Seramai 400,00 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendaftar bagi menduduki ujian bertulis menduduki ujian bertulis di seluruh negara hari ini. Ia kini merupakan satu-satunya ujian peperiksaan yang bakal diduduki pelajar Malaysia sebelum meneruskan pelajaran ke peringkat tertinggi ataupun menceburi bidang pekerjaan. Perubahan yang sering berlaku dalam sistem pendidikan Malaysia ini sebenarnya telah menimbulkan kecelaruan dan ketidakyakinan dalam kalangan pelaksana dasar, pendidik, dan masyarakat umum. Pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan perubahan dalam pengajaran Matematik dan Sains dari Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu merupakan contoh nyata bagaimana menggunakan murid-murid terpaksa menjadi mangsa percubaan akibat daripada dasar tanpa halau tuju yang jelas daripada kerajaan.
Rakyat Lebih Percaya Sistem Luar
Ketidakyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan Malaysia ini telah melahirkan satu cabaran besar buat negara, di mana rakyat tidak lagi menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan tetapi lebih berminat menghantar anak-anak ke sekolah antarabangsa. Peningkatan jumlah pelajar di sekolah antarabangsa bukan satu petunjuk positif terhadap ekosistem pendidikan negara sebaliknya ia suatu perkara yang patut dikhuatirkan.
Profesor Madya Sekolah Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Nottingham Malaysia, Dr Tricia Yeoh berpendapat bahawa trend ini sebenarnya mencerminkan penurunan keyakinan masyarakat terhadap kualiti pendidikan Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK). Malahan sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika di Parlimen mendedahkan berlakunya peningkatan kemasukan pelajar bumiputera di sekolah antarabangsa sebanyak 49.4% dari 2019 hingga 2024, manakala kemasukan pelajar bukan bumiputera di sekolah antarabangsa pula meningkat sebanyak 30.6% dalam tempoh sama.
Faktor ini berkait rapat dengan isu kurikulum yang tidak relevan, kekurangan guru berkualiti, dan persepsi negatif terhadap kebolehpasaran pendidikan tempatan, yang akhirnya mendorong ibu bapa untuk mencari alternatif di sekolah antarabangsa yang dianggap menawarkan pendidikan lebih baik serta peluang kerjaya yang lebih cerah untuk anak-anak mereka.
Keperluan Segera Menilai Dasar Sedia Ada
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) pernah mengumumkan bahawa akan ada semakan semula terhadap keperluan peperiksaan tahun enam dan tingkatan tiga berikutan ketiadaan peperiksaan ini mengakibatkan lambakan pelajar tidak mahir membaca, menulis dan mengira (3M). Namun, sebarang rombakan terhadap sistem peperiksaan tersebut masih lagi belum dibuat.
Tambahan lagi, perbincangan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini mendapati 3M menjadi antara punca 10,177 pelajar tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu. Tidak kurang juga yang mengatakan seolah-olah tiada keperluan untuk mengambil SPM berikutan pekerjaan gig seperti Grab, Foodpanda dan Lalamove menawarkan pekerjaan yang lebih baik berbanding pekerjaan yang memerlukan SPM.
Berikutan itu, KPM pernah mengumumkan untuk melakukan reformasi terhadap pendidikan negara termasuklah mengembangkan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan kejuruteraan dan matematik (STEM). Pendidikan TVET ini membolehkan pelajar mempelajari kemahiran teknikal yang berkaitan dengan bidang pekerjaan tertentu, manakala pendidikan STEM memperkukuhkan pemikiran kritikal, kreativiti, dan kemahiran analisis sains dan matematik yang dapat diaplikasikan dalam pelbagai bidang pekerjaan dan memenuhi keperluan industri.
Aspek pendidikan TVET dan STEM ini perlulah diterapkan bersama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan negara yang baharu berikutan pelan sedia ada akan berakhir pada 2025. Apatah lagi selepas keberhasilan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) dalam melaksanakan transformasi pendidikan di negara dilihat tidak mencapai tahap memberangsangkan dalam penilaian antarabangsa seperti PISA (Programme for International Student Assessment) dan TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study).
Kesimpulan
Kestabilan dasar adalah asas kepada kemajuan pendidikan. Dasar pendidikan perlu dikekalkan sekiranya terbukti memberi impak positif. Perubahan drastik tanpa kajian menyeluruh hanya akan membawa kepada kekeliruan dan membebankan pelaksana dasar serta membazirkan bertahun-tahun masa dan sumber yang dilaburkan bagi menyiapkan pelbagai pihak untuk menghadapi format yang baharu pula. Dalam memastikan kestabilan, kerajaan perlu belajar daripada kejayaan dan kegagalan dasar lampau, serta memberi keutamaan kepada keberkesanan jangka panjang.