Kembalinya Donald Trump ke pentas ekonomi global dengan senjata tarif yang digilap semula bukan sekadar episod ulangan dalam sejarah. Ia adalah isyarat kepada dunia bahawa Amerika Syarikat (AS) bersedia mengorbankan prinsip perdagangan bebas demi cita-cita nasionalisme dan hegemoni kuasa besar. Terbaru, pengumuman Trump tentang pengenalan reciprocal tariff – tarif timbal balik – bukan hanya menggemparkan pasaran, malah mencabar kestabilan perdagangan global, termasuk bagi Malaysia.
Tarif Sebagai Senjata Ekonomi
Tarif bukanlah alat baharu dalam senjata ekonomi Trump. Semasa penggal pertamanya sebagai Presiden, beliau mempopularkan pendekatan protectionism dengan mengenakan tarif tinggi ke atas import dari China, Kanada, Mexico dan Kesatuan Eropah (EU). Rasionalnya mudah: lindungi pekerjaan rakyat Amerika, menggalakkan produk buatan tempatan, dan mengurangkan defisit dagangan. Namun realitinya, banyak kajian ekonomi menunjukkan harga barang pengguna di AS meningkat, manakala pasaran global berdepan ketidaktentuan.
Trump secara terbuka mendakwa bahawa “tariff is my favorite word” – mencerminkan kepercayaannya bahawa tarif adalah kunci kepada kebangkitan semula ekonomi AS. Bagi beliau, sistem perdagangan dunia selama ini telah “memperkosa” AS, dan sudah tiba masanya Washington “mengajar dunia” erti keadilan ala Trump.
Apa Itu Reciprocal Tariff?
Berbeza dengan tarif konvensional, tarif timbal balik yang diumumkan oleh Trump ini mempunyai kaedah pengiraan yang tidak lazim – dan dalam banyak kes, tidak logik. Dengan lantang, Rumah Putih mendakwa ini menggambarkan “halangan tarif dan bukan tarif” yang dihadapi AS.
Implikasinya sangat berat kepada negara-negara membangun. Contohnya, Madagascar – antara negara termiskin dunia – dikenakan tarif sebanyak 47%. Lesotho dan Kemboja pula masing-masing menerima tarif 50% dan 49%. Negara-negara ini menjadi “mangsa matematik” hanya kerana mereka tidak mampu membeli banyak barangan AS.
Malaysia juga tidak terlepas. Dituduh mengenakan 47% tarif ke atas produk AS – satu dakwaan yang telah dinafikan kerajaan secara rasmi – Malaysia kini termasuk dalam senarai negara yang akan dikenakan tarif tinggi bermula April 2025.
Reaksi Dunia
Negara-negara maju dan membangun telah memberikan reaksi pantas. EU mengumumkan pakej tindak balas. China menyifatkannya sebagai satu tindakan provokatif dan bersedia mengambil langkah balas. Jepun menyatakan kekecewaan dan mendesak pengecualian. Namun menariknya, Singapura memilih untuk tidak membalas – langkah yang menggambarkan pertimbangan strategik tertentu.
Malaysia pula mengambil pendekatan dua hala dan serantau. Dalam kenyataan rasmi, kerajaan Madani menegaskan bahawa reciprocal tariffs ini bercanggah dengan prinsip perdagangan bebas dan adil seperti yang termaktub dalam WTO. Sambil menolak dakwaan tarif berat sebelah, Malaysia menyatakan hasrat untuk meneruskan rundingan secara konstruktif.
Kesimpulan
Dalam dunia multipolar yang semakin mencabar ini, Malaysia tidak boleh tunduk kepada intimidasi perdagangan oleh mana-mana kuasa besar, termasuk AS. Meskipun AS merupakan antara rakan dagang terbesar kita, prinsip keadilan, kesaksamaan dan kedaulatan ekonomi mesti menjadi asas dalam rundingan dua hala.
Reciprocal tariff ini bukan hanya soal cukai – ia adalah simbol kepada perubahan peraturan permainan global. Dan Malaysia mesti bersedia menjadi pemain yang bijak, bukan mangsa yang diam.