Tarif Elektrik: Siapa Benar, Kerajaan atau Lim Guan Eng?

Kerajaan telah mengumumkan kenaikan tarif elektrik bakal berlaku pada separuh kedua tahun. Walau bagaimanapun, Perdana Menteri menafikan tarif asas elektrik di Semenanjung akan meningkat sebanyak 14 peratus. Selain itu, beliau turut memberi jaminan bahawa kenaikan yang  akan dilaksanakan pada Julai ini hanya melibatkan industri  dan golongan berpendapatan tinggi tanpa memberi kesan kepada 85 peratus rakyat negara ini. 

Apa yang memelikkan, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat, menyuarakan kebimbangan mengenai kenaikan tarif elektrik sebanyak 14 peratus. Beliau turut menyatakan kebimbangan Persatuan Kulim Kedah yang telah mengadu tentang kenaikan tarif elektrik secara mendadak pada 1 Januari 2025 sebanyak lebih 19 peratus. Lebih membimbangkan, persatuan tersebut memaklumkan bahawa mereka hanya diberitahu mengenai kenaikan tersebut pada 31 Disember 2024, iaitu sehari sebelum pelaksanaan.

Implikasi Kenaikan Tarif Elektrik Terhadap Harga Barang

Pengumuman ini telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat. Hal ini kerana peningkatan tarif yang dikenakan kepada pemain industri akan memberi implikasi kepada produk akhir. Pemain industri, termasuk sektor perkilangan, pemprosesan makanan, dan perkhidmatan besar, terpaksa menanggung kos operasi yang lebih tinggi dan ia akan menjejaskan pendapatan mereka. Jadi, untuk mengekalkan margin keuntungan, pemain industri akan memindahkan beban tersebut kepada pengguna melalui kenaikan harga barangan dan perkhidmatan bagi menampung kenaikan kos. Fenomena ini dikenali sebagai pemindahan kos kepada pengguna (cost pass-through), yang sering berlaku apabila kos operasi perniagaan meningkat secara mendadak.

Apabila harga barang meningkat, pengguna terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana akan terkesan secara langsung. Kuasa beli mereka semakin berkurangan kerana perbelanjaan harian tertumpu kepada barangan keperluan yang semakin mahal, termasuk makanan, utiliti, dan produk asas lain. Kesan domino ini boleh menyumbang kepada peningkatan kadar inflasi negara, yang pada akhirnya membebankan rakyat secara keseluruhan.

Komunikasi Kerajaan yang Tidak Selari

Menariknya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Bagan jelas bercanggah. Perdana Menteri menyatakan berlaku kenaikan namun peningkatan tersebut bukan 14 peratus. Walau bagaimanapun, semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Lim Guan Eng menyuarakan kebimbangan mengenai kenaikan tarif elektrik sebanyak 14 peratus. Kedua-dua kenyataan ini bertentangan satu sama lain. Situasi ini mencetuskan kekeliruan kerana maklumat yang disampaikan oleh pihak kerajaan tidak selari. Perdana 

Perbezaan maklumat ini menimbulkan persoalan sama ada komunikasi di antara kerajaan dan pemain industri telah dilakukan dengan telus dan berkesan. Ketidakseragaman dalam kenyataan ini bukan sahaja mengelirukan pemain industri, tetapi juga menggugat keyakinan rakyat terhadap pengurusan isu tarif elektrik. Jika kerajaan gagal menyampaikan maklumat yang konsisten dan tepat, ia boleh mencetuskan kebimbangan ekonomi yang lebih besar, selain menjejaskan kredibiliti kerajaan sendiri dalam menangani isu-isu penting yang melibatkan kos sara hidup rakyat serta daya saing industri.

Kesimpulan

Kenaikan tarif elektrik merupakan isu yang memberi kesan langsung kepada rakyat kerana ia berkait rapat dengan kos sara hidup. Peningkatan tarif ini boleh membawa kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, sekali gus membebankan pengguna, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa kenaikan tarif elektrik adakalanya tidak dapat dielakkan memandangkan kos bahan api semakin meningkat. Walaupun begitu, kerajaan perlu berkomunikasi secara telus dan jujur dengan rakyat tentang realiti sebenar mengenai rasional kenaikan perlu dinyatakan tanpa berselindung atau menggunakan retorik politik yang mengelirukan.

Picture of Masitah Ismail
Masitah Ismail
Penyelidik Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.2
Baca Artikel Penuh
2025.1
Baca Artikel Penuh
2025.1
Baca Artikel Penuh