Lawatan Trump ke Teluk: Pelaburan atau Pengkhianatan?

Lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, ketiga negara Teluk — Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan Qatar — pada ketika Gaza sedang dilanda krisis kemanusiaan, telah mencetuskan persoalan besar: adakah ini sebuah pelaburan strategik atau satu pengkhianatan terbuka terhadap nasib umat Islam? Ketika hospital Gaza dikepung, ketika bayi-bayi meninggal kerana kelaparan dan bom buatan Amerika menghujani Khan Younis, pemimpin-pemimpin Islam memilih untuk meraikan arkitek kepada penderitaan itu. Mereka bukan sahaja menjemput Trump dengan kemegahan, tetapi menyerahkan kekayaan negara masing-masing dalam bentuk pelaburan mega tanpa syarat, tanpa syarat untuk Gaza, dan tanpa syarat untuk keadilan.

Pelaburan Trilion Dolar yang Berdarah

Lawatan Trump ini bukanlah kunjungan biasa. Ia disambut dengan tawaran pelaburan yang luar biasa besar. Arab Saudi menjanjikan lebih $600 bilion, UAE pula tampil dengan komitmen $1.4 trilion, manakala Qatar mengejutkan dunia dengan menghadiahkan jet peribadi bernilai $400 juta kepada Trump. Kesemua ini berlaku dalam suasana di mana umat Islam, khususnya di Palestin, sedang menderita akibat dasar yang dilakar dari pejabat Trump sendiri. Tiada satupun daripada pelaburan ini dikaitkan dengan desakan ke atas kekejaman Israel. Tiada tekanan ke atas Washington. Tiada syarat untuk Gaza. Ini bukan pelaburan bersama, tetapi pembelian kesetiaan.

Motif di sebalik pelaburan ini lebih bersifat politik daripada ekonomi. Pemimpin Teluk faham bahawa Trump adalah presiden yang boleh ‘dibeli’, dan lebih penting lagi, seorang yang akan melindungi mereka daripada tekanan antarabangsa berkaitan hak asasi manusia, reformasi politik dan kritikan terhadap pemerintahan autokratik. Maka, pelaburan ini menjadi satu bentuk ‘insurans politik’ — pembayaran untuk kelangsungan kuasa mereka, bukan untuk kesejahteraan rakyat. Ini menjadikan ekonomi Teluk sebagai instrumen untuk menutup suara, bukan untuk membuka peluang.

Lebih mengecewakan, kekayaan ini digunakan untuk memperkasa musuh kepada umat Islam. Trump secara konsisten menyokong perluasan penempatan haram Israel, menyekat bantuan kepada Palestin, dan memberikan senjata yang digunakan untuk membedil Gaza. Namun dalam pertemuan dengan beliau, tiada seorang pun pemimpin Teluk yang meletakkan Palestin sebagai syarat atau keutamaan. Sebaliknya, mereka berlumba-lumba mengukir senyuman, memeteraikan perjanjian, dan memastikan hubungan peribadi mereka dengan Trump kekal ‘mesra’. Maka, persoalan muncul: adakah kekayaan ini benar-benar pelaburan masa depan, atau hanya tiket kepada kerjasama yang hina?

Trump sendiri tidak pernah menyembunyikan niatnya. “Tanpa kami, kerajaan Arab Saudi takkan bertahan dua minggu,” katanya. Dan sebagai respons, para pemimpin Arab terus membayar, terus memberi, terus menyerah. Ia adalah satu bentuk penghinaan terbuka. Bukan sahaja kepada rakyat mereka, tetapi kepada umat Islam seluruh dunia yang melihat Gaza dilupakan di tengah pesta pelaburan dan perniagaan.

Gaza Dibakar, Kekayaan Dicurah

Ketika dana beratus bilion disalurkan, Gaza menjadi titik paling malang dalam seluruh lawatan ini. Sembilan bom pemusnah bunker menghentam Hospital Eropah di Khan Younis, membunuh puluhan orang termasuk kanak-kanak. Wartawan Hassan Aslih mati ketika sedang dirawat. Pada hari yang sama, 56 warga Palestin terbunuh dengan majoritinya kanak-kanak. Namun ketika semua ini berlaku, tiada suara keras daripada Riyadh, Abu Dhabi atau Doha. Mereka lebih sibuk bergambar dan memeterai pelaburan yang sebahagiannya akan kembali ke poket peribadi Trump dan keluarganya.

Realitinya, Teluk telah menjadi syurga ekonomi keluarga Trump. Dari hotel mewah di Dubai, kelab golf eksklusif di Qatar, menara di Jeddah hingga pelaburan kripto dan harta di Amerika, segala-galanya dibina atas hubungan yang dibayar dengan dana negara Islam. Malah, menantu Trump, Jared Kushner, menerima $2 bilion dari Arab Saudi selepas tamat pentadbiran 2020. Kini giliran Trump sendiri mengutip ‘dividen’ dalam bentuk hadiah, pelaburan dan ruang niaga. Ia bukan lagi dasar luar tetapi ia adalah perniagaan keluarga. Dan Gaza? Hanya ‘gangguan’ kecil dalam rancangan besar mereka.

Yang paling menyedihkan, pemimpin Teluk sebenarnya memiliki kuasa untuk menekan Amerika. Mereka pernah memaksa Trump berunding dengan Houthi dan menghentikan sokongan ke atas perang Yaman. Namun untuk Gaza, mereka diam. Diam yang membeli masa mereka sendiri, tetapi membunuh masa depan Palestin. Diam yang menguntungkan Trump, tetapi memiskinkan umat.

Kesimpulan

Lawatan Trump ke Teluk membongkar wajah sebenar hubungan antara kekuasaan dan kekayaan dalam dunia Islam hari ini. Ia memperlihatkan bagaimana pemimpin Arab memilih untuk menjual pengaruh ekonomi mereka kepada seorang pemimpin yang terang-terangan memusuhi umat Islam, hanya demi kekal selamat di tampuk kuasa. Pelaburan ini bukan strategi pertumbuhan, tetapi strategi penundukan. Dan ketika dunia melihat mereka menyerah, Gaza terus terbakar — bukan hanya oleh bom, tetapi oleh pengkhianatan mereka yang pernah berjanji untuk membela.

Picture of Hafizudin Yahaya
Hafizudin Yahaya
Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.5
Baca Artikel Penuh
2025.4
Baca Artikel Penuh
2025.4
Baca Artikel Penuh