Buat pertama kali dalam sejarah, bilangan kenderaan di Malaysia telah melangkaui populasi penduduk negara. Menurut Prof Dr Kulanthayan K.C. Mani dari Universiti Putra Malaysia, trend pertambahan populasi direkodkan pada kadar 300,000 hingga 400,000 setahun daripada 32.5 juta orang pada tahun 2019 kepada 32.6 juta orang pada tahun 2021.
Namun, kuantiti kenderaan yang didaftarkan meningkat sebanyak sejuta unit setiap tahun, daripada 31.2 juta pada tahun 2019 kepada 33.3 juta unit kenderaan pada tahun 2021. Kereta sahaja merangkumi 47.3% manakala motosikal 46.6% dan selebihnya ialah kenderaan perdagangan, bas, teksi dan sebagainya.
Sudah tentu perkara ini cukup menggusarkan kita melihatkan kesan domino daripada kebergantungan terhadap kenderaan persendirian merangkumi aspek alam sekitar, ekonomi dan kesejahteraan sosial.
Data daripada Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menunjukkan kenderaan darat sahaja menyumbang sekurang-kurangnya 15% daripada pelepasan karbon dioksida global. Ini belum lagi mengambil kira pembinaan sebuah kereta memerlukan sumber asli yang tinggi, di mana secara puratanya 900 kg keluli, 39 jenis plastik dan polimer malah sebiji tayar sahaja menggunakan 7 gelen minyak petroleum.
Rakyat kini terkongkong dengan gaya hidup yang terlalu bergantung kepada kereta sebagai mod pengangkutan utama mereka. Situasi ini akibat kelemahan polisi tertentu seperti pemberian subsidi petrol dan infrastruktur jalan raya.
Meskipun tidak dinafikan subsidi petrol meringankan kos sara hidup, tetapi rakyat semakin didorong agar terus berbelanja tinggi sehingga berlakunya peningkatan perbelanjaan berkaitan pengangkutan daripada 16.4% pada 2021 kepada 16.7% pada 2022, mengambil laporan Jabatan Perangkaan Malaysia.
Bagaimana pula infrastruktur jalan raya kita? Sekali lagi, rakyat terpaksa membayar dengan harga yang tinggi akibat keghairahan perancang bandar membina jaringan lebuh raya baharu saban masa.
Mereka tidak sedar, penambahan lebuh raya baharu yang lebih panjang dan lebar hanya menggalakkan lebih banyak kenderaan menggunakannya; satu konsep ahli ekonomi gelar sebagai “induced demand”. Kitaran kejam yang tiada pengakhiran.
Sebagai perbandingan, negara Malaysia berada pada kedudukan kedua tertinggi di rantau Asia Tenggara berkaitan pemilikan kereta walaupun populasi kita hanya pada kedudukan keenam.
Sampai bila kita mahu mengorbankan kesejahteraan rakyat daripada segi keselamatan, kewangan dan kesihatan mental? Kadar kemalangan jalan raya yang tidak pernah surut, semakin ramai diisytihar muflis akibat pinjaman kenderaan dan ditambah pula dengan tekanan menghadap kesesakan trafik.
Kita berhak dikemukakan dengan alternatif yang ampuh sebagai ganti kenderaan persendirian. Dan jawapannya tidak asing lagi – pengangkutan awam yang lebih berkualiti.
Malangnya, pengangkutan awam terutama di ibu negara seperti dianaktirikan. Kerosakan LRT sudah menjadi kebiasaan, kelewatan tren KTM semakin boleh dijangka.
Rakyat ternanti-nanti Kerajaan mengumumkan langkah drastik dalam Belanjawan 2023 bagi mengkhususkan sejumlah peruntukan yang lebih besar untuk menaik taraf kualiti sistem pengangkutan awam.
Ciri-ciri penting yang perlu ada termasuklah mampu menampung kapasiti tinggi, ketersampaian (connectivity) yang baik antara stesen dengan destinasi, ketepatan jadual serta perkhidmatan kekal disediakan pada harga yang berpatutan.
Natijahnya, kita mahu igauan rakyat berakhir. Tidak mahu lagi berjam-jam tersangkut di jalan raya, tidak mahu lagi menanggung beribu-ribu ringgit hutang kereta.
Rujukan:
1.https://ourworldindata.org/co2-emissions-from-transport
2.https://www.nst.com.my/news/nation/2022/06/803654/vehicles-outnumber-people-malaysia
3.Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2022, DOSM