Pusat Data: Bahana Dalam Peluang

Mana-mana syarikat yang tidak menempelkan jargon digital pada produk dan perkhidmatan mereka akan disangka ketinggalan dan hanya menunggu masa untuk menjadi tidak relevan dalam pasaran. Lihat sahaja pengumuman oleh perusahaan gergasi beberapa tahun belakangan ini yang tidak lekang dengan terma seumpama artificial intelligence, large language model dan quantum computing.

Senario ini tidak terhad kepada industri teknologi sahaja, bahkan benar-benar menembusi pelbagai sektor kritikal seperti kewangan dan kesihatan. Aktiviti perbankan menganalisis himpunan data yang amat besar untuk menawarkan program pembiayaan dan pelaburan yang sesuai dengan keperluan pelanggan mereka. Pakar perubatan pula membangunkan algoritma yang cukup kompleks untuk mencari penawar kepada barah agar lebih ramai manusia dapat hidup sejahtera.

Jika bajak menjadi alatan utama semasa zaman agrarian dan kilang pembuatan menjadi nadi semasa era perindustrian, pusat data atau data centre merupakan antara fasiliti terpenting dalam ekosistem digital pada hari ini. Pusat data berfungsi untuk menyimpan, memproses dan mengedarkan maklumat, menempatkan infrastruktur rangkaian dan sistem bekalan tenaga.

Malaysia Semakin Mendapat Nama

Malaysia berada dalam kedudukan yang unik apabila banyak syarikat multinasional mula memberikan tumpuan dan menjadikannya sebagai lokasi pilihan untuk membangunkan pusat data mereka. Mereka mengambil kira faktor kos pembinaan, pengambilalihan tanah dan tenaga yang rendah di Malaysia berbanding negara lain.

Untuk membina pusat data dan menampung tarif elektrik bagi segmen industri, pelabur hanya perlu membelanjakan masing-masing US$0.92 dan US$0.08 untuk setiap kWh di Malaysia, berbanding US$0.95 dan US$0.10 di Indonesia serta US$1.15 dan US$0.27 di Singapura.

Terbaru, Microsoft Corp menyatakan komitmen untuk melabur sejumlah RM10.4 bilion dalam infrastruktur perkomputeran awan dan kecerdasan buatan sekali gus menjadi rekod pelaburan terbesar sepanjang 32 tahun Microsoft bertapak di sini.

Pengumuman itu hanyalah sebahagian daripada ratusan bilion ringgit yang telah dan akan dilaburkan di beberapa lokasi strategik, dengan Johor menjadi penerima manfaat terbesar, diikuti Lembah Klang, Pulau Pinang, Kedah dan Sarawak.

Jika dibandingkan dengan negara serantau, Malaysia sedang muncul sebagai pasaran yang sedang berkembang pesat di Asia Pasifik. Kita juga dijangka mempelopori dua pertiga pasaran di Asia Tenggara menjelang tahun 2035. Kita mempunyai kelebihan dalam aspek ketersediaan tanah, sokongan dasar kerajaan dan jaringan kabel dasar laut.

Terdapat lebih 40 buah pusat data sedang beroperasi di Malaysia dengan kapasiti antara 100 megawatt (MW) hingga 150 MW yang mengambil masa hampir 20 tahun untuk dibangunkan. Namun angka ini akan dilihat kerdil dalam tempoh 10 tahun akan datang apabila pusat data dengan kapasiti tambahan 1,400 MW akan dibina.

Sudah tentu ini bakal memberikan limpahan ekonomi kepada rakyat dan negara. Semakin banyak pusat data yang dibangunkan akan mendorong peningkatan permintaan perkhidmatan IT sama ada untuk pelanggan dalam mahupun luar negara. Justeru, lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi akan tercipta serta merancakkan pemindahan dan perkongsian teknologi.

Secara amnya, ada dua jenis operasi pusat data iaitu colocation dan hyperscale. Pengendali pusat data colocation menawarkan kepada mana-mana syarikat untuk menyewa ruang, tenaga dan ketersambungan bagi menempatkan peranti pelayan (server) syarikat itu. Kesannya, kebanyakan pusat data yang dibangunkan sebelum ini dilakukan secara berperingkat kerana ia bergantung kepada usaha digitalisasi syarikat tersebut.

Manakala, pembangunan pusat data hyperscale dibina secara besar-besaran untuk menyokong permintaan penyimpanan yang diperlukan dalam aplikasi perkomputeran awan dan data raya. Kebiasaannya pemain utama sektor teknologi yang akan melabur untuk pusat data hyperscale seperti Apple, AWS dan ByteDance. Sudah tentu pusat data hyperscale berkehendakkan tanah yang luas dan bekalan elektrik yang tinggi untuk operasi mereka.

Bagai menumbuk padi hampa

Di sebalik perkhabaran yang indah-indah belaka, kecepatan pembangunan pusat data datang dengan cabaran tersendiri. Bagai menumbuk padi hampa, pihak kerajaan seolah-olah cuba menyembunyikan implikasi negatif yang akan menuruti segala angka ekonomi yang ditampilkan semua sebagai positif.

Cuba kita berundur sedikit dan perhatikan bagaimana titik mula Malaysia menjadi tumpuan global, 5 tahun lalu. Jiran kita di selatan tanah air, Singapura merupakan antara pemain utama pusat data global. Namun pada tahun 2019, kerajaan di sana telah menetapkan moratorium selama tiga tahun untuk menghentikan sebarang pembinaan pusat data baharu.

Meskipun moratorium tersebut tamat pada Disember 2022, kapasiti pembinaan pusat data telah dihadkan pada 60MW setahun. Hal ini berikutan penggunaan tenaga yang amat tinggi diperlukan untuk kelangsungan operasi pusat data. Oleh itu, para pelabur telah beralih arah dan menumpukan operasi di Malaysia pula.

Tenaga Nasional menjangkakan permintaan elektrik daripada pusat data boleh mencecah lebih 4,300 MW dalam beberapa tahun akan datang. Nilai itu merangkumi 16% daripada kapasiti penjanaan tenaga di Semenanjung Malaysia. Jika mahu menjana sebegitu besar bekalan elektrik menerusi tenaga boleh baharu, kita memerlukan panel solar meliputi kawasan seluas 40,000 ekar atau 1,400 turbin angin.

Persoalan tentang bekalan elektrik ini terdapat dua perspektif. Pertama, jika kita masih bergantung kepada penjanaan tenaga daripada sumber bahan api fosil, sudah tentu akan menghasilkan pelepasan karbon yang merumitkan lagi langkah menangani perubahan iklim. Kedua, jika kita mahu beralih kepada tenaga boleh baharu pula, kapasiti penjanaan tenaga menjadi tidak stabil dan menyukarkan para pembekal memenuhi permintaan tenaga pusat data.

Cabaran yang seterusnya melibatkan tipu helah yang dilakukan sendiri oleh syarikat gergasi yang memerlukan pusat data. Mereka memanipulasi angka pelepasan karbon dalam laporan kelestarian mereka. Berbanding mengambil langkah tuntas untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon dalam operasi mereka, syarikat gergasi ini membeli kredit yang dipanggil ‘unbundled renewable energy certificate’ (REC). Walhal kredit tersebut tidak membuktikan bahawa mereka benar-benar mengurangkan jejak karbon.

Menerusi kanta polisi, kita masih mewarisi dasar dan garis panduan yang lapuk. Technical Code of Specification of Green Data Centres yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyatakan keperluan minimum tentang kecekapan tenaga untuk pusat data. Namun kod ini telah diperkenalkan pada tahun 2015, hampir 10 tahun yang lalu.

Untuk dikategorikan sebagai cemerlang, pusat data perlu mencapai power usage effectiveness (PUE) bawah 1.6, sedangkan Singapura menetapkan PUE bawah 1.3 bagi mana-mana pusat data baharu untuk dibina. Semakin hampir kepada angka PUE 1, semakin cekap tenaga pusat data tersebut.

Dalam keterujaan menuju status ekonomi maju dan rakyat berpendapatan tinggi, usah kita abaikan usaha untuk memelihara alam sekitar. Kelekaan pemerintah dan pembuat dasar hanya akan memangsakan generasi mendatang.

Picture of Shauqi Johara

Shauqi Johara

Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.1
Baca Artikel Penuh
2025.1
Baca Artikel Penuh