Malaysia MADANI : Mampukah Mencapai Sasaran Tenaga Mahir ?

Semasa pembentangan rangka dan hala tuju Ekonomi Madani, YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyasarkan Malaysia menjadi antara 30 kuasa ekonomi terbesar di dunia. Sasaran ini akan dicapai dengan menstruktur semula pelbagai pelan ekonomi yang lebih mapan. Ini termasuk usaha penyerantauan dan daya saing yang lebih besar serta meningkatkan rantaian nilai. Sasaran ini bertujuan bagi memastikan pulangan hasil ekonomi negara terus dinikmati dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Bagi merealisasikan sasaran ini, keperluan melahirkan lebih banyak syarikat dan industri tempatan yang berdaya saing tinggi serta tenaga mahir berkualiti yang mencukupi adalah amat penting. Tenaga mahir adalah individu yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam teknik serta aplikasi teknologi moden untuk menjamin kecekapan industri sekali gus, meningkatkan produktiviti dan daya saing industri. Malaysia sebelum ini telah meletakkan sasaran melahirkan 35% tenaga mahir menjelang 2030.

Antara sektor yang memerlukan tenaga mahir ialah sektor automotif. Sejak 2018, kerajaan telah meluluskan pelaburan sebanyak RM 14.7 Bilion bagi mewujudkan ekosistem kenderaan elektrik (EV) di Malaysia. Pelaburan besar ini sudah pasti memerlukan kumpulan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta teknologi inovatif yang tepat untuk menyokong keperluan industri EV. Justeru, tidak hairanlah kerajaan kini semakin memberikan tumpuan kepada industri EV dan menjadikannya sebagai pemangkin utama industri kejuruteraan, sains dan teknologi dalam bidang automotif.

Menurut Presiden Persatuan Kenderaan Elektrik Malaysia (EVAM), Datuk Dennis Chuah mengakui meskipun penggunaan EV di negara masih rendah, iaitu kurang daripada 1% pemilikan kereta, namun permintaanya dilihat semakin meningkat. Ini jelas menunjukkan EV dan lebih banyak lagi sektor ekonomi lain akan beradaptasi dengan teknologi yang memerlukan kepada tenaga mahir.

A poster showing a labor doing work on a building half finish

Cabaran ke arah menyediakan tenaga kerja mahir

Isu tenaga mahir juga terkait dengan pemberian gaji yang tidak berpatutan. Senario ini menyebabkan lambakan tenaga mahir sedia ada terpaksa berhijrah ke negara luar yang menawarkan gaji yang berpadanan dengan kemahiran mereka. Meskipun Kementerian Sumber Manusia (KSM) saban tahun berusaha untuk membawa pulang para tenaga mahir ke negara ini menerusi Program Kepulangan Pakar (REP) yang telah diperkenalkan sejak 1 Januari 2001, namun ia masih belum membuahkan hasil yang memuaskan. Malahan, pada tahun yang lalu, Talent Corp, salah satu agensi di bawah KSM melaporkan hanya berjaya membawa pulang seramai 5,774 rakyat Malaysia melalui REP, iaitu 0.33 % daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang berhijrah ke negara lain.

Selain isu penghijrahan tenaga mahir, Malaysia juga berdepan dengan cabaran pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak ingin menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menganggarkan sehingga kini, lebih 300,000 lepasan SPM tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam tempoh tiga tahun sejak 2020. Ia mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan belia negara ini dan akan menjejaskan usaha negara melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi pada masa hadapan jika trend ini terus berlaku.

Hal ini diakui oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB Tuan Mustapha Sakmud pada sidang media pada 20 Julai 2023 di Melaka. Beliau menyatakan isu peningkatan lepasan SPM tidak menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dijangka akan mempengaruhi dan memberi kesan kepada sumber manusia negara khususnya terhadap usaha mencapai 35% tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor ekonomi menjelang 2030 yang ketika ini pada tahap 28%.

Tambah beliau lagi, kebanyakan lepasan SPM yang tidak menyambung pelajaran lebih cenderung untuk memilih bekerja dalam sektor ekonomi gig atau e-hailing dan p-hailing selain sektor pengilangan. Penglibatan lepasan SPM dalam sektor ekonomi gig, bukan hanya tidak memberi jaminan masa depan, malah ia juga tidak menyumbang kepada peratusan melahirkan pekerja tenaga mahir kerana pekerjaan tersebut tidak menuntut aplikasi kemahiran aras tinggi.

 

Nafas baharu kepada TVET

Bagi menangani cabaran ke arah sasaran menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia dan 35% tenaga mahir menjelang 2030, kerajaan perlu mengambil beberapa langkah drastik bagi memastikan negara berada pada landasan yang betul. Antaranya, kerajaan perlu memperluas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seiring memberi maklumat mengenainya, supaya dapat menangkis persepsi bahawa TVET merupakan pilihan pendidikan kedua. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memaklumkan sebanyak 95% graduan TVET telah berjaya memperolehi pekerjaan. Ini membuktikan TVET melahirkan tenaga mahir selaras dengan keperluan industri semasa. Pada masa sama, wajar untuk kerajaan memastikan gaji diberikan kepada graduan TVET selari dengan kemahiran mereka.

Selain itu, libat urus silang kementerian khususnya, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia, dalam usaha memperkukuh TVET pada masa akan datang. Beberapa usaha perlu diperhalusi iaitu memperkenal TVET pada bidang pengajian lain, kerjasama pemain industri serta siri kempen kesedaran. Seterusnya, lepasan SPM perlu diberi bimbingan jelas mengenai hala tuju peringkat pengajian lebih tinggi. Kita perlu akui, ledakan teknologi hari ini memberi kesan terhadap sudut pandang remaja masa kini. Justeru, pentingnya ada intervensi awal mengenai hala tuju ini agar mereka lebih mengerti dan memahami kepentingan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Intihanya, hasrat kerajaan menjadikan Malaysia antara kuasa ekonomi dunia mestilah seiring kemampuan negara melahirkan jumlah tenaga kerja mahir yang mencukupi. Ini kerana golongan tenaga mahir merupakan menjadi aset utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara. Selain itu, kerajaan juga perlu mengambil langkah yang lebih drastik menyelesaikan kemelut pelajar lepasan SPM yang tidak ingin menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Pendidikan TVET diuar-uarkan mampu menjadi solusi bagi mencapai 35 % jumlah tenaga mahir menjelang 2030 namun usaha giat perlu dilaksanakan bagi mempromosi TVET agar diterima anak muda. Persoalan yang penting juga, adakah kerajaan mampu menawarkan gaji bermakna dan setimpal dengan kemahiran mereka?

 

Hafizudin Yahaya,

Penyelidik,

Yayasan Strategik Lestari.

 

RUJUKAN:

1. Teks Ucapan Ekonomi Madani : Memperkasa Rakyat, Julai 27, 2023, https://www.pmo.gov.my/ms/2023/07/teks-ucapan-ekonomi-madani-memperkasa-rakyat-2/

2. https://www.sinarharian.com.my/article/269192/berita/nasional/300000-lepasan-spm-tidak-mahu-sambung-belajar

3. https://www.utusan.com.my/nasional/2023/01/ksm-perkenal-inisiatif-myheart-bawa-pulang-pakar-malaysia/

4. https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/10/1012559/perkasa-pekerja-ekonomi-gig-dengan-kemahiran-tinggi

5. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/07/1127442/kkdw-sasar-rm2000-gaji-minimum-lepasan-tvet-zahid

6. https://dbook.penerangan.gov.my/dbook/dmdocuments/keperluan_tenaga_kerja_mahir/files/downloads/keperluan_tenaga_kerja_mahir.pdf

7. Amirul Rafiq, Abdul Rahim., Shazrul Arif, Suhaimi. (2022). Fresh Graduate Adversities: A Decade’s Insight on The Graduate Tracer Study. Khazanah Research Institute. Working Paper 6/22, 23 December 2022.

Picture of Hafizudin Yahaya

Hafizudin Yahaya

Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSIKAN ARTIKEL DI ATAS

LinkedIn
Facebook
Email
WhatsApp
Print

ARTIKEL BERKAITAN