Disember 2024 menjadi penutup tahun yang kelam bagi industri penerbangan global. Bermula dengan nahas pesawat Azerbaijan Airlines yang meragut 42 nyawa pada 25 Disember, insiden malang terus berlanjutan dengan empat lagi kejadian baru dilaporkan pada 30 Disember. Di Korea Selatan, pesawat tambang murah Jeju Air dilaporkan tergelincir dari landasan dan terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan mengorbankan 179 orang. Di UAE, sebuah pesawat ringan terhempas di Laut UAE mengorbankan dua nyawa. Di Kanada, sebuah pesawat penumpang DH8 terbakar semasa mendarat selepas gear pendaratannya rosak. Di Norway pula, sebuah pesawat KLM Royal Dutch Airlines yang berlepas dari Amsterdam, Belanda tergelincir di Lapangan Terbang Oslo, Norway selepas melakukan pendaratan cemas.
Tanda Kelemahan Sistem Keselamatan?
Rentetan insiden ini, persoalan besar timbul mengenai tahap keselamatan penerbangan global. Tragedi Azerbaijan Airlines, yang didakwa akibat tembakan ke arah pesawat oleh tentera Rusia, menunjukkan bagaimana konflik geopolitik boleh memberi kesan langsung kepada keselamatan penumpang. Media tempatan melaporkan, sistem komunikasi pesawat malang itu lumpuh akibat penggunaan sistem peperangan elektronik Rusia, menyebabkan pesawat itu hilang dari radar semasa berada di ruang udara Rusia.
Di Korea, pakar keselamatan udara terkemuka, David Learmount mendedahkan pelanggaran dengan tembok yang menyokong sistem panduan pada hujung landasan menjadi punca utama pesawat meletup dan musnah. Beliau turut berpendapat, struktur konkrit tersebut adalah tidak perlu malah kewujudannya adalah satu bentuk kesalahan jenayah.
Manakala, insiden UAE, Kanada dan Norway dipercayai berpunca daripada masalah teknikal, sekali lagi membuktikan betapa pentingnya penyelenggaraan pesawat secara berkala, ketat dan berdisiplin.
Impak kepada Industri dan Keyakinan Penumpang
Jeju Air Co. mendedahkan, sebanyak 68,000 tempahan penerbangan telah dibatalkan setakat 1 tengah hari Isnin selepas ramai penggunanya memohon pembatalan tiket penerbangan. Agensi pelancongan tempatan turut melaporkan peningkatan mendadak dalam pembatalan pakej pelancongan selepas tragedi itu. Banyak agensi kini menghentikan iklan di televisyen dan platform dalam talian serta kempen promosi mereka.
Impak yang sama sudah pasti akan dirasai syarikat-syarikat penerbangan global lain yang kebanyakannya masih bergelut untuk pulih daripada kesan pandemik COVID-19. Kejadian seperti ini juga memberi tekanan kepada syarikat penerbangan untuk meningkatkan perbelanjaan pada sistem keselamatan, penyelenggaraan, dan latihan kakitangan. Kegagalan untuk menangani masalah ini secara menyeluruh boleh memberi kesan buruk kepada sektor pelancongan dan pelaburan.
Ambil Langkah Segera
Industri penerbangan global mesti mengambil tragedi ini sebagai amaran tegas untuk meningkatkan piawaian keselamatan. Antaranya, penggunaan teknologi pemantauan pesawat secara langsung dan automasi yang lebih canggih dapat membantu mencegah kemalangan akibat kesilapan manusia atau kegagalan teknikal.
Selain itu, badan-badan penguatkuasa seperti Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) perlu memperketatkan prosedur audit keselamatan global, terutamanya di negara-negara dengan rekod keselamatan yang lemah. Negara-negara di kawasan konflik pula mesti dipantau rapi, dan penerbangan komersial di zon risiko tinggi perlu dilarang sehingga keselamatan terjamin.
Kesimpulan
Penghujung 2024 mencetus kenangan pahit sebagai peringatan wujudnya kelemahan sistem penerbangan global yang perlu diperbaiki segera. Dunia penerbangan tidak boleh terus bersandar pada statistik selamat yang mengabaikan nyawa yang terkorban akibat kelalaian atau konflik. Apa yang diperlukan sekarang adalah tindakan segera, pelaburan pada teknologi keselamatan, dan penguatkuasaan piawaian yang lebih ketat untuk memastikan tragedi malang pesawat tidak lagi berulang.