Langkah strategik sistem pengangkutan awam

MALAYSIA mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan dalam sektor pelancongan domestik, dengan 58.6 juta pelancong direkodkan bagi suku pertama tahun 2024.

Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding 49.26 juta pelancong bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Namun begitu, menurut Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof, antara destinasi negeri yang sering menjadi tumpuan utama pelancong adalah Selangor, Pahang dan Melaka.

Ini menunjukkan bahawa berlaku ketidakseimbangan yang ketara dalam aliran pelancongan antara negeri-negeri di Malaysia.

Antara faktor yang menyumbang ketidakseimbangan ini adalah kekurangan akses pengangkutan awam dan kurang promosi serta pemasaran ke destinasi-destinasi menarik.

Oleh itu, kerajaan perlu memberi fokus yang jitu untuk memperkasa mutu pengangkutan awam.

Ini kerana, perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap dan berkesan adalah elemen penting merancakkan sektor pelancongan negara.

Peningkatan infrastruktur pengangkutan awam

Langkah pertama dalam memperkukuhkan pengangkutan awam adalah dengan meningkatkan infrastruktur sedia ada.

Kerajaan perlu mewujudkan dana khas untuk membantu operator pengangkutan awam memperbaiki dan memperluas rangkaian mereka.

Sistem rel seperti MRT, LRT, dan KTM serta pengangkutan bas perlu diperluaskan ke kawasan pelancongan utama yang sering dikunjungi oleh pelancong.

Destinasi seperti Pulau Langkawi, Cameron Highlands, Kuantan, Kuala Terengganu dan Pulau Pinang boleh mendapat manfaat daripada sambungan terus melalui rel atau perkhidmatan bas ekspres khas.

Lebih banyak terminal bas perlu diwujudkan di tempat-tempat pelancongan strategik seperti tapak warisan, taman tema, atau lokasi semula jadi yang popular.

Keutamaan juga perlu diberikan kepada projek rel di kawasan Pantai Timur, Sabah, dan Sarawak untuk memastikan kebolehaksesan yang lebih baik di kawasan yang kurang mendapat perhatian infrastruktur.

Selain itu, membangunkan perhubungan intermodal, iaitu hubungan antara pelbagai jenis pengangkutan seperti kereta api, bas, dan feri, adalah penting untuk memastikan perjalanan pelancong lebih lancar.

Terminal pengangkutan awam juga perlu dinaik taraf dengan kemudahan moden seperti pusat maklumat pelancongan, restoran, dan tempat rehat yang selesa.

Dengan ini, pelancong tidak perlu bimbang tentang kesukaran mencari pengangkutan yang sesuai untuk sampai ke destinasi mereka.

Integrasi sistem, pemantauan harga tiket

Cabaran lain yang dihadapi oleh pelancong ialah kesukaran memahami sistem pengangkutan awam, terutamanya apabila melibatkan pelbagai operator dengan sistem tiket yang berbeza.

Untuk mengatasi masalah ini, Malaysia boleh mempertimbangkan pelaksanaan sistem tiket berpusat yang membolehkan pelancong menggunakan satu aplikasi bagi semua jenis pengangkutan awam, termasuk bas, rel, dan feri.

Integrasi ini bukan sahaja mempermudah perjalanan pelancong domestik dan luar negara tetapi juga berpotensi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam secara meluas.

Pelaksanaan platform digital yang mesra pengguna akan memudahkan perancangan perjalanan, membeli tiket, serta mendapatkan maklumat waktu perjalanan dapat mempertingkatkan pengalaman pengguna.

Sebagai contoh, aplikasi sedia ada seperti MyRapid PULSE, Airpaz, Redbus, Easybook dan TBS Online Ticketing boleh diperluaskan fungsinya untuk menyokong sistem tiket integrasi ini selain memberikan kemudahan tambahan kepada pelancong dan pengguna tempatan.

Pemantauan harga tiket oleh pihak berkuasa perlu diperkasakan untuk memastikan caj yang dikenakan adalah berpatutan dan selaras dengan piawaian yang ditetapkan.

Sistem pemantauan automatik melalui penggunaan teknologi, seperti dataraya (big data) dan kecerdasan buatan (AI) boleh membantu mengenal pasti penyelewengan harga tiket serta mengelakkan manipulasi harga oleh pengendali.

Selain itu, kementerian juga perlu menetapkan had harga maksimum tiket untuk pelbagai jenis pengangkutan berdasarkan jarak perjalanan, kelas perkhidmatan dan waktu perjalanan.

Peraturan ini bagi memastikan operator pengangkutan tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya pada hari cuti umum dan cuti sekolah.

Pengangkutan awam sebagai platform promosi

Salah satu cara paling efektif untuk meningkatkan kesedaran terhadap destinasi pelancongan adalah dengan menggunakan pengangkutan awam sebagai platform pengiklanan.

Tren, bas, dan feri yang beroperasi setiap hari boleh menjadi medium visual yang menarik perhatian penumpang tempatan dan pelancong asing.

Rekaan kreatif pada pengangkutan boleh menampilkan tema menarik yang memaparkan keindahan lokasi pelancongan, seperti pantai, taman negara, atau tapak bersejarah.

Sebagai contoh, tren LRT dan MRT boleh dihiasi dengan tema alam semula jadi untuk mempromosikan destinasi menarik di Malaysia, manakala bas di bandar boleh dihiasi dengan gambar mural bangunan ikonik seperti Menara KL, KLCC, Tugu Negara, Zoo Negara dan taman-taman di sekitar bandar.

Penggunaan teknologi digital di stesen tren dan bas juga boleh digunakan untuk menayangkan video promosi yang memaparkan pengalaman unik di destinasi tertentu.

Kerajaan perlu bekerjasama dengan agensi pelancongan atau syarikat penerbangan untuk mempromosikan destinasi pelancongan melalui pengangkutan awam.

Contohnya, promosi pakej pelancongan “naik tren dan jelajah bandar” boleh diperkenalkan, dengan harga tiket yang lebih rendah bagi pelancong yang memilih pengangkutan awam melalui aplikasi tertentu.

Kesimpulan

Memperkukuh pengangkutan awam adalah langkah penting untuk meningkatkan mutu sektor pelancongan di Malaysia.

Peningkatan infrastruktur dan kualiti perkhidmatan akan membolehkan Malaysia menarik lebih ramai pelancong domestik dan luar negara.

Usaha ini bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan negara, malah ia juga akan merancakkan ekonomi tempatan.

Picture of Masitah Ismail
Masitah Ismail
Penyelidik Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.3
Baca Artikel Penuh
2025.3
Baca Artikel Penuh
2025.2
Baca Artikel Penuh