Kenaikan Kos LRT Mutiara: Ke Mana Perginya Wang Rakyat?

Projek LRT Mutiara di Pulau Pinang akhirnya sah untuk dilaksanakan dengan kos keseluruhan dianggarkan sebanyak RM13 bilion tahun ini. Berita ini disambut baik oleh rakyat Pulau Pinang kerana ini dijangka dapat mengatasi kesesakan lalu lintas dari Seberang Perai ke pulau seterusnya memperkukuhkan kedudukan negeri sebagai hab perindustrian utama negara.

Persoalannya, adakah penggunaan dana awam yang tertumpu kepada satu negeri berbaloi. Adakah keputusan mengenai keutamaan infrastruktur dibuat secara seimbang dan menepati keperluan mendesak.

Penggunaan dana awam perlu lebih telus

Tahun lalu, Ketua Menteri memberi jaminan bahawa kos projek hanya mencecah sekitar RM10.5 bilion sahaja. Namun, peningkatan kos sudah berlaku sebanyak 19% kepada RM13 bilion tahun ini, dengan Gamuda dijangka membina 19 stesen sepanjang 24km dengan kos RM8 bilion. Dapatan pemantauan TA Securities pula membuat anggaran bahawa jumlah keseluruhan akan terus meningkat untuk dua baki segmen dalam projek ini.

Tidak siapa menafikan manfaat projek ini kepada negeri. Namun, dengan penggunaan dana awam, pelaksanaannya perlu didorong kepada visi yang lebih jauh kepada sasaran impak yang lebih luas dan seimbang. Ini yang masih belum jelas apakah rasional keputusan kabinet mengutamakan projek LRT dan projek pembesaran lapangan terbang di Pulau Pinang daripada projek mega untuk tujuan lain.

Kecekapan kos projek mega

Sebarang peningkatan kos dan manfaat sesuatu projek perlu diteliti serta dipertanggungjawabkan bagi memastikan impak yang optimum dengan perbelanjaan yang cekap. Seperti contoh, MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang dilaksanakan dengan kos hampir RM412 juta bagi setiap kilometer dan projek LRT3 pula siap dengan kos sekitar RM300 juta bagi setiap kilometer. Manakala, projek Mutiara ini pula dijangka menelan dana awam puratanya RM441 juta bagi setiap kilometer di sebuah lokasi sahaja.

Jika dibandingkan dari segi kos dan impak, kadar ini adalah tinggi dan tidak selari dengan amalan kecekapan perbelanjaan infrastruktur yang sepatutnya mengoptimumkan sumber serta memberikan manfaat yang seimbang kepada rakyat.

Kesimpulan

Justeru, walaupun projek ini menyumbang pelaburan yang besar kepada sektor pengangkutan awam, kecekapan kosnya masih dipersoalkan. Ini menimbulkan persoalan bagaimana projek ini diurus, strategi pembiayaannya, dan sejauh mana ia benar-benar berdaya maju, terutama ketika ketika rakyat terus dibebani dengan cukai di tengah kekangan kos sara hidup yang meningkat.

Picture of Hanisah Abd Rahman

Hanisah Abd Rahman

Deputy Director of Research, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.2
Baca Artikel Penuh
2025.2
Baca Artikel Penuh