Bencana banjir besar yang sedang melanda negara khususnya di negeri-negeri Pantai Timur Kelantan, Terengganu dan Pahang ketika ini telah menimbulkan perbincangan hangat apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertegas untuk meneruskan pelaksanaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Meskipun seramai 5377 calon disahkan terjejas, KPM optimis mampu menguruskan cabaran tersebut mengikut mengikut prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung seterusnya memastikan tiada keciciran calon menduduki peperiksaan tersebut. Walaubagaimanapun, keputusan ini jelas menimbulkan keresahan ramai pihak berhubung isu keselesaan dan kesan psikologi calon yang terjejas banjir melalui fasa mencabar ini.
Cukup Bersediakah KPM?
Menurut kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan, Tuan Haji Azman Bin Adnan, tiada keperluan bagi KPM buat masa ini menangguhkan SPM. Jelas beliau, KPM telah membuat persiapan awal dengan menambah baik SOP Ops Payung bagi memastikan semua calon SPM dapat menduduki peperiksaan tersebut dengan baik. Langkah ini juga telah mengambil kira pelbagai faktor situasi bencana dan kesiapsiagaan jentera KPM menggerakkan aset dan pengoperasian bagi menguruskan para pelajar. KPM juga telah melakukan penyelarasan bersama pihak polis, tentera serta agensi penyelamat lain sepanjang berdepan dengan bencana banjir ini.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadlina Sidek turut memberi jaminan bahawa semua calon SPM termasuk pelajar di institusi yang tidak berada di bawah seliaan kementerian itu, akan diselamatkan seterusnya dibawa ke asrama bagi menjalani peperiksaan tersebut. Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah(PPD) juga telah dikerah untuk menggerakkan pasukan sokongan termasuk guru bimbingan dan kaunseling bagi memastikan aspek psikososial murid-murid berada pada tahap yang baik.
Seramai 402,956 calon berdaftar akan menduduki peperiksaan SPM 2024 yang bermula 2 Disember sehingga 6 Februari 2025.
Dengari Keluhan Rakyat
Walaupun KPM berusaha mengawal situasi, kritikan di media sosial membayangkan ketidakpuasan hati rakyat. Ramai menyeru agar KPM menangguhkan sekurang-kurangnya ujian lisan Bahasa Melayu untuk calon terjejas. Cadangan supaya 5,377 calon yang terjejas diberi pelepasan khas menduduki peperiksaan dalam sesi kedua dianggap lebih adil dan tidak menjejaskan calon lain. Malangnya, cadangan ini tidak diendahkan.
Tambah mengeruhkan keadaan apabila terdapat pendedahan bahawa calon-calon tidak diberikan keselesaan seperti yang dijanjikan oleh Menteri Pendidikan. Melalui perkongsian Aktivis, Cikgu Fadhli Salleh, terdapat calon-calon yang hanya tidur diatas lantai dan tidak diberikan selimut. Terdahulu, media juga ada melaporkan masih terdapat calon SPM 2024 yang didakwa terkandas dan menunggu bantuan untuk dibawa keluar bagi menduduki ujian lisan bahasa Melayu pada Isnin.
Ada dikalangan orang awam juga menyeru agar KPM agar mempertimbangkan cadangan untuk untuk menukar waktu pemeriksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di luar musim tengkujuh. Cadangan ini dilihat mampu memberi solusi jangka panjang kerana saban tahun KPM harus berhadapan masalah yang sama akibat faktor luar kawalan Monson Timur Laut yang berlaku pada November hingga Mac.
Kesimpulan
Bencana alam memerlukan tindak balas pantas dan berkesan, tetapi empati juga tidak boleh diabaikan. Dalam situasi banjir yang melanda, KPM harus mengutamakan keadilan dan kesejahteraan calon SPM. Seseorang yang kehilangan rumah dan menghadapi tekanan emosi sukar untuk fokus dalam peperiksaan. Justeru, sudah tiba masanya KPM menilai semula pendekatan mereka demi masa depan pendidikan yang lebih inklusif dan berperikemanusiaan.