Kerugian Saham MAHB: Kerajaan Masih Berdolak Dalih?

Kerajaan sepatutnya melindungi keselamatan dan ekonomi rakyat daripada dikawal atau dipengaruhi oleh pihak luar. Namun, dalam isu Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), situasinya tidak mencerminkan prinsip tersebut. Kerajaan pula dilihat berdolak dalih daripada memberikan penjelasan yang meyakinkan kepada rakyat. Keputusan yang diambil seolah-olah memperjudikan kedaulatan negara dengan menyerahkan aset strategik kepada pihak luar, selain menggunakan duit rakyat untuk pelaburan yang merugikan.

Pada sesi perbahasan di Parlimen semalam oleh Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, mempersoalkan keputusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam urus niaga saham MAHB yang menyebabkan kerugian saham MAHB dalam tempoh yang singkat. Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, turut menyuarakan kebimbangan terhadap kewujudan individu berpengaruh dalam pembuatan keputusan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan. Situasi ini dilihat boleh mencetuskan persepsi tentang adanya ‘Co-Prime Minister’ dalam pentadbiran negara, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ketelusan dan tadbir urus kerajaan.

Kesan Kerugian terhadap Pencarum KWSP

KWSP sebelum ini menjual saham MAHB pada harga rendah sekitar RM5 hingga RM6 sesaham pada 2023, tetapi membeli semula dengan harga yang lebih tinggi, RM11 satu unit dalam tempoh yang singkat, malah melebihi harga pasaran ketika itu, RM10.86. Tindakan ini mengakibatkan kerugian kepada hampir 16.1 juta pencarum dengan nilai antara RM539 juta hingga RM696 juta. Sedangkan MAHB meraih keuntungan bersih RM543.17 juta pada 2023, meningkat 190% berbanding 2022, dengan hasil melonjak 57.2%, didorong oleh pemulihan trafik penumpang serta peningkatan pendapatan aeronautik dan bukan aeronautik.

Ahli Parlimen Ayer Hitam membangkitkan kekeliruan dalam keputusan KWSP, di mana syarikat itu hanya perlu meningkatkan pegangan sebanyak 14.3% untuk menswastakan MAHB. Namun, saham telah dijual lebih awal, menyebabkan KWSP terpaksa membeli semula 25% pegangan dengan kos tambahan yang sepatutnya boleh dielakkan. Keputusan ini turut dibantah oleh lima ahli Lembaga Pengarah Bebas MAHB, sekali gus mencerminkan kelemahan dalam perancangan pelaburan KWSP, ketelusan, dan tadbir urus dana rakyat.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang juga ada menegur dasar kerajaan yang bertentangan, dimana kerajaan menyokong Palestin tetapi membenarkan syarikat pro-Israel menguasai aset strategik negara. Walaupun alasan pelaburan infrastruktur diberikan, kerajaan sepatutnya bertegas dalam isu kezaliman terhadap rakyat Palestin, terutama ketika majoriti masyarakat antarabangsa menyeru pemboikotan syarikat berkaitan Israel.

Langkah Penyelesaian

Buat masa ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dijangka akan memulakan semakan dan siasatan menyeluruh tentang kerugian yang dialami oleh KWSP. Namun, untuk mengelakkan kesan buruk yang lebih besar, kerajaan perlu mengambil langkah lebih drastik dengan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi mengkaji transaksi luar biasa ini dan memastikan tiada salah guna kuasa dalam keputusan jual beli saham.

Kerajaan juga perlu membentangkan Kertas Putih di Parlimen untuk menjelaskan sebab penswastaan MAHB, terutama mengapa saham dijual murah walaupun syarikat mencatat keuntungan dan pemulihan trafik penumpang. Lebih membimbangkan, 30% pegangan diberikan kepada syarikat asing (GIP dan ADIA), menimbulkan kebimbangan terhadap kawalan aset strategik negara. Suatu mekanisme kawalan ketat terhadap pegangan asing perlu diperkenalkan untuk melindungi kedaulatan ekonomi.

Kesimpulan

Isu kerugian dalam urus niaga saham MAHB menimbulkan banyak persoalan mengenai ketelusan kerajaan dalam menguruskan aset strategik negara. Keputusan yang dibuat bukan sahaja merugikan dana pencarum tetapi juga menimbulkan kebimbangan terhadap tadbir urus korporat dalam syarikat berkaitan kerajaan.

Kerajaan perlu segera mengambil tindakan tegas, termasuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja dan membentangkan Kertas Putih bagi merungkai kontroversi ini. Tanpa ketelusan dan akauntabiliti, kepercayaan rakyat terhadap pengurusan dana awam akan terus terhakis, yang akhirnya boleh memberi kesan negatif terhadap ekonomi dan kestabilan negara.

Picture of Hanisah Abd Rahman
Hanisah Abd Rahman
Deputy Director of Research, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.2
Baca Artikel Penuh
2025.1
Baca Artikel Penuh
2025.1
Baca Artikel Penuh