Sidang Khas Parlimen 5 Mei: Suara Malaysia dalam Gejolak Ekonomi Global

Sidang Khas Parlimen pada 5 Mei 2025 berlangsung dalam suasana global yang bergelora apabila Amerika Syarikat mengumumkan tarif import baharu yang bersifat timbal balas terhadap hampir semua negara termasuk Malaysia. Tindakan ini bukan sahaja mencabar prinsip perdagangan bebas global, tetapi menguji ketahanan ekonomi negara yang bergantung tinggi kepada sektor eksport. Krisis ini menuntut tindak balas segera dan tuntas daripada kerajaan. Namun persoalannya, apakah kerajaan benar-benar bersedia? Sidang khas ini membuka ruang khususnya kepada pembangkang untuk berbahas mengenai cabaran, teguran serta saranan terhadap hala tuju pentadbiran dalam mendepani tekanan ekonomi antarabangsa ini.

Kesiapsiagaan MADANI – Perlu Kejelasan Strategi 

Dalam pembentangan Perdana Menteri semasa sidang khas ini, beberapa usaha penting kerajaan telah diketengahkan. Antara yang paling menonjol ialah penubuhan Pusat Tindakan Geoekonomi Negara, penyelarasan dengan negara-negara ASEAN, serta langkah rundingan aktif bersama Amerika Syarikat. Angka prestasi makroekonomi seperti pertumbuhan KDNK 5.1%, kadar pengangguran rendah, dan rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah negara juga menggambarkan asas ekonomi yang kukuh. Namun, di sebalik pencapaian ini, persoalan yang dibangkitkan oleh pembangkang ialah sama ada langkah-langkah yang diambil ini benar-benar bersifat menyeluruh, tangkas, dan berpaksikan kepada cabaran struktur jangka panjang.

Sebagai negara perdagangan terbuka, Malaysia terdedah kepada gelombang luar yang tidak boleh dijangka. Justeru, kita tidak boleh terlalu bergantung kepada pendekatan diplomasi semata-mata. Apa yang diperlukan ialah gabungan antara rundingan bijaksana dan rancangan tindakan domestik yang jelas termasuk menyenaraikan sektor yang paling berisiko, mengenal pasti perusahaan terjejas, dan menawarkan pelan sokongan serta pemulihan yang bersifat terperinci. Penubuhan jawatankuasa geoekonomi adalah langkah tepat, namun ia perlu diperkasakan dengan pelaporan yang lebih telus, disertai indikator keberhasilan yang boleh dinilai oleh Parlimen dan rakyat secara berkala.

Rakyat dan pemain industri memerlukan kepastian, bukan sekadar pengumuman am. Contohnya, pengumuman bantuan pembiayaan RM1 bilion kepada PKS adalah isyarat positif, namun impaknya hanya akan terasa jika disalurkan dengan cepat, telus dan bersasar. Banyak syarikat kecil dan sederhana sedang bergelut dengan ketidaktentuan tempahan eksport dan kos bahan mentah. Maka, pemantauan keberkesanan mekanisme ini amat penting bagi mengelak daripada menjadi sekadar reaksi jangka pendek yang tidak lestari.

Pada masa sama, kerajaan turut digesa agar dasar pengukuhan pasaran alternatif dan penyusunan semula sektor eksport diberi keutamaan sejajar dengan prinsip kepelbagaian strategik. Dalam dunia yang semakin berpecah dari segi geopolitik dan ekonomi, kebergantungan tinggi kepada satu kuasa dagang boleh membawa risiko sistemik. Malaysia harus melangkah lebih berani dalam mewujudkan rangkaian dagang baharu di bawah BRICS, RCEP serta negara-negara Afrika dan Asia Tengah. Dalam konteks ini, pelaburan dalam rantaian nilai domestik, insentif berasaskan inovasi tempatan, dan penjanaan nilai tambah tempatan harus dijadikan teras utama strategi MADANI agar negara terus berdaya saing di peringkat global. 

Suara Pembangkang – Tuntutan Reformasi Struktural 

MP Bachok, Tuan Haji Mohd Syahir Che Sulaiman, dengan tegas menyuarakan kegusaran rakyat bahawa kerajaan seolah-olah bergantung pada “diplomasi bersopan” tanpa pelan tindakan yang bersifat strategik dan jangka panjang. Beliau menegaskan bahawa krisis tarif ini memerlukan lebih daripada sekadar retorik kerjasama serantau. Krisis ini memerlukan peta jalan pembaharuan industri, dengan matlamat mengurangkan kebergantungan pada Amerika Syarikat secara berperingkat, dan membina daya saing sebenar.

MP Putrajaya, Dr. Radzi Jidin pula mempertikai ketelusan dan keberkesanan strategi pelaburan sedia ada. Menurutnya, 40% daripada dagangan negara dalam sektor E&E sebenarnya melibatkan syarikat asing yang memindahkan nilai ke negara asal. Malaysia menjadi sekadar pusat pemasangan tanpa kuasa menentukan hala tuju. Jika pelabur asing keluar akibat tekanan tarif, kita bukan sahaja kehilangan angka eksport, tetapi kehilangan ekosistem, peluang pekerjaan, dan prospek masa depan. Reformasi pelaburan mesti berpusatkan teknologi tempatan dan pemerkasaan inovasi dalam negara.

MP Larut, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, pula membidas sikap lambat kerajaan dalam menyusun semula dasar industri eksport negara. Beliau mempersoalkan mengapa tiada penekanan kepada strategi “domestikasi nilai tambah” dalam E&E, bioteknologi atau sektor aeroangkasa. MP Larut menyeru agar kerajaan memperkenalkan semula polisi insentif berasaskan pemindahan teknologi sebenar dan bukan sekadar menarik FDI tanpa kawalan.

Teguran pembangkang juga merangkumi desakan agar kerajaan segera memperkukuh jaringan dagang alternatif. Peluang pasaran di BRICS, Asia Tengah dan Afrika mesti dioptimumkan dengan lebih sistematik. Rakyat mahukan tindakan konkrit seperti perjanjian pelaburan dua hala (BIT), pelan logistik serantau baharu, serta pengurangan ketergantungan pada laluan perdagangan Amerika Syarikat. Malaysia harus dilihat sebagai pemain aktif, bukan hanya reaktif dalam percaturan global.

Kesimpulan

Krisis tarif ini bukan sekadar ujian ekonomi, tetapi ujian kepimpinan dan visi negara. Rakyat berhak melihat sebuah kerajaan yang bukan sahaja reaktif terhadap tekanan kuasa besar, tetapi juga mampu bertindak strategik, berani dan telus. Usaha kerajaan melalui kaedah diplomasi dan rundingan adalah tidak salah namun perlu mengambil kira prinsip ketegasan, ketelusan dan reformasi yang mampu menjamin masa depan Malaysia dalam sistem perdagangan global yang sedang berubah pantas. Malaysia harus menjadi negara dagang yang bukan sahaja berdaya tahan, tetapi juga berdaulat dan bermaruah di mata dunia.

Picture of Hafizudin Yahaya
Hafizudin Yahaya
Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.4
Baca Artikel Penuh
2025.4
Baca Artikel Penuh
2025.3
Baca Artikel Penuh