Pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengenai ruang buat semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berjaya memperoleh keputusan 10A dan ke atas memasuki program matrikulasi tanpa mengira kaum adalah sesuatu yang janggal. Ini kerana kuota kemasukan bumiputera ke dalam matrikulasi merupakan salah satu jaminan kerajaan yang termaktub dalam Perlembagaan Perkara 153 agar tidak berlaku kesenjangan antara bumiputera dan bukan bumiputera.
Walaupun kerajaan menyatakan keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri itu tidak akan mengganggu kuota pelajar bumiputera sedia ada, timbul persoalan bagaimanakah mekanisme pelaksanaannya memandangkan kuota kemasukan tahunan sudah ditetapkan setiap tahun.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika mengulas isu ini juga tidak menjelaskan mekanisme pelaksanaannya. Sebaliknya, beliau hanya meminta pihak yang mempersoalkan pengumuman tersebut agar tidak risau, kerana kerajaan telah bersedia untuk menyelesaikannya. “Jadi apabila kita menyatakan bahawa kita akan memberikan tempat kepada pelajar yang mendapat 10A ke atas maka kita akan bagi tempat, jadi jangan tanya soal bagaimana (hendak tunaikan) kerana yang paling mustahak ialah mereka akan diberikan tempat itu. Mungkin ada proses yang sebelum ini mereka tidak mendapat tempat dan kita akan proses kesemuanya berdasarkan kepada bilangan yang memperoleh keputusan cemerlang. Jadi apabila kita menyatakan bahawa kita akan memberikan tempat, kita akan berikan,” ujar beliau.
Turut membimbangkan lagi apabila langkah janggal kerajaan ini terus disokong oleh Pengerusi Majlis Amanah (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mengatakan keputusan kerajaan membuka peluang kepada pelajar lepasan SPM kepada semua kaum yang memperoleh 10A ke matrikulasi bukan isu yang sepatutnya membimbangkan. Kenyataan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa kerajaan sememangnya dalam rangka kerja mengubah kuota kemasukan bumiputera ke matrikulasi seterusnya melonggarkan jaminan perlembagaan yang ada untuk masa akan datang.
Beliau menyatakan bahawa apa yang patut dirisaukan ialah lebih 280,000 pelajar yang gagal SPM atau hanya lulus tanpa kredit yang sekaligus tidak layak ke matrikulasi. Tidak dinafikan isu ini juga satu isu besar yang perlu diselesaikan oleh pihak kerajaan namun apa yang dibincangkan di sini ialah satu isu yang berbeza. Beliau dilihat seolah-olah cuba mengalihkan satu isu kepada satu isu yang lain.
Namun, selepas keputusan rayuan calon ke Program Matrikulasi diumumkan 5 Julai lalu, ramai daripada pelajar bukan bumiputera yang mendapat keputusan 10A gagal dalam rayuan mereka untuk mendaftar ke program matrikulasi kerajaan. Perkara ini disahkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong selepas beliau dihubungi ibu bapa pelajar yang gagal mendapat tempat dalam program matrikulasi. Sebelum ini, beliau juga pernah menyuarakan kemustahilan penerimaan semua pelajar cemerlang tanpa mempengaruhi sistem kuota Bumiputera. Berdasarkan data terkini, jumlah pelajar Cina melebihi 1,000 menyumbang antara 5.4% hingga 6% daripada jumlah penerimaan keseluruhan manakala pelajar India menyumbang kira-kira 3.6%. Penerimaan semua pelajar 10A daripada kalangan bukan bumiputera sepastinya akan mempengaruhi kuota 10% itu.
Antara persoalan lain yang timbul ialah bagaimana pula dengan pelajar yang hanya mendaftar untuk 9 mata pelajaran dan mendapat A untuk semua mata pelajaran. Adalah mustahil untuk mereka mendapatkan 10A sekaligus tidak melayakkan mereka mendapat tempat di matrikulasi. Kaedah pengiraan begini hanya menilai pelajar berdasarkan peperiksaan dan bukannya kapasiti seorang pelajar. Adakah begini hala tuju yang ingin diambil kerajaan?
Jaminan hak istimewa bumiputera
Perlu diingat, kewujudan matrikulasi adalah berpandukan junjungan mandat Perkara 153 Perlembagaan. Seluruh warga Malaysia baik di pusat pentadbiran mahupun rakyat di bawah perlu hadam dengan sifat keluhurannya. Tambahan lagi, perlembagaan itu meletakkan kewajipan ke atas Yang di-pertuan Agong, bukan sahaja menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri, bahkan kepentingan sah kaum lain turut dinyatakan sebagai warganegara. Kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri dilebihkan untuk matrikulasi ada kewajarannya, manakala kaum lain turut dijamin kedudukan mereka di universiti awam dengan pelbagai pilihan bidang pengajian.
Kepentingan Perkara 153 perlu dinilai dari perspektif sejarah berdasarkan Perjanjian Negeri 1948, Raja-raja Melayu memberikan komitmen kepada orang Melayu dalam bidang pendidikan, kemajuan ekonomi, kebajikan sosial, dan penyertaan dalam perkhidmatan kerajaan. Begitulah Perjanjian Persekutuan itu dirangka untuk membentuk persekutuan dan perkara yang menyentuh kepentingan orang Melayu sebagai bangsa asal diberikan perhatian yang mendalam.
Realitinya, Perkara 153 bukanlah dasar yang menghalang kaum bukan bumiputera untuk mencapai kekayaan, apatah lagi bersifat diskriminasi yang bercanggah dengan prinsip keadilan. Yang paling penting adalah memastikan pelaksanaan Perkara 153 dilakukan sepenuhnya mengikut peruntukan yang ditetapkan, manakala kaum lain tidak dinafikan perlindungan di sisi undang-undang dan hak mereka terhadap keperluan asasi.
Kesimpulannya, isu kemasukan ke matrikulasi tidak sepatutnya dipolemikkan dan dimainkan oleh pihak tertentu yang cuba mengganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan matrikulasi itu sendiri. Cadangan kerajaan yang terbukti tidak mampu dilaksanakan ini perlu segera dinoktahkan demi menjunjung keluhuran Perlembagaan. Perkara 153 Perlembagaan yang menjadi teras negara ini perlulah difahami dan dihormati oleh semua pihak agar keharmonian negara terus terpelihara.
Sumber: harakahdaily