,

Sejauh Manakah Impak Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) ?

Garis yang memisahkan antara dunia sains fiksyen dan alam realiti semakin kabur apabila hampir setiap hari ada sahaja pencapaian terbaharu dalam pembangunan teknologi. Bagi masyarakat global yang tidak mahu dilihat ketinggalan, mereka akan menggunakan jargon tertentu dalam perbualan korporat, persidangan antarabangsa dan kandungan kreatif di platform media sosial meskipun mungkin mereka tidak memahami sepenuhnya.

Antara jargon yang cukup popular ialah kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI). Syarikat OpenAI dan Google masing-masing telah membangunkan ChatGPT dan Bard; chatbot yang dapat berinteraksi seperti manusia, memberikan jawapan, menterjemah bahasa dan menjana idea baharu. Ini merupakan sebahagian contoh daripada ribuan aplikasi teknologi AI.

Istilah kecerdasan buatan mula diperkenalkan pada tahun 1956 semasa Dartmouth Summer Research Project on Artificial Intelligence yang mengumpulkan sekumpulan pengkaji daripada pelbagai bidang seperti matematik, sains komputer, psikologi dan kejuruteraan. Tujuan mereka hanya satu; untuk meneroka kemungkinan bagi mencipta mesin dengan kepintaran mirip manusia.

Meskipun persidangan ini tidaklah serta-merta menghasilkan robot humanoid atau kenderaan pandu sendiri tetapi ia merupakan titik masa yang amat penting bagi memungkinkan kemajuan teknologi AI yang ada pada hari ini.

A poster displaying the word 'how far does artificial intelligence effect our life

 

Manfaat Yang Dituai

Dunia telah menyaksikan tiga era Revolusi Industri. Bermula dengan penciptaan enjin stim, kemudian telegraf dan seterusnya komputer peribadi, AI boleh dianggap sebagai watak utama seterusnya untuk mempercepatkan metamorfosis industri yang bakal mencorakkan kerangka globalisasi pada masa hadapan.

Ketepikan sebentar impaknya terhadap perubahan iklim, kita masih bergantung kepada petroleum sebagai sumber utama tenaga. Syarikat tenaga multinasional USA, Chevron sudahpun menerapkan kecerdasan buatan dalam aktiviti cari gali mereka. Sebelum ini, ahli geologi perlu menggerudi puluhan telaga untuk mengumpulkan data takungan minyak. Menerusi aplikasi AI, bilangan telaga ini dapat dikurangkan secara drastik menerusi ramalan berdasarkan data lampau dan dipadankan bersama-sama data seismik sekali gus mengurangkan jejak karbon dalam operasi mereka.

Kecerdasan buatan turut berupaya mengubah pendekatan kita dalam kaedah saintifik untuk menjawab persoalan tentang masalah yang kompleks. Sekali lagi kita ambil perubahan iklim sebagai contoh permasalahan. Kita mahu menghasilkan satu bahan pelarut yang menyerap molekul karbon dioksida (CO2) dari atmosfera sekali gus memperlahankan peningkatan suhu global.

displaying how scientific method is done

Menurut Stacey Gifford, pengurus penyelidikan Future of Climate, IBM Research, teknik seperti natural language processing dapat digunakan untuk menghadam ribuan artikel jurnal dan mula menggariskan hubung kait antara pelbagai kombinasi bahan pelarut dengan tahap keberkesanannya. Teknik ini lebih efektif berbanding seorang saintis yang perlu membaca satu persatu artikel. Oleh itu, para pengkaji bukan sahaja boleh menjimatkan masa, malah hipotesis menarik yang belum pernah diterokai sebelum ini dapat dijana.

 

Kegawatan Yang Tergadai

Walaupun pada umumnya AI menawarkan potensi yang sangat besar kepada peradaban manusia, ia masih dibimbangi akan mudaratnya yang bukan kecil. Dalam kita mengejar kemajuan, pendekatan yang berhikmah perlu ditatang agar selaras dengan kaedah fiqh:

 

دَرْءُ الْمَفَاسِدِ مُقَدَّمٌ عَلَى جَلْبِ المَصَالِحِ

Maksudnya: Menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan. (Lihat al-Qawa’id al-Fiqhiyyah Baina al-Asalah wa al-Taujih, 2/12)

 

Perkara paling ketara apabila mana-mana teknologi baharu dibangunkan ialah tenaga buruh dalam bidang tertentu menjadi tidak relevan. Goldman Sachs mengunjurkan 300 juta pekerjaan di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah akan terjejas disebabkan oleh generative AI. Sekurang-kurangnya untuk jangka masa pendek mereka sukar untuk kembali ke pasaran kerja kerana memerlukan masa untuk menimba kemahiran semula.

Meskipun teknologi AI dilatih menggunakan ratusan terabait (Tb) data dan berpandukan berbilion parameter, namun ia masih digugat dengan kritikan. Hal ini kerana algoritma AI dilatih dan melakukan ramalan menggunakan data lampau yang berkemungkinan besar terdedah kepada sentimen yang sudah berakar dalam masyarakat seperti prejudis perkauman dan jurang kelas pendapatan. Kesannya, apa-apa saranan yang AI berikan sekadar mengukuhkan lagi sentimen itu.

Begitu juga timbul polemik representational bias di mana data terherot kepada kumpulan tertentu dan tidak menggambarkan situasi yang menyeluruh, seringkali mengorbankan kelompok minoriti. Herotan data akan memberi dampak langsung terhadap pembangunan polisi dalam sektor kritikal seperti kesihatan, keadilan sosial dan sebagainya.

Perlumbaan bagi menguasai pasaran teknologi AI turut kelihatan seperti didominasi oleh sebilangan kecil syarikat gergasi sahaja seperti Microsoft dan Google. Monopoli sebegini begitu berbahaya kerana wujud kemungkinan pemusatan pengaruh oleh mereka terhadap dasar awam dan aspek perundangan yang berkaitan. Mereka hanya mengutamakan keuntungan syarikat walaupun keselamatan dan privasi pengguna diabaikan.

 

Keseimbangan Antara Dua Kutub Perlu Digapai

Ketika ini, kita diumpamakan memiliki senjata berbahaya di sebelah tangan dan ubat penyembuh di sebelah tangan lagi. Di sini kerajaan memainkan peranan yang sangat penting dalam menyediakan kerangka perundangan yang ampuh berkaitan pembangunan dan pengaplikasian teknologi kecerdasan buatan. Hak individu perlu dilindungi menerusi sesi libat urus bersama-sama masyarakat sebagai satu proses yang demokratik.

Penulis turut berpandangan syarikat pembangun teknologi AI harus mewujudkan panel penasihat syariah sebagaimana pentingnya peranan mereka di institusi kewangan. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan mana-mana produk dan perkhidmatan mencabar status quo nilai moral dan batas agama dalam konteks Malaysia sebagai negara Islam.

Untuk memastikan pasaran buruh dapat beradaptasi dengan masa depan yang dipandu oleh kecerdasan buatan pula, industri, majikan dan institusi pendidikan perlu bergandingan untuk menjamin transisi yang saksama dengan menekankan pendidikan dan kemahiran semula.

Suatu hari nanti apabila AI berupaya berfikir dan melakukan tugasan persis manusia, adakah kecerdasan kita masih berharga?

 

Shauqi Johara,

Penyelidik,

Yayasan Strategik Lestari.

 

Rujukan:

1. Wikipedia (2023). Dartmouth workshop. https://en.wikipedia.org/wiki/Dartmouth_workshop

2. Stacey Gifford (2021). Can AI help climate change? https://www.youtube.com/watch?v=92yV9afmc38

3. Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (2023). Masa Depan Islam dan AI. https://zulkiflialbakri.com/22-masa-depan-islam-dan-ai/

4. Goldman Sachs (2023). Global Economics Analyst – The Potentially Large Effects of Artificial Intelligence on Economic Growth.

Picture of Shauqi Johara

Shauqi Johara

Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSIKAN ARTIKEL DI ATAS

LinkedIn
Facebook
Email
WhatsApp
Print

ARTIKEL BERKAITAN