Isu kemasukan UiTM dibuka kepada bukan bumiputera menjadi perbincangan hangat di media sosial. Beberapa minggu lalu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) telah mencetuskan kontroversi dengan mengeluarkan sebuah kenyataan supaya UiTM mempertimbangkan untuk membuka program kardiotoraks kepada pegawai perubatan bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus dalam tersebut, malah, salah seorang Anggota Lembaga Program Parallel Pathway UiTM-IJN, Raja Amin Raja Mokhtar turut bersetuju dengan cadangan tersebut. Susulan daripada kenyataan tersebut, MPP UiTM Shah Alam telah mengadakan protes sebagai tanda tidak bersetuju terhadap desakan tersebut.
Isu ini juga mendapat perhatian daripada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir. Beliau telah mengeluarkan sebuah kenyataan rasmi berkenaan isu ini dan menegaskan bahawa kerajaan tidak bercadang untuk membuka UiTM kepada pelajar bukan Bumiputera selari dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Naib Canselor UiTM juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihak pengurusan tertinggi UiTM berpendirian untuk berpegang teguh dengan Akta 173, akta penubuhan UiTM dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Jika ditelusuri sejarah penubuhan UiTM, institusi tersebut adalah satu-satunya universiti yang ditubuhkan di bawah Perkara 153 Perlembagaaan Persekutuan yang bertujuan untuk membuka peluang kepada Melayu Bumiputera untuk melanjutkan pengajian ke menara gading.
Perkara 153 telah memberi Yang di-Pertuan Agong tanggungjawab untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah Sarawak, melalui pendidikan. Penubuhan UiTM juga selari dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), di mana dasar ini bertujuan untuk mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi dan sosial antara kaum di Malaysia. DEB telah menyasarkan 30 peratus penguasaan Bumiputera dan menubuhkan pelbagai agensi bagi menyokong dasar tersebut. Penubuhan UiTM kepada Melayu Bumiputera adalah bagi memastikan mereka dapat bersaing dengan kaum-kaum lain dalam bidang professional selain bagi mengimbangi dasar pecah dan perintah yang diamalkan oleh penjajah. Kesan dasar tersebut telah menyebabkan ketidakseimbangan ekonomi antara penduduk bandar dan luar bandar selepas Malaysia memperolehi kemerdekaan. Kawasan bandar dikuasai oleh kaum bukan Melayu manakala kawasan luar bandar pula diduduki oleh Melayu Bumiputera.
Idea penubuhan UiTM bermula dengan nama Dewan Latihan RIDA pada tahun 1956, yang diilhamkan oleh Dato’ Onn Ja’afar, kemudian UiTM berkembang menjadi Maktab MARA pada tahun 1965. Pada tahun 1965 hingga 1967 ia telah ditukar nama kepada Maktab MARA. Selepas itu, dinaiktaraf menjadi Institut Teknologi MARA (ITM) dengan penambahan program-program dalam bidang-bidang lain seperti sains, perniagaan, dan seni. Pada tahun 1999, ITM diisytiharkan sebagai universiti dan nama Institut Teknologi MARA berubah kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM). Sejak itu, UiTM terus berkembang dan kini menjadi salah satu institusi pengajian tinggi awam terbesar di Malaysia.
Melalui visi menjadikan UiTM sebagai universiti unggul bagi meneraju dinamisme bumiputera dalam semua bidang professional bertaraf dunia, UiTM komited menawarkan kursus pendidikan yang dapat memenuhi pasaran guna tenaga tempatan selain melahirkan lebih ramai graduan Melayu Bumiputera yang berkualiti serta berdaya saing dengan kaum-kaum lain dalam bidang professional. Ini adalah bagi memperkasa potensi orang Melayu Bumiputera yang tidak berkemampuan untuk melanjutkan pendidikan tinggi melalui hak keistemewaan yang diberikan di bawah Perkara 153. UiTM juga telah memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan tinggi di Malaysia, terutamanya dalam menyediakan peluang pendidikan kepada orang Melayu dan Bumiputera. Kepentingan UiTM boleh dilihat dalam tiga aspek:
- Pendidikan Berteraskan Kebangsaan:
UiTM memainkan peranan penting dalam memperkasa kedudukan sosioekonomi orang Melayu dan Bumiputera dengan menyediakan pendidikan tinggi yang berkualiti. Ini membantu meningkatkan taraf kehidupan dan memberikan peluang yang sama dalam bidang pendidikan kepada semua lapisan masyarakat. - Pengukuhan Identiti Kebangsaan:
UiTM juga membantu mengukuhkan identiti kebangsaan dengan mementingkan budaya, bahasa, dan warisan Melayu dalam program-program akademik dan aktiviti pelajar. Ini membantu memelihara dan memperkukuhkan warisan budaya Melayu dan Bumiputera. - Pembangunan Ekonomi:
UiTM menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dengan menghasilkan graduan yang berkualiti dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, sains, perniagaan, dan seni. Graduan UiTM membantu memenuhi keperluan tenaga kerja profesional dalam pelbagai sektor ekonomi.
Sepanjang penubuhan UiTM, negara telah menyaksikan sumbangan dan peranan institus dalam memperkasa pembangunan ekonomi negara dengan melahirkan graduan profesional dan pakar dalam pelbagai bidang. Selain itu, UiTM turut menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi orang Melayu dengan menyediakan peluang untuk pembangunan insan secara menyeluruh. Kewujudan UiTM sebagai institusi pendidikan tinggi sangat signifikan bagi memperkasa kedudukan ekonomi dan sosioekonomi orang Melayu. Melalui pendidikan tinggi yang berkualiti dan relevan, UiTM telah memberi sumbangan yang positif dalam pembangunan Malaysia pada jangka panjang.
Namun begitu, sehingga kini penguasaan ekonomi Bumiputera masih lagi tidak mencapai sasaran yang telah ditetapkan dalam DEB. Laporan Statistik Jabatan Kebajikan Malaysia 2016 mencatatkan bahawa sebanyak 59 peratus miskin tegar didominasi oleh Melayu Bumiputera. Memetik laporan dari Institut MASA 2019, penguasaan ekonomi bagi Bumiputera masih lagi tidak mencapai sasaran yang telah ditetapkan dalam DEB. Sehingga kini Melayu Bumiputera kadar peratusan penguasaan ekonomi Bumiputera adalah sebanyak kurang dari 20 peratus. Ini menunjukkan bahawa negara perlu memainkan peranan dan mengoptimumkan agensi sedia ada termasuk UiTM sebagai satu platform untuk memperkasa halatuju Bumiputera.
Sebagai kesimpulan, isu kuota kemasukan Bumiputera ke UiTM tidak seharusnya dipolemikkan oleh rakyat. Ini kerana UiTM telah memainkan peranan penting dalam memberikan peluang pendidikan tinggi kepada golongan Bumiputera, terutama mereka yang kurang berkemampuan. Dalam menjaga keharmonian negara, penting untuk memahami bahawa dasar ini bukan bertujuan mendiskriminasi tetapi untuk memperbetulkan ketidakseimbangan sejarah yang dialami oleh Bumiputera. Dengan mengekalkan objektif asal penubuhan UiTM, ia membantu memupuk kemajuan ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera, yang akhirnya menyumbang kepada kestabilan dan keharmonian Malaysia.