Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dianjurkan Malaysia pada tahun 2025 di bawah panji “Keterangkuman dan Kemampanan” dijangka menjadi medan penting untuk merangka hala tuju baharu serantau. Namun, dalam keghairahan membicarakan soal integrasi ekonomi digital, rantaian bekalan pintar dan pendigitalan sektor perkhidmatan, satu sektor strategik yang cukup asas iaitu pertanian masih belum diberi keutamaan sewajarnya dalam agenda besar ASEAN.
Pertanian: Sektor Strategik yang Terpinggir
Sejak beberapa dekad lalu, amatlah sedikit Persidangan Kemuncak ASEAN yang secara serius dan komprehensif membincangkan kerjasama pertanian serantau. Kecuali beberapa inisiatif kecil seperti ASEAN Integrated Food Security Framework atau jaringan penyelidikan agro-bio dan landskap kerjasama pertanian ASEAN dilihat bersifat reaktif dan bukannya strategik.
Ini cukup mengecewakan memandangkan sektor pertanian merangkumi lebih 30% pekerjaan di ASEAN dan menyumbang secara signifikan kepada KDNK banyak negara anggota seperti Myanmar, Laos dan Kemboja. Tambahan pula, krisis global seperti pandemik COVID-19 dan konflik geopolitik telah menunjukkan betapa rapuhnya rantaian bekalan makanan global. ASEAN sepatutnya telah lama mengambil kesempatan untuk membangunkan sistem pengeluaran makanan serantau yang lebih lestari, berdaya tahan dan berdikari.
Bagi Malaysia yang masih mengalami defisit bekalan makanan ruji seperti beras dan jagung, kerjasama pertanian rentas sempadan bukan sekadar satu pilihan dasar, bahkan merupakan satu keperluan strategik demi menjamin sekuriti makanan nasional.
Potensi Zon Ekonomi Pertanian Rentas Sempadan
Salah satu potensi yang kurang dimanfaatkan ialah pembangunan zon ekonomi pertanian di kawasan sempadan, khususnya di negeri-negeri seperti Kelantan dan Perlis yang bersempadan dengan Thailand, serta Sabah dan Sarawak yang bersempadan dengan Kalimantan.
Zon-zon ini bukan sahaja menawarkan tanah pertanian yang subur dan tenaga kerja kos efektif, malah berpotensi menjadi simpul penting dalam jaringan pengeluaran makanan serantau. Dengan perancangan yang rapi, Malaysia boleh melaksanakan model kerjasama rentas sempadan melalui ladang kontrak (contract farming) bersama negara jiran yang memiliki tanah yang lebih luas, sambil menjadikan wilayah sempadan sebagai pusat pengumpulan, pemprosesan, dan pengedaran makanan yang mematuhi piawaian halal dan keselamatan makanan antarabangsa.
Lebih penting, pendekatan ini boleh meletakkan Malaysia sebagai peneraju hab pemprosesan makanan, pertanian pintar, dan teknologi agromakanan digital. Infrastruktur pertanian negara yang lebih maju serta dasar halal yang mantap memberi kelebihan kompetitif yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya dalam rangka kerjasama ASEAN.
Ekonomi Kitaran: Masa Depan Pertanian ASEAN
Di tengah-tengah peralihan global ke arah ekonomi kitaran, sektor pertanian ASEAN wajar mengambil peranan lebih aktif. Model ekonomi linear (ambil-guna-buang) sudah tidak lagi mampan. Kesan perubahan iklim, kemerosotan tanah dan pencemaran menuntut pendekatan baharu yang lebih lestari.
Ekonomi kitaran dalam pertanian termasuk penggunaan biochar, sistem akuaponik, kompos organik dan tenaga boleh diperbaharui bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada sumber import tetapi juga meningkatkan produktiviti dan mengurangkan sisa. Negara-negara seperti Belanda dan Denmark telah membuktikan keberkesanan sistem pertanian regeneratif dan teknologi pintar dalam mencapai matlamat kelestarian jangka panjang.
Dalam konteks ASEAN, sistem perkongsian teknologi dan pelaburan dalam inovasi pertanian kitaran boleh menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi luar bandar, khususnya di negara-negara CLMV (Cambodia, Laos, Myanmar, Vietnam) yang masih bergantung kepada pertanian tradisional. Malaysia, dengan infrastruktur pertanian digital dan kepakaran dalam bidang halal, berpotensi besar menjadi pemangkin perubahan ini.
Kesimpulan
ASEAN tidak lagi boleh terus berdiam diri dalam hal pertanian. Perkara ini bukan hanya isu makanan, tetapi soal kelangsungan ekonomi, keterjaminan makanan negara dan keadilan sosial. Dalam masa dunia berbicara tentang “climate-smart agriculture”, ASEAN masih belum melahirkan satu agenda pertanian serantau yang menyeluruh.
Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, mempunyai peluang dan tanggungjawab moral untuk menstrukturkan semula naratif ini. Agenda pertanian perlu diletakkan di tengah pentas, bukan di pinggiran forum. Zon ekonomi sempadan seperti Kelantan dan Perlis di Semenanjung, serta Sabah dan Sarawak seharusnya menjadi pemacu dalam pelaburan berasaskan pertanian rentas sempadan.
Hanya dengan langkah berani dan anjakan strategi, ASEAN 2025 boleh menjadi titik tolak kepada era baharu dalam kerjasama pertanian serantau yang mampan, integratif dan berpaksikan kedaulatan makanan bersama. Namun melihat kepada pelancaran awal Sidang ASEAN 2025, harapan kepada kebangkitan sektor pertanian serantau hanya akan menjadi wacana yang terus dipinggirkan.