Mengangkat TVET Malaysia ke Tahap Global: Bagaimana Jerman, Australia, dan Singapura Lakukan?

Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah tunjang dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara. Di Malaysia, TVET menunjukkan prestasi yang membanggakan, dengan kadar tahunan kebolehpasaran graduan melebihi 90%. Namun, jurang untuk mencapai standard global seperti Jerman, Australia, dan Singapura agak jauh. Mereka mempunyai sistem TVET yang tersusun, relevan, serta disokong oleh kerjasama erat dengan pelbagai pihak berkepentingan.

Sistem pendidikan TVET di Jerman yang dikenali Dual System membolehkan pelajar mempelajari teori di sekolah vokasional sambil menjalani latihan praktikal di syarikat. Sistem ini memastikan graduan memiliki kemahiran semasa industri. Hasilnya, kadar kebolehpasaran graduan TVET mencapai 91%, manakala kadar pengangguran belia berada pada 5.6%, jauh lebih rendah daripada purata Kesatuan Eropah (EU). Institut Persekutuan untuk Pendidikan dan Latihan Vokasional (BIBB) pula menyatakan lebih 80% dari lebih 1.3 juta pelajar program perantis mendapat pekerjaan tetap selepas tamat latihan.

Di Australia, sistem TVET dikawal oleh Pihak Berkuasa Kualiti Kemahiran Australia (ASQA) yang memastikan semua program sejajar dengan keperluan industri. Menurut laporan Pusat Kebangsaan bagi Penyelidikan Pendidikan Vokasional (NCVER), kadar kebolehpasaran graduan TVET adalah sekitar 88%, dengan purata gaji tahunan sebanyak AUD 56,000. Lebih 85% syarikat mengakui graduan TVET memiliki kemahiran praktikal yang sesuai dengan keperluan pekerjaan. Tambahan pula, laporan Suruhanjaya Perdagangan dan Pelaburan Australia (Austrade) menyatakan bahawa lebih 600,000 pelajar antarabangsa mengikuti program TVET, mencerminkan reputasi global sistem ini.

Seramai 500,000 rakyat Singapura telah memanfaatkan program yang mengintegrasikan teknologi tinggi dalam TVET melalui inisiatif SkillsFuture Singapore (SSG) semenjak ia dilancarkan. Program ini menumpukan kepada pembangunan kemahiran masa depan seperti automasi, kecerdasan buatan (AI), dan Internet of Things (IoT). Berdasarkan laporan tahunan SSG, graduan TVET di Singapura menikmati kadar kebolehpasaran 90%, dengan 70% daripada mereka bekerja dalam sektor teknologi tinggi.

Cabaran Utama TVET di Malaysia

Walaupun TVET di Malaysia mencatatkan kadar kebolehpasaran tinggi, cabaran struktur masih menjadi penghalang kepada pencapaian standard global. Hubungan antara institusi TVET dan industri masih longgar, dengan kebanyakan syarikat hanya terlibat dalam latihan jangka pendek tanpa peranan besar dalam merangka kurikulum. Laporan Pelan Induk TVET Malaysia (2018-2025) menyatakan bahawa syarikat-syarikat di Malaysia tidak memainkan peranan signifikan dalam menyediakan laluan pekerjaan jangka panjang untuk graduan TVET. Program perantisan di Malaysia tidak diwajibkan dan hanya tertumpu kepada sektor tertentu seperti automotif dan perkilangan. Presiden Yayasan Mahir Malaysia, Datuk Sri Ganes baru-baru ini turut menggesa kerajaan mewajibkan program perantisan dan memperluas sektor latihan kepada teknologi tinggi, perkhidmatan, dan pertanian. Sebagai perbandingan, lebih 1.3 juta pelajar di Jerman menjalani program perantisan wajib setiap tahun, menjadikan sistem TVET mereka kukuh dan responsif terhadap keperluan pasaran kerja.

Di samping itu, masalah kurikulum tidak seragam juga menjadi cabaran di Malaysia. Pelbagai agensi seperti Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), MARA, dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengawal program TVET tanpa penyelarasan yang kukuh. Ini mengakibatkan ketidakseimbangan kualiti pendidikan antara institusi. Sebaliknya, Singapura menyelaraskan semua kurikulum TVET melalui SkillsFuture untuk memastikan konsistensi kualiti dan kesesuaian dengan keperluan teknologi masa depan.

Walaupun Malaysia mempunyai lebih daripada 1,300 institusi TVET, namun masalah kekurangan tenaga kerja mahir masih berterusan di peringkat industri. Hampir 40 hingga 60% syarikat di negara ini melaporkan kesukaran mengisi jawatan berkemahiran tinggi, terutamanya dalam sektor teknologi maklumat, pembuatan, dan perkhidmatan profesional. Ini mencerminkan jurang yang ketara antara kemahiran yang dimiliki oleh pekerja dan keperluan industri.
Pendidikan ini sering dianggap sebagai laluan kelas kedua berbanding akademik merupakan cabaran yang dihadapi dalam mengembangkan program TVET. Khazanah Research Institute (KRI) pada 2021 melaporkan bahawa lebih majoriti graduan TVET terperangkap dalam pekerjaan bergaji rendah di bawah RM 2000, memburukkan persepsi masyarakat. Sebaliknya, graduan TVET di Jerman dan Singapura menikmati gaji setanding dengan graduan universiti, terutamanya dalam sektor kejuruteraan dan teknologi.

Pelajaran yang Boleh Diambil

Malaysia perlu mengambil langkah strategik kearah pembaharuan struktur dan integrasi teknologi masa depan, sejajar dengan model kejayaan negara maju. Langkah pertama ialah memastikan kerjasama erat antara institusi TVET dan sektor industri melalui mekanisme yang lebih proaktif dan sistematik. Program perantisan yang diwajibkan boleh dilaksanakan di pelbagai sektor, termasuk bidang teknologi tinggi seperti automasi dan AI. Pendekatan ini dapat memastikan pelajar tidak hanya memperoleh pengalaman kerja praktikal tetapi juga dilengkapi dengan kemahiran yang relevan dengan keperluan pasaran kerja global.

Kedua, TVET perlu diselaraskan kepada keperluan teknologi masa depan, yang semakin mendominasi pasaran kerja global. Integrasi teknologi seperti IoT, robotik, dan tenaga hijau ke dalam kurikulum dapat memberikan kelebihan kepada graduan TVET Malaysia. Singapura telah menunjukkan bagaimana pelaburan dalam teknologi ini mampu meningkatkan daya saing graduan mereka dalam sektor teknologi tinggi. Malaysia perlu memberi penekanan yang sama dengan melaksanakan kursus-kursus baru yang sesuai dengan revolusi industri dan tren tenaga kerja masa depan.

Ketiga, penyelarasan kurikulum TVET juga diperlukan untuk meningkatkan konsistensi kualiti pendidikan di semua institusi. Buat masa ini, sistem TVET di Malaysia dikendalikan oleh pelbagai agensi, menyebabkan ketidakseimbangan dalam standard pendidikan. Justeru, cadangan penubuhan badan penarafan Tunggal TVET yang diumumkan kerajaan pada awal tahun lalu merupakan langkah yang tepat bagi menyelesaikan isu ini. Di samping itu, badan ini boleh berfungsi untuk memantau prestasi graduan TVET serta memastikan kursus yang ditawarkan sentiasa relevan dengan perkembangan semasa.

Keempat, kerajaan perlu tangani persepsi negatif masyarakat terhadap TVET. Strategi jangka panjang diperlukan untuk meningkatkan kesedaran bahawa TVET juga menawarkan peluang kerjaya yang kompetitif. Penekanan kepada kejayaan graduan, seperti peluang pekerjaan dalam sektor berpendapatan tinggi, boleh membantu mengubah persepsi ini. Di Jerman, TVET dianggap sebagai pilihan kerjaya yang prestij kerana graduannya sering memperoleh gaji setanding dengan graduan universiti, terutama dalam sektor teknikal dan kejuruteraan.

Akhir sekali, kolaborasi antarabangsa perlu dipergiat untuk meneroka peluang pelajar tempatan menjalani latihan di peringkat global. Pelajar TVET boleh dihantar untuk menjalani latihan di negara yang menjadi peneraju teknologi seperti China, yang terkenal dengan kepakaran dalam kenderaan elektrik dan pembangunan IoT. Usaha ini bukan sahaja dapat meningkatkan pendedahan pelajar kepada teknologi terkini tetapi juga membuka peluang kepada mereka untuk bekerja dalam sektor yang lebih kompetitif di peringkat global.

Picture of Hafizudin Yahaya

Hafizudin Yahaya

Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.12
Baca Artikel Penuh
2024.12
Baca Artikel Penuh