Keputusan kerajaan untuk menghentikan pemberian tol percuma semasa musim perayaan baru-baru ini dengan alasan mengurangkan beban kewangan negara dan menangani kesesakan lebuh raya perlu dikaji semula bagi memahami keperluan sebenar rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah.
Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan bahawa dasar lama yang memberi tol percuma semasa musim perayaan akan mengakibatkan kerajaan terpaksa menanggung pampasan RM35 juta sehari kepada syarikat konsesi lebuh raya serta tidak membantu menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya. Namun, kenyataan ini menimbulkan persoalan: mengapa rakyat yang perlu menanggung beban akibat keputusan yang lebih menguntungkan syarikat konsesi lebuh raya berbanding pengguna?
Bebanan Tambahan Kepada Rakyat
Golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) yang sering bergantung kepada lebuh raya untuk perjalanan jauh semasa musim perayaan akan menjadi golongan paling terkesan dengan perubahan dasar ini. Ketiadaan tol percuma bermaksud rakyat perlu menanggung kos tambahan untuk perjalanan semasa musim perayaan, di samping beban kewangan lain yang diperlukan bagi memenuhi keperluan perayaan.
Walaupun kerajaan beralasan bahawa dana yang dijimatkan daripada pemberian tol percuma akan digunakan untuk manfaat rakyat. Namun, tiada pelan jelas atau jaminan bagaimana penjimatan ini akan disalurkan kembali kepada golongan yang memerlukan. Adakah ia akan benar-benar digunakan untuk memperbaiki pengangkutan awam atau hanya menjadi satu lagi alasan untuk melindungi kepentingan syarikat konsesi?
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa subsidi perlu lebih bersasar kepada golongan B40 dan M40, dan bukan kepada pemilik kenderaan mewah seperti Rolls Royce dan Maserati. Namun, kenyataan ini hanya memperlihatkan retorik politik yang tidak menyelami realiti sebenar rakyat.
Penghapusan tol percuma tidak bermaksud hanya pemilik kereta mewah yang terjejas. Golongan pekerja, keluarga sederhana dan mereka yang ingin pulang ke kampung halaman kebanyakannya tidak memiliki kereta mewah pun akan turut merasakan beban ini.
Kaji Semula Keperluan Lanjutan Konsesi
Sejarah menunjukkan bahawa syarikat konsesi lebuh raya seperti PLUS telah menikmati keuntungan besar sejak permulaan operasi mereka. PLUS sebagai contoh, telah memungut tol sejak 1988 dan tempoh konsesinya telah dilanjutkan beberapa kali:
- Pada 1999, tempoh konsesi dilanjutkan dari 2018 hingga 2030 di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
- Pada 2004, pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi menambah lagi 8 tahun sehingga 2038.
- Pada 2019, pentadbiran Pakatan Harapan melanjutkan konsesi 10 tahun sehingga 2058.
- Terbaru, di bawah Kerajaan Madani, tempoh konsesi dilanjutkan lagi 10 tahun sehingga 2068.
PLUS dan syarikat konsesi lain terus menikmati keuntungan berbilion ringgit setiap tahun. Apakah mereka tidak mampu memberi sedikit kelegaan kepada rakyat dengan mengurangkan kadar tol semasa musim perayaan. Perkara ini juga dibangkitkan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang menyeru syarikat konsesi lebuh raya PLUS untuk menunjukkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menawarkan diskaun tol 50% semasa musim perayaan.
Menarik apa yang berlaku sewaktu pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, pengambilalihan PLUS daripada syarikat swasta dilakukan dengan menempatkannya di bawah Khazanah Nasional (51%) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (49%). Langkah ini memastikan setiap kutipan tol oleh PLUS disalurkan kepada kerajaan dan pencarum KWSP dan bukannya kepada pihak swasta.
Inisiatif ini sekaligus dapat menyederhanakan kadar kenaikan tol di samping memastikan pampasan tahunan dibayar bagi mengekalkan kadar tol yang tidak meningkat. Hasilnya, sepanjang tempoh pentadbiran Datuk Seri Najib, tol di lebuh raya di bawah pengurusan PLUS, termasuk Lebuhraya Utara-Selatan tidak pernah mengalami kenaikan. Tindakan ini mencerminkan bahawa banyak yang kerajaan boleh lakukan melalui mekanisme lanjutan konsesi tol supaya dapat dinikmati oleh rakyat secara langsung, berbanding memberikannya kepada syarikat swasta yang hanya memfokuskan keuntungan komersial.
Kesimpulan
Sebagai sebuah negara yang menghormati prinsip keadilan sosial, Malaysia perlu segera mengkaji semula dasar tol lebuhraya. Langkah-langkah berikut boleh dipertimbangkan kerajaan termasuklah:
- Penstrukturan Semula Konsesi Tol: Kerajaan perlu menyemak semula perjanjian konsesi dan mengehadkan tempoh yang dilanjutkan. Perjanjian yang lebih adil harus memastikan keuntungan syarikat tidak terlalu menekan rakyat.
- Pengangkutan Awam yang Berkualiti: Pelaburan besar perlu dilakukan untuk meningkatkan sistem rangkaian pengangkutan awam seperti Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Transit Aliran Massa (MRT) supaya ia menjadi alternatif yang efisien.
- Pengenalan Diskaun Tol Bersasar: Jika tol percuma tidak lagi diberikan, kerajaan harus memastikan sistem diskaun bersasar yang benar-benar membantu golongan B40 dan M40. Mekanisme ini boleh melibatkan penggunaan kad subsidi khas atau rebat perjalanan.
- Transparensi dan Komunikasi Awam: Kerajaan perlu lebih telus dalam menjelaskan bagaimana penjimatan daripada pemansuhan tol percuma akan digunakan untuk manfaat rakyat. Langkah ini penting untuk membina kepercayaan rakyat terhadap dasar-dasar yang dilaksanakan.
Keputusan untuk menghentikan pemberian tol percuma semasa musim perayaan adalah kelemahan dasar yang tidak mengambil kira impak sebenar kepada rakyat. Langkah ini, jika tidak disusuli dengan pembaharuan struktur yang kukuh, hanya akan memburukkan lagi ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat.