antara bentuk penyelewengan yang menjadi sasaran dalam OPS GASAK 2025 ialah kegiatan decanting secara tidak sah, iaitu pemindahan LPG secara haram daripada tong bersubsidi ke tong industri atau komersial. Aktiviti ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah amat berbahaya dari sudut keselamatan serta telah menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan akibat menyalurkan subsidi kepada pihak yang tidak layak. Dasar penggunaan gas bersubsidi adalah jelas iaitu mengikut perbezaan kategori pengguna dan LPG yang dibenarkan seperti berikut:
- LPG bersubsidi hanya dibenarkan untuk kegunaan isi rumah dalam bentuk silinder bersaiz 10kg, 12kg, dan 14kg;
- Silinder LPG bersaiz 50kg adalah khas untuk kegunaan industri dan tidak diberikan subsidi oleh Kerajaan; dan
- Terdapat silinder bersaiz 14kg yang tidak bersubsidi dikeluarkan oleh syarikat minyak (dengan perbezaan warna silinder) bagi tujuan pengguna industri
Implikasi Polisi: Apa Tindakan Susulan Kerajaan?
Peralihan penggunaan LPG komersial yang berharga sekitar RM65 hingga RM70 bagi silinder 14 kilogram (kg) berbanding RM26.60 hingga RM30 untuk gas subsidi akan menyebabkan peningkatan ke atas kos operasi yang ketara kepada penjaja dan peniaga kecil. Kenaikan sehingga 2.5 kali ganda itu dibimbangi mencetuskan tindak balas berantai dalam bentuk peningkatan harga makanan dan perkhidmatan harian sekaligus membebankan pengguna sebagai pihak akhir dalam rantaian pasaran.
Justeru, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) harus mempertimbangkan dan menilai semula langkah ini dari pelbagai sudut bagi mengelakkan beban berganda terutamanya nasib penjaja dan peniaga kecil. Golongan ini menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan, bukan mewah, dan perubahan mendadak dalam struktur kos boleh menjejaskan kelangsungan hidup mereka serta menekan kuasa beli rakyat.
Sehubungan itu, kerajaan disaran melaksanakan peralihan secara bertahap agar penjaja dan peniaga kecil mempunyai masa mencukupi untuk menyesuaikan kos operasi mereka. Bantuan bersasar juga perlu diperkenalkan bagi membantu golongan tersebut. Di samping itu, kempen pendidikan awam berkaitan rasional dasar ini perlu diperhebat supaya masyarakat memahami tujuan larangan tersebut manakala pemantauan harga makanan dan perkhidmatan pula harus diperkukuh bagi mengelakkan kenaikan harga yang tidak munasabah.
Kesimpulan
Sekiranya kerajaan tidak memperkenalkan langkah-langkah yang lebih inklusif dan bersifat mitigasi akan berlaku kebarangkalian di mana kenaikan harga barang secara. Ramai peniaga kecil dan mikro berisiko gulung tikar sekiranya mereka tidak mampu menampung kos operasi yang meningkat secara mendadak. Situasi ini juga boleh membawa kepada pengurangan pekerja oleh majikan sebagai langkah mengawal kos perbelanjaan, sekali gus meningkatkan kadar pengangguran dalam sektor tidak formal.
Kerajaan perlu mengambil iktibar daripada kesan penyasaran subsidi diesel yang secara langsung memberi impak kepada kos pengangkutan dan barangan keperluan asas baru-baru ini. Langkah sama terhadap LPG tanpa penyesuaian menyeluruh boleh mengundang tekanan sosioekonomi yang lebih luas.

