Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura kini terbuka kepada syarikat swasta selepas kerajaan menegaskan ia hanya boleh dihidupkan semula sekiranya terdapat penyertaan sepenuhnya daripada sektor itu dengan penglibatan kerajaan yang sangat minimum. Namun persoalannya, syarikat manakah yang mampu membiayai projek mega dengan anggaran kos RM110 bilion, iaitu sekali ganda daripada projek ECRL Pantai Timur.
Penarikan Diri Sektor Swasta
Sebelum ini, terdapat tiga konsortium utama pernah disenarai pendek untuk membida projek HSR Kuala Lumpur-Singapura, termasuk Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB)-IJM Construction-Berjaya Rail-Keretapi Tanah Melayu, YTL Construction-SIPP Rail dan sebuah kumpulan dari China yang diketuai oleh syarikat milik kerajaan, China Railway Construction. Namun pada 18 Disember lalu, MRCB menarik diri daripada konsortium mereka atas kebimbangan ketahanan jangka panjang projek ini.
Sementara itu, firma Jepun seperti East Japan Railway Co, yang pernah berhasrat memperkenalkan sistem kereta api peluru Shinkansen dalam projek ini turut membatalkan penglibatan mereka kerana menganggap risiko terlalu tinggi tanpa sokongan kewangan daripada kerajaan Malaysia.
Laporan terkini The Straits Times Singapura turut membangkitkan kebimbangan bahawa projek ini mungkin sukar untuk menjana keuntungan tanpa campur tangan kerajaan. Mengambil kira apa yang belaku di China, hanya laluan HSR seperti Beijing-Shanghai dan Guangzhou-Shenzhen yang mencatatkan keuntungan, sementara laluan lain memerlukan subsidi besar untuk menampung kos operasi. Dengan gabungan populasi sekitar 83 juta penduduk di kawasan-kawasan bandar kaya China, laluan KL-Singapura yang hanya memiliki pasaran seramai 14 juta penduduk jelas mempunyai cabaran yang jauh lebih besar untuk terus mampan.
Siapa yang Akan Mendapat Manfaat?
Meskipun projek ini berpotensi mengurangkan masa perjalanan kepada hanya 90 minit antara Kuala Lumpur dan Singapura, persoalan besar yang tetap tidak terjawab, “Adakah manfaatnya benar-benar seimbang antara kedua-dua negara?” Penganalisis Ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Dr Baharom Abdul Hamid menyuarakan kebimbangan sekiranya kerajaan terus ghairah meneruskan projek HSR, ada kemungkinan impaknya hanya menguntungkan Singapura semata-mata tanpa memberi pulangan optimum kepada rakyat Malaysia.
Perlu diingat bahawa projek HSR ini menawarkan kemudahan pengangkutan awam bertaraf premium dengan jangkaan caj tiket yang sangat tinggi, berkemungkinan hanya mampu dibiayai golongan atasan M40 dan T20 negara ini dan rakyat Singapura. Ini kerana HSR bakal menawarkan alternatif kepada laluan penerbangan antarangsa Changi-Kuala Lumpur yang merupakan laluan antarabangsa kedua paling sibuk di dunia. Maka pelaksanaannya perlu dilaksanakan dengan penuh teliti dan hati-hati kerana kesan akhirnya yang berpotensi hanya menguntungkan Singapura dan akhirnya menyebabkan lebih ramai pelabur di Malaysia berpindah ke Singapura, susulan kedudukan negara itu sebagai pusat kewangan dan perdagangan utama dunia.
Selain itu, penghijrahan pakar (brain drain) ke negara jiran itu perlulah menjadi satu penilaian sosial bahawa negara kita semakin kehilangan kepakaran yang menyukarkan negara mencapai taraf negara maju. Hari ini, hampir 1.1 juta rakyat Malaysia yang menetap di Singapura, manakala kira-kira 350,000 rakyat Malaysia berulang-alik setiap hari dari Johor ke Singapura untuk bekerja atau belajar. Perkara ini diburukkan lagi dengan kekurangan aliran masuk bagi menggantikan pakar tersebut, di mana yang masuknya ialah imigran kurang mahir manakala ekspatriat berkemahiran tinggi semakin menyusut saban tahun.
Kesimpulan
Buat sekarang, keperluan projek HSR ini bukanlah satu keperluan yang mendesak. Kerajaan Malaysia sebenarnya mempunyai keutamaan pelaksanaan projek infrastruktur awam lain yang lebih mendesak seperti pembinaan jaringan pengangkutan jalan raya lebih menyeluruh merentasi Pantai Barat-Pantai Timur. Begitu juga projek menaik taraf beberapa lapangan terbang komersial penting di negara ini. Buat masa sekarang, kajian kebolehlaksanaan HSR bolehlah dijalankan dahulu secara menyeluruh supaya tinjauan umum sama ada ia sesuai atau tidak dapat dilaksanakan.