New Orleans: Pengabaian Amaran Jejas Keselamatan Awam

Insiden keganasan di Bourbon Street, New Orleans menjadi tumpuan utama orang ramai sewaktu orang ramai bergembira menyambut Tahun Baru 2025. Kejadian tragis itu berlaku apabila seorang individu yang dikenali sebagai, Shamsud-Din Jabbar, 42, merempuh orang ramai dengan kenderaan trak pikap Ford, menyebabkan 14 kematian dan mencederakan hampir 35 orang.
Hanya 18 hari sebelum Donald Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat, beliau segera mengeluarkan kenyataan yang mendakwa suspek dalam insiden tersebut adalah seorang pendatang. Ini telah menimbulkan reaksi tidak senang di seluruh negara.

Padah Salah Fikir

Namun, dalam satu kenyataan rasmi, Federal Bureau of Investigation (FBI) Amerika Syarikat memaklumkan bahawa ini adalah satu tindakan keganasan individu. Siasatan awal menunjukkan insiden tersebut dilakukan secara sengaja, namun motif sebenar masih dalam siasatan.

Mereka telah menemui lima video di Facebook Jabbar. “Dalam video pertama, Jabbar menjelaskan bahawa pada asalnya dia merancang untuk mencederakan keluarga dan rakannya, tetapi bimbang tajuk berita tidak akan memberi tumpuan kepada “perang antara orang beriman dan orang kafir.” Selain itu, dia menyatakan bahawa dia telah menyertai ISIS sebelum musim panas ini. Dia juga menyerahkan wasiat dan surat wasiatnya.” kata jurucakap FBI.

Ancaman Dikenal Pasti di Bourbon Street

Dalam pada itu, pakar keselamatan mengkritik pihak berkuasa New Orleans kerana bersikap sambil lewa dari aspek perancangan keselamatan sebelum serangan. Kritik ini termasuk keputusan untuk mengeluarkan penghadang dan kegagalan mewujudkan perimeter yang lebih luas di sekitar kawasan berisiko tinggi.

Hasil penilaian sebuah firma keselamatan dari New York pada November 2019 untuk kumpulan pengurus kawasan “French Quarter” – merangkumi kawasan hiburan di Bourbon Street – telah memberi amaran bahawa tiang penghadang yang direka untuk menghalang kenderaan daripada memasuki Bourbon Street “nampaknya tidak berfungsi.” Firma tersebut mencadangkan agar halangan itu diperbaiki segera dan menekankan bahawa “dua jenis serangan pengganas yang berkemungkinan berlaku ialah rempuhan kenderaan dan tembakan aktif.”

Namun, Emerson, seorang pesara Navy SEAL menyatakan kelemahan penghadang keselamatan ialah jurang di laluan pejalan kaki, yang membolehkan penyerang melompat ke kaki lima dan merempuh orang ramai. Beliau menambah bahawa walaupun teknologi yang betul digunakan, serangan seperti ini mungkin tetap berlaku kerana cara penyerang bertindak.

Kesimpulan

Insiden keganasan di Bourbon Street mendedahkan kelemahan serius dalam perancangan keselamatan awam dan ini memerlukan tindakan segera untuk memperbaiki kelemahan ini. Pada masa yang sama, motif suspek yang berkaitan dengan ideologi ekstremis menekankan pentingnya pendekatan berterusan dalam menangani radikalisasi dan ancaman keganasan rentas agama, etnik dan budaya. Paling utama insiden ini perlu diselesaikan dengan adil dan tidak seharusnya dipolitikkan oleh sesetengah ahli politik bagi tujuan sendiri.

Picture of Hanisah Abd Rahman

Hanisah Abd Rahman

Deputy Director of Research, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.1
Baca Artikel Penuh
2025.1
Baca Artikel Penuh