PdPR Ketika Banjir Solusi atau Beban Tambahan?

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan di kawasan yang terjejas akibat banjir. Langkah ini dikatakan bertujuan memastikan pelajar tidak keciciran pelajaran mereka, terutama apabila banyak sekolah digunakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Walaupun niat ini kelihatan positif, pelaksanaannya menimbulkan persoalan besar. Adakah PdPR benar-benar mampu memenuhi keperluan pelajar dalam situasi darurat, atau adakah ia sekadar jalan mudah yang menambahkan beban kepada pelajar, ibu bapa, dan guru?

Realiti Sukar untuk Pelajar Terpinggir

PdPR telah dijadikan pilihan utama sejak pandemik COVID-19, tetapi kelemahannya semakin terserlah apabila digunakan dalam situasi banjir. Berdasarkan laporan, lebih 132 sekolah telah dijadikan PPS, menjejaskan ribuan pelajar yang perlu mengikuti PdPR di tengah cabaran logistik dan emosi akibat banjir. Malah, lebih 8,000 pelajar Tabika di Kelantan juga terkesan, menunjukkan skala masalah yang meluas.

Namun, pelaksanaan PdPR tidak mengambil kira realiti di lapangan. Kajian Khazanah Research Institute (KRI) menunjukkan bahawa lebih 37% keluarga pelajar di Malaysia tidak memiliki peranti yang mencukupi. Di kawasan luar bandar dan pedalaman, cabaran seperti akses internet yang lemah dan ketiadaan tenaga elektrik yang stabil memburukkan keadaan. Bagaimana pelajar yang keluarganya terpaksa berpindah akibat banjir dapat memberi tumpuan kepada pembelajaran dalam talian? Situasi ini tidak adil bagi pelajar daripada kumpulan B40 yang semakin ketinggalan kerana kekangan yang tidak dapat mereka kawal.

Ibu bapa turut terkesan, terutamanya mereka yang bekerja sambil cuba membantu anak-anak dengan PdPR. Bagi guru pula, kekurangan latihan dalam menyediakan pengajaran digital menjadi halangan besar untuk menjadikan PdPR lebih efektif. Ini menjadikan sistem ini sebagai pendekatan yang lemah dan tidak menyeluruh, sekali lagi menunjukkan kebergantungan kita kepada penyelesaian sementara tanpa perancangan jangka panjang.

Pemulihan Infrastruktur Sekolah: Cepat atau Sekadar Janji?

Dalam kenyataan terbaru, KPM memberi jaminan bahawa sekolah yang rosak akibat banjir akan dibaiki segera bagi memastikan sesi persekolahan tidak terganggu. Walaupun kenyataan ini wajar dipuji, realitinya sering kali tidak seindah yang dijanjikan. Rekod terdahulu menunjukkan bahawa banyak sekolah yang terjejas akibat banjir pada tahun sebelumnya masih belum dibaiki sepenuhnya. Contohnya, sekolah-sekolah di Kelantan dan Terengganu yang rosak akibat banjir tahun lalu mengambil masa berbulan-bulan untuk kembali beroperasi, menjejaskan ribuan pelajar.

Keadaan ini membangkitkan persoalan: Mengapa tiada pelan mitigasi yang lebih proaktif untuk melindungi sekolah di kawasan berisiko tinggi? Pembinaan sistem saliran moden, tembok perlindungan, atau pemindahan sekolah ke kawasan yang lebih selamat seharusnya menjadi keutamaan. Tanpa langkah seperti ini, banjir akan terus memusnahkan infrastruktur pendidikan setiap tahun, memaksa pelajar dan guru bergelut dalam situasi krisis yang berulang.

Kesimpulan

Banjir adalah cabaran yang berulang, tetapi kelemahan sistem pendidikan dalam menghadapinya tidak seharusnya menjadi norma. PdPR, walaupun dilaksanakan dengan niat yang baik, tidak dapat menggantikan keperluan pendidikan yang stabil dan menyeluruh. Kerajaan mesti mengurangkan kebergantungan kepada penyelesaian sementara dan sebaliknya mengambil tindakan konkrit untuk memperbaiki infrastruktur pendidikan serta memastikan pelajar, terutamanya yang terpinggir, tidak terus menjadi mangsa kepada krisis ini.

Picture of Hafizudin Yahaya

Hafizudin Yahaya

Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.1
Baca Artikel Penuh
2025.1
Baca Artikel Penuh