Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sekali lagi mencetuskan kontroversi antarabangsa apabila secara terbuka menuntut akses percuma kepada kapal-kapal dagang dan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Terusan Panama dan Terusan Suez. Menurut Trump, tuntutan tersebut adalah wajar dan merupakan “bayaran yang sepatutnya” diterima AS atas sumbangan besar pembinaan Terusan Panama dan mengekalkan kestabilan geopolitik di sekeliling Terusan Suez. Trump juga mendakwa AS “tidak mendapat balasan setimpal” atas jasa-jasanya dalam membina infrastruktur global.
Legitimasi Sejarah atau Retorik Imperialisme Baharu?
Menerusi ucapannya pada satu majlis di Florida, Trump mendakwa bahawa kedua-dua terusan itu “tidak akan wujud” tanpa campur tangan dan sokongan sejarah AS. Kenyataan ini merujuk kepada peranan AS dalam pembinaan Terusan Panama pada awal abad ke-20 apabila AS menyokong pemisahan Panama daripada Colombia dan kemudiannya mengawal terusan itu selama hampir satu abad sebelum menyerahkan kawalan penuh kepada Panama pada tahun 1999. Untuk Terusan Suez pula, beliau mengaitkannya dengan kepentingan AS dalam memastikan kestabilan antarabangsa selepas krisis Suez 1956.
Namun, tuntutan tersebut menimbulkan persoalan besar mengenai hak sesebuah negara memperoleh keistimewaan tertentu berdasarkan sumbangan sejarah pada masa lalu. Hak milik sesebuah infrastruktur antarabangsa sewajarnya ditentukan berdasarkan kedaulatan negara dan prinsip undang-undang antarabangsa moden, bukan sentimen sejarah unilateral.
Menurut penganalisis hubungan antarabangsa seperti Fareed Zakaria dan Joseph Nye, tindakan seperti yang dicadangkan oleh Trump boleh dilihat sebagai bentuk baharu dominasi unilateralisme yang mencerminkan nostalgia terhadap hegemoni imperialis. Dalam konteks ketegangan perdagangan global dan ketidaktentuan tarif hari ini, pendekatan tersebut berisiko memperkenalkan semula permainan kuasa lama dalam bentuk diplomasi laluan dagang yang berbahaya kepada prinsip kebebasan pelayaran dan perdagangan antarabangsa.
Sikap menuntut hak istimewa seperti ini dilihat turut membuka persoalan lain yang lebih besar. Jika AS boleh menuntut demikian, adakah Britain, Perancis, atau Jepun juga berhak menuntut keistimewaan ke atas bekas jajahan atau projek infrastruktur global yang mereka bina dahulu? Ini sudah tentu akan mewujudkan dunia yang kacau dan tidak stabil, apabila hak kedaulatan sesebuah negara boleh dipertikaikan atas alasan sejarah lampau.
Cabaran Perdagangan Antarabangsa?
Terusan Panama dan Suez merupakan nadi perdagangan global, memendekkan masa penghantaran barangan antara benua, dan menyumbang kepada kestabilan ekonomi dunia. Hakikat ini menimbulkan persoalan besar akan kemampuan laluan strategik ini kekal neutral dan bebas daripada tuntutan kuasa besar? Apakah mekanisme antarabangsa yang boleh memastikan kedaulatan laluan ini dihormati?
Ketika AS mengemukakan tuntutan tersebut, risiko kepada prinsip perdagangan bebas semakin ketara. Jika terusan-terusan ini dibuka kepada layanan istimewa untuk mana-mana negara, bukankah ini mewujudkan ketidakadilan kepada negara lain yang juga bergantung kepada laluan yang sama? Apakah akan wujud diskriminasi dalam penggunaan laluan antarabangsa berdasarkan kekuatan tentera dan ekonomi semata-mata?
Lebih membimbangkan, tuntutan sebegini mendedahkan hakikat bahawa penguasaan laluan strategik adalah bentuk kuasa lunak (soft power) yang paling berharga pada abad ke-21. Siapakah yang akan mengawal masa depan laluan-laluan ini sekiranya kuasa besar mampu menekan negara-negara kecil untuk menyerahkan hak akses istimewa? Apakah ASEAN, Kesatuan Eropah, atau PBB mempunyai peranan efektif dalam mempertahankan neutraliti laluan laut antarabangsa?
Dalam konteks negara-negara dunia yang semakin saling bergantung ini, adakah wajar untuk membiarkan prinsip “hak kuat mengatasi hak sah” mendominasi hubungan antarabangsa? Atau sudah sampai masa untuk peraturan global baharu yang lebih adil dan telus dirangka bagi melindungi laluan strategik dunia?
Kesimpulan
Tuntutan Donald Trump terhadap Terusan Panama dan Terusan Suez bukan sahaja menguji prinsip undang-undang antarabangsa, tetapi juga mencabar asas moral sistem perdagangan bebas global. Ketika kuasa besar mula menggunakan sejarah sebagai alasan untuk menuntut keistimewaan, dunia harus lebih kritikal dalam mempertahankan hak kedaulatan negara-negara kecil dan mengukuhkan mekanisme multilateralisme. Retorik politik murahan tidak seharusnya boleh mengatasi etika hubungan antarabangsa dan prinsip keadilan sejagat.