Kerajaan kini berdepan tekanan hebat untuk menjelaskan keputusan mengambil kontrak pajakan 28 unit helikopter menerusi kontrak bernilai RM16.6 bilion bagi tempoh 15 tahun. Perkara ini dibangkitkan Ketua pembangkang, Hamzah Zainudin yang berkata jumlah kos itu sangat mahal jika dibandingkan dengan kos pembelian 32 buah helikopter yang dibeli Tentera Poland.
Menurut beliau, wujud skandal baharu melibatkan penyewaan helikopter jenis AW139 dan mendakwa ada individu tertentu yang mengaut keuntungan daripada kontrak ini. Walaupun tidak menyebutkan mana-mana nama, beliau berharap kerajaan memastikan perkara ini tidak berlaku, jikalau tidak maka kes seperti LCS akan berulang sekali lagi.
Kos yang Tidak Masuk Akal
Jumlah RM16.6 bilion untuk pajakan 15 tahun adalah angka yang mengejutkan, terutama apabila dibandingkan dengan pembelian terus yang jauh lebih murah. Sebagai contoh, Filipina membeli 32 helikopter Black Hawk dengan hanya RM3.8 bilion, manakala Poland membeli 32 helikopter AW149 dengan RM6.9 bilion. Ini menimbulkan tanda tanya besar, “mengapakah Malaysia perlu membayar kos yang berkali ganda lebih tinggi dengan hanya menyewa?”
Selain itu, jika kerajaan berpendapat dengan menyewa kerajaan tidak perlu mengira kos MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih), adakah ia benar-benar munasabah? Perkara ini dipersoalkan kerana menurut pengiraannya, kos menyewa untuk satu unit sebenarnya 2 kali ganda daripada kos membeli 1 unit yang dibuat negara lain. Jadi lebih baik kos MRO ini diberikan kepada pengusaha dalam negeri untuk memberi peluang pekerjaan yang lebih baik kepada rakyat tempatan.
Model pajakan juga bukanlah amalan biasa dalam perolehan ketenteraan Malaysia. Kebiasaannya, aset strategik seperti pesawat tempur dan helikopter dibeli terus oleh kerajaan kerana ia lebih menjimatkan dalam jangka panjang.
Lebih membimbangkan, kontrak ini diuruskan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri, bukankah Kementerian Pertahanan yang lebih berpengalaman dalam hal perolehan ketenteraan dan lebih mengetahui model helikopter manakah yang lebih baik untuk urusan keselamatan. Ini menimbulkan tanda tanya sama ada keputusan dibuat atas dasar keperluan pertahanan sebenar atau faktor lain yang tidak didedahkan kepada umum.
Pemilihan Model Helikopter Turut Dipersoalkan
Keperluan paling mendesak bagi penggunaan helikopter kerajaan ialah ketika menjalankan Operasi Bantuan Banjir. Jadi, pemilihan model helikopter mempunyai kesan besar terhadap operasi bantuan terutamanya dalam misi menyelamat, penghantaran bantuan, dan pemindahan mangsa. Jika kita mengambil keperluan menyelamatkan mangsa banjir, keputusan kerajaan memilih model AW 149 berbanding model EC725 yang selalu digunakan untuk operasi keselamatan juga boleh dipersoalkan.
Ini kerana helikopter model AW149 mempunyai kapasiti lebih kecil dan kemampuan jarak penerbangan yang lebih rendah berbanding model EC725 yang digunakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Sebagai helikopter pengangkut, ia mungkin kurang sesuai bagi operasi penyelamatan dan bantuan bencana, di mana keupayaan muatan dan jarak penerbangan lebih besar adalah kritikal.
Persoalannya di sini, jika keperluan sebenar adalah menggantikan EC725, mengapa kerajaan tidak mempertimbangkan model yang setara atau lebih baik? Adakah pemilihan AW149 benar-benar berasaskan keperluan operasi, atau ada faktor lain yang mempengaruhinya?
Kesimpulan
Persoalan utama dalam setiap perolehan besar kerajaan ialah siapa yang mendapat manfaat terbesar. Lebih-lebih lagi terdapat ura-ura bahawa syarikat yang dipilih pernah terlibat dalam menyediakan helikopter bagi kempen politik sebelum ini. Perkara ini perlu disiasat secara mendalam bagi memastikan tiada unsur salah guna kuasa atau kronisme dalam penganugerahan kontrak ini.
Jika sebelum ini sewaktu zaman Barisan Nasional (BN), pembelian 12 buah helikopter model EC725 dibeli bagi menggantikan Nuri dengan harga RM1.6 bilion boleh disiasat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Maka, tiada sebab mengapa perolehan helikopter ini tidak boleh disiasat dengan kaedah yang sama?
PAC perlu diberikan mandat untuk menyemak segala butiran kontrak termasuk kos, keperluan operasi, serta justifikasi pemilihan model dan syarikat pembekal. Siasatan ini bukan sahaja akan memberi penjelasan kepada rakyat, tetapi juga memastikan ketelusan dalam pengurusan dana awam.