Sistem Stockpile Makanan Ruji: Jepun vs Malaysia, Siapa Lebih Bersedia?

Jepun kini berdepan dengan krisis makanan ruji yang luar biasa apabila kerajaan terpaksa melepaskan sebanyak 210,000 tan beras daripada stok kecemasannya. Langkah drastik ini diambil kerajaan Jepun bagi mengekang lonjakan harga beras yang hampir dua kali ganda dalam tempoh setahun. Pada Februari 2024, harga purata runcit bagi lima kilogram beras melonjak kepada 3,688 yen (kira-kira RM107.23) berbanding hanya 2,023 yen (kira-kira RM58) pada tahun sebelumnya.

Isu Penjualan Stok Beras di Jepun

Punca utama krisis ini berpunca daripada cuaca panas melampau pada 2023 yang menjejaskan hasil tuaian padi di Jepun. Keadaan bertambah buruk apabila rakyat mula melakukan pembelian panik selepas kerajaan mengeluarkan amaran kemungkinan berlakunya “gempa mega”, yang dijangka boleh mengganggu bekalan makanan. Namun, krisis ini bukan sekadar akibat faktor cuaca atau panik semata-mata. Ada peniaga yang dipercayai menyorok stok beras untuk mengambil kesempatan terhadap kenaikan harga.

Situasi ini akhirnya memaksa kerajaan Jepun bertindak. Kementerian Pertanian di bawah Menteri Taku Eto mengambil langkah melelong stok kecemasan beras bagi menstabilkan pasaran dan memastikan rakyat terus mendapat bekalan. Ini merupakan kali pertama dalam sejarah stok kecemasan Jepun digunakan bukan kerana bencana alam atau kegagalan tuaian semata-mata, tetapi kerana gangguan dalam rantaian pengedaran.

Menariknya, langkah ini hanya menjadi mungkin selepas pindaan dasar pada Januari 2024, yang membolehkan kerajaan Jepun melepaskan stok kecemasan sekiranya berlaku ketidakseimbangan pasaran. Namun, terdapat satu syarat—stok yang dilepaskan perlu dibeli semula daripada pembekal dalam tempoh setahun untuk memastikan rizab negara tidak menyusut secara berterusan.

Perbezaannya dengan Sistem di Malaysia

Jika Jepun mengawal sepenuhnya stok berasnya, Malaysia mengambil pendekatan berbeza dengan menswastakan pengurusan beras kepada Padiberas Nasional Berhad (BERNAS). Sebagai entiti tunggal yang memonopoli import beras dan pengurusan stok penimbal negara, BERNAS bertanggungjawab dalam memastikan kestabilan bekalan beras di pasaran Malaysia.

Perbezaan ketara antara sistem Jepun dan Malaysia terletak pada tahap penglibatan kerajaan. Jepun mempunyai kawalan langsung terhadap stok kecemasan dan hanya melepaskannya dalam keadaan benar-benar mendesak. Sebaliknya, di Malaysia, BERNAS yang mengawal stok penimbal, manakala kerajaan hanya berperanan sebagai pemantau dasar dan penguat kuasa harga.

Kesan daripada sistem ini, Malaysia lebih bergantung kepada keputusan komersial BERNAS, yang mungkin tidak selalu sejajar dengan kepentingan rakyat. Keuntungan boleh menjadi keutamaan berbanding keterjaminan makanan. Ini berbeza dengan Jepun, di mana kerajaan tidak bergantung kepada entiti swasta dan boleh bertindak lebih pantas dalam situasi darurat seperti krisis beras yang sedang berlaku.

Analisis dan Implikasi terhadap Malaysia

Krisis beras di Jepun memberikan gambaran yang signifikan tentang risiko yang dihadapi Malaysia sekiranya terus bergantung kepada entiti swasta dalam pengurusan makanan ruji. Antara cabaran yang paling ketara ialah soal ketelusan dan akauntabiliti. Apabila sebuah syarikat swasta seperti BERNAS mengawal import dan pengedaran beras, risiko keputusan berasaskan keuntungan semata-mata menjadi lebih tinggi berbanding keputusan yang berpaksikan kepentingan rakyat dan keterjaminan makanan negara.

Selain itu, kesan perubahan iklim terhadap pengeluaran padi tempatan di Malaysia turut menjadi cabaran yang perlu diberi perhatian. Jika Jepun yang memiliki kawalan langsung ke atas stok kecemasan pun menghadapi kesukaran menstabilkan pasaran, Malaysia yang bergantung kepada entiti swasta berdepan risiko yang lebih tinggi sekiranya berlaku gangguan bekalan akibat bencana alam atau cuaca ekstrem. Ketiadaan kawalan langsung kerajaan terhadap pelepasan stok beras juga berpotensi menyebabkan kelewatan dalam tindak balas sekiranya berlaku krisis.

Dalam konteks ini, Malaysia wajar menilai semula dasar pengurusan berasnya dengan menekankan aspek ketahanan dan keterjaminan bekalan. Perlu ada satu kerangka kerja yang memastikan kerajaan berperanan lebih aktif dalam memantau dan mengawal selia stok penimbal negara, serta memperkenalkan mekanisme kawalan harga yang lebih berkesan bagi melindungi pengguna daripada manipulasi pasaran. 

Kesimpulan

Krisis beras di Jepun menjadi satu pengajaran penting mengenai keterjaminan makanan dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan ketidakstabilan rantaian bekalan global. Perbezaan pendekatan antara Jepun dan Malaysia memperlihatkan kelebihan serta kelemahan sistem masing-masing. 

Jepun yang mengawal sepenuhnya stok kecemasan beras berdepan kesukaran menstabilkan pasaran dalam keadaan luar biasa, manakala Malaysia yang menyerahkan peranan tersebut kepada sektor swasta berisiko tinggi dalam aspek ketelusan dan keutamaan keuntungan. Sebagai langkah ke hadapan, Malaysia perlu memperkukuhkan dasar pengurusan makanan ruji dengan memastikan kawalan kerajaan yang lebih ketat terhadap stok penimbal serta membangunkan sistem pemantauan awal bagi mengesan gangguan bekalan agar krisis serupa tidak berulang.

Picture of Izzat Tuan Ibharim
Izzat Tuan Ibharim
Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.5
Baca Artikel Penuh
2025.3
Baca Artikel Penuh
2025.2
Baca Artikel Penuh