Perkukuh Aspek Manusiawi Sistem Pendidikan Negara

Baru-baru ini, tular sebuah kisah sedih yang menimpa Izzuddin Izhar atau lebih dikenali sebagai Cikgu Din, seorang guru yang kini sedang bertugas di sebuah sekolah pendalaman, di Kanowit, Sarawak. Kisah Cikgu Din ini telah mendapat liputan meluas media masa selain ramai yang menzahirkan rasa simpati dengan musibah yang dihadapi beliau.

Beliau berdepan ujian sukar apabila isterinya secara tiba-tiba jatuh sakit dan disahkan menghidap kanser tulang rawan tahap empat yang melibatkan femur atau tulang paha kiri. Penyakit itu juga disahkan pegawai perubatan berada pada tahap akhir, yang memerlukan rawatan berterusan dan penjagaan rapi. Disebabkan jarak yang jauh dari Konowit ke Hospital Sibu, Cikgu Din memutuskan untuk menghantar isterinya pulang ke Kelantan bagi mendapatkan rawatan yang lebih mudah diakses serta bantuan penjagaan daripada ahli keluarga.

Setelah dimaklumkan isterinya semakin kritikal, beliau akhirnya memohon pertukaran ke Semenanjung Malaysia melalui sistem EgTukar. Malangnya, permohonan itu ditolak atas alasan tempoh perkhidmatannya kurang tiga tahun. Beliau turut nekad ke pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, di Kuching dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di Putrajaya, merayu agar permohonannya diluluskan, namun permohonannya tetap ditolak atas dasar peraturan yang ketat.

Keadaan itu menyebabkan Cikgu Din tiada pilihan selain perlu berulang-alik dari Sarawak ke Kelantan setiap dua minggu untuk menjenguk isterinya. Setiap perjalanan yang dilalui perlu melibatkan kos yang tinggi, masa yang panjang, dan pengorbanan tenaga yang besar. Semakin hari, keadaan ini terus memberi tekanan fizikal dan mental yang amat memenatkan sehingga beliau akhirnya disahkan menghidapi depresi atau Major Depressive Disorder (MDD).

PERATURAN YANG RIGID

Berdasarkan kisah yang menimpa Cikgu Din ini, ia jelas menunjukkan wujud kekurangan aspek kebajikan terhadap para guru. Ini berpunca daripada peraturan yang rigid terutama proses pertukaran guru yang tidak fleksibel serta tidak mengambil kira keadaan luar biasa atau situasi kecemasan peribadi. Menurut sistem EgTukar, seseorang guru perlu memenuhi tempoh perkhidmatan minimum tiga tahun di lokasi bertugas sebelum layak memohon pertukaran.

Namun, dalam kes Cikgu Din, KPM menolak permohonannya kerana beliau belum memenuhi tempoh perkhidmatan tersebut. Justeru, ketiadaan klausul pengecualian untuk kes khas dalam peraturan ini menyebabkan permohonan beliau tidak dipertimbangkan, sekali pun terdapat pengesahan dan surat sokongan daripada pihak hospital.

Selain itu, ketiadaan mekanisme fleksibiliti juga menyebabkan rayuan Cikgu Din tidak mendapat perhatian sewajarnya. Sebagai contoh, meskipun beliau telah bertemu dengan pihak berwajib di KPM dan JPN, permohonannya tetap ditolak atas alasan prosedur tanpa mempertimbangkan kesan emosi dan psikologi yang dialami oleh beliau.

Sistem EgTukar pula merupakan sistem dalam talian yang tidak mempunyai opsyen pengecualian bagi kes-kes kecemasan atau peribadi yang mendesak. Kebergantungan kepada proses dan syarat yang ditetapkan secara automatik melalui sistem menyebabkan kekurangan pertimbangan berasaskan nilai kemanusiaan. Ditambah dengan pelbagai karenah birokrasi serta prosedur permohonan dan rayuan yang panjang, peraturan sedia ada dilihat kurang responsif terhadap keperluan mendesak guru-guru.

CADANGAN KEPADA KPM

Kisah Cikgu Din seharusnya menjadi peringatan penting kepada KPM untuk menilai semula dasar-dasar berkaitan kebajikan guru. Dasar pertukaran yang ketat perlu diperhalusi semula agar mampu memberi pertimbangan khusus kepada guru-guru yang menghadapi situasi kritikal. Ini selaras dengan hasrat yang sering disebut oleh YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan untuk memperkukuh aspek manusiawi dalam sistem pendidikan negara.

Pertama, KPM disaran untuk mempertimbangkan penubuhan jawatankuasa khas bagi menangani kes-kes luar biasa dengan lebih sensitif. Jawatankuasa ini akan bertanggungjawab membuat saringan khusus terhadap permohonan guru-guru yang mendesak serta menilai kesan sosial dan psikologi sebelum pertimbangan khas diberikan.

Kedua, KPM juga boleh menyediakan opsyen fleksibiliti penempatan untuk guru dalam situasi kritikal. Program penempatan sementara atau cuti kecemasan bergaji khas perlu diperkenalkan untuk guru yang menghadapi situasi peribadi yang kritikal. Contohnya, guru yang mempunyai ahli keluarga sakit tenat boleh diberikan cuti khas atau dibenarkan mengajar di lokasi sementara yang berdekatan untuk tempoh tertentu. Dengan cara ini, guru yang berada dalam situasi mendesak dapat menjalankan tugas tanpa mengabaikan keluarga mereka.

Ketiga, KPM juga diseru agar mengambil inisiatif menyemak semula dasar pembangunan kerjaya dan kebajikan guru. KPM boleh melaksanakan program khas untuk meningkatkan kebajikan guru dari segi kesihatan, insurans, dan penempatan yang lebih adil. Selain itu, guru-guru yang berkhidmat di luar Semenanjung wajar diberi insentif tambahan serta bantuan untuk menyokong keperluan keluarga mereka, terutamanya jika mereka perlu berkhidmat jauh daripada keluarga asal.

Kesimpulannya, kisah Cikgu Din adalah satu peringatan tentang perlunya sistem pendidikan yang bukan sahaja menitikberatkan pencapaian akademik, tetapi juga kebajikan dan kesejahteraan guru. Kisah duka Cikgu Din ini akhirnya terbela setelah ceritnya tular dan mendapat perhatian YB Fadhlina Sidek yang telah memberikan kelulusan segera beliau bertukar secara sementara ke Kelantan. Semoga kisah seperti ini tidak berulang lagi dengan langkah konsisten KPM mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif dan berperikemanusiaan kepada para guru. Langkah ini akan membawa kesan positif bukan sahaja kepada guru-guru, tetapi juga kepada seluruh sistem pendidikan negara.

Picture of Hafizudin Yahaya
Hafizudin Yahaya
Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.4
Baca Artikel Penuh
2025.3
Baca Artikel Penuh
2025.2
Baca Artikel Penuh