Inisiatif MyKiosk 2.0 oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), yang bertujuan membantu penjaja kecil dan meningkatkan sosioekonomi rakyat berpendapatan rendah, semakin dipersoalkan dari segi pelaksanaan dan ketelusan kos. Menteri KPKT, Nga Kor Ming, memaklumkan bahawa kerajaan telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta bagi pembinaan 4,054 unit kios di bawah 93 pihak berkuasa tempatan (PBT). Manakala pada tahun 2023, kerajaan telah membelanjakan RM50 juta untuk 3,189 unit kios.
MyKiosk dan Krisis Ketelusan: Di Mana Letaknya Akauntabiliti?
Namun, selepas pembinaan kios tersebut, rakyat mula mempersoalkan ketelusan kos pembinaan MyKiosk 2.0. Isunya bukan sekadar banyak unit yang masih kosong berbulan-bulan, tetapi perbezaan kos yang ketara bagi membina seunit kios. Menurut, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) satu unit MyKiosk bersaiz 62 kaki persegi menelan belanja RM25,000, sedangkan sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat bersaiz 700 kaki persegi dibina dengan kos RM35,000. Kemudian, tular di media sosial satu tawaran daripada pembekal yang menunjukkan harga pasaran untuk satu unit kios modular serupa hanyalah sekitar RM14,000, tidak termasuk panel solar dan sistem pendawaian. Perbezaan ini menjadikan lebihan RM11,000 seunit, yang jika didarab dengan 4,000 unit, membawa kepada lebihan keseluruhan sebanyak RM 44 juta.
KPKT dalam kenyataannya menyatakan bahawa kos RM25,000 itu termasuk pemasangan panel solar, sistem pendawaian lengkap, serta pembinaan kios berasaskan sistem modular tahan lama. Namun begitu, hujah ini masih belum menjawab persoalan utama samada kerajaan bersedia mendedahkan perincian kos kepada umum dan justifikasi syarikat kontraktor tersebut mengenakan kos tinggi bagi satu unit kios. Presiden MCW juga tampil menggesa Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terperinci terhadap perolehan dan pelaksanaan projek bagi memastikan ketirisan dan salah guna dana awam tidak berlaku dalam melaksanakan projek kerajaan.
Meningkatkan Keberkesanan MyKiosk
Walau bagaimanapun, KPKT mempertahankan projek ini dengan menyatakan bahawa pembinaan kios dibuat berdasarkan permohonan sah penjaja melalui PBT. Malah, kerajaan menawarkan sewaan percuma selama enam bulan dan kadar sewa tidak melebihi RM10 sehari. Dari segi reka bentuk, MyKiosk 2.0 ini turut dilengkapi dengan panel solar dan dibina menggunakan sistem modular buka pasang yang dikatakan tahan lama. Namun begitu, penjelasan KPKT bahawa reka bentuk MyKiosk 2.0 telah dipertingkat dalam versi tertentu masih belum cukup untuk menutup persoalan utama iaitu ketelusan kos dan tatacara pelaksanaan.
Bagi memastikan keberkesanan dan integriti projek MyKiosk, beberapa langkah penambahbaikan perlu dilaksanakan segera:
- Audit Menyeluruh oleh Jabatan Audit Negara
Audit bebas ke atas pecahan kos, spesifikasi pembinaan, proses perolehan dan pemilihan vendor perlu dilakukan secara terbuka dan dilaporkan kepada Parlimen dan rakyat. - Pendedahan Dokumen Perolehan dan Kos Terperinci
KPKT perlu mendedahkan senarai spesifikasi lengkap, kos bahan, kos pemasangan dan justifikasi penggunaan panel solar serta sistem modular kepada umum. - Libat Urus Bersama Persatuan Penjaja dan Wakil Tempatan
Pelaksanaan fasa baharu MyKiosk perlu melibatkan wakil persatuan penjaja, majlis perbandaran serta komuniti setempat bagi memastikan lokasi, jenis perniagaan, dan saiz kios benar-benar menepati keperluan sebenar di lapangan. - Pemantauan Berasaskan Digital dan Penilaian Masa Nyata
Pihak berkuasa tempatan perlu melaksanakan sistem pemantauan digital yang membolehkan status penggunaan kios, kadar penyewaan, dan prestasi perniagaan direkod secara masa nyata. Melalui dashboard digital ini, kementerian boleh membuat keputusan berdasarkan data dan mengenal pasti kawasan yang memerlukan intervensi segera, termasuk pengagihan semula kios yang tidak digunakan secara optimum.
Cadangan-cadangan yang dikemukakan bukan bertujuan untuk menyalahkan, tetapi untuk memperkukuh asas pelaksanaan projek agar lebih selari dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan keadilan sosial. Audit menyeluruh oleh Jabatan Audit Negara serta pendedahan dokumen perolehan secara terbuka merupakan langkah asas yang perlu dilaksanakan segera untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap ketelusan pentadbiran.
Kesimpulan
Jika benar MyKiosk mahu menjadi ikon pemerkasaan ekonomi mikro dan meningkatkan sosioekonomi rakyat, maka pelaksanaannya perlu berasaskan prinsip ketelusan, penyertaan rakyat, dan selari dengan tatakelola yang digariskan oleh kerajaan. Kelemahan dalam pelaksanaan inisiatif MyKiosk selari dengan permintaan semasa bukan hanya menjejaskan keberkesanan satu projek, tetapi turut menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kesungguhan kerajaan membela nasib mereka secara jujur.

