Isu Pencampuran Beras: Tanggungjawab Kerajaan Membanteras Penipuan Pengguna

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) baru-baru ini mengesahkan melalui analisis forensik DNA bahawa terdapat pencampuran ketara antara beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI) di pasaran. Hasil kajian ini membuktikan bahawa amalan percampuran beras bukan sekadar dakwaan, tetapi realiti yang menjejaskan integriti pasaran beras negara dan memberi kesan langsung kepada pengguna.

Akta Sedia Ada Mencukupi untuk Membanteras Penipuan

Selepas pendedahan ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, menyatakan bahawa amalan pencampuran beras telah berlaku sejak tahun 1970-an, kononnya bagi memenuhi cita rasa pengguna tempatan. Menteri juga menegaskan bahawa tiada peruntukan khusus di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) untuk mendakwa pihak yang terlibat dalam aktiviti tersebut, dan pihak kementerian sedang memperhalusi pindaan akta bagi menangani isu ini secara menyeluruh.

Naratif ini memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak berkuasa untuk membanteras penipuan ini tanpa pindaan akta. Walau bagaimanapun, pendekatan ini menimbulkan persoalan sama ada kerajaan benar-benar tidak mempunyai mekanisme sedia ada atau sekadar cuba melengahkan tindakan tegas.

Tanggapan bahawa kerajaan perlu menunggu pindaan akta sebelum bertindak adalah tidak tepat. Seperti yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, terdapat beberapa peruntukan undang-undang sedia ada yang boleh dikuatkuasakan bagi menyiasat dan mendakwa pihak yang terlibat. Antara akta yang boleh digunakan termasuk:

  1. Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) – Melarang penipuan dalam penglabelan dan keterangan produk, termasuk campuran bahan yang tidak dinyatakan.
  2. Akta Perlindungan Pengguna 1999 – Memberi perlindungan kepada pengguna daripada amalan perdagangan yang mengelirukan dan menipu.

Tambahan pula, MARDI telah membuktikan bahawa analisis forensik DNA boleh membezakan antara BPT dan BPI, menjadikan bukti saintifik ini sebagai asas kukuh untuk tindakan penguatkuasaan. Pun begitu, penambahbaikan pada Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 adalah sesuatu yang wajar bagi memperkukuhkan ketelusan dan akauntabiliti dalam sektor ini, namun ia tidak seharusnya menjadi alasan untuk menangguhkan tindakan tegas berdasarkan akta yang sedia ada.

Langkah Penyelesaian yang Boleh Dilakukan

Kerajaan tidak seharusnya menunggu pindaan akta untuk bertindak. Beberapa langkah segera boleh diambil bagi memastikan penyelewengan ini dibanteras:

  1. Penguatkuasaan Bersepadu – Menubuhkan pasukan petugas khas yang melibatkan KPKM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), MyCC, dan agensi berkaitan bagi melakukan pemeriksaan secara menyeluruh di kilang, pemborong dan peruncit.
  2. Peningkatan Kapasiti Makmal Forensik – Memperkasakan teknologi analisis DNA di makmal kerajaan bagi memastikan pemantauan berterusan terhadap sampel beras di pasaran seterusnya meningkatkan “traceability” rantaian beras negara.
  3. Ketelusan Data dan Aduan Pengguna – Menyediakan saluran aduan awam yang lebih efektif, disertai dengan laporan berkala mengenai hasil siasatan dan tindakan penguatkuasaan.
  4. Tindakan Tegas Melalui Akta Sedia Ada – Memulakan siasatan dan pendakwaan segera berdasarkan Akta Perihal Dagangan dan Akta Perlindungan Pengguna tanpa menunggu pindaan Akta 522.

Kesimpulan

Kerajaan mempunyai tanggungjawab moral dan perundangan untuk melindungi pengguna daripada eksploitasi oleh pihak industri. Pencampuran BPT dengan BPI secara tidak telus bukan sekadar isu teknikal, tetapi satu bentuk penipuan yang menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap sistem agihan makanan negara. Naratif yang menuding jari kepada amalan sejak 1970-an hanya mengelak tanggungjawab, sedangkan mekanisme sedia ada boleh digunakan untuk membanteras masalah ini.

Picture of Izzat Tuan Ibharim
Izzat Tuan Ibharim
Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.5
Baca Artikel Penuh
2025.3
Baca Artikel Penuh
2025.2
Baca Artikel Penuh