Janji Peruntukan Pembangkang Hanya Retorik Kosong Madani

Blok kerajaan semalam dikecam hebat dalam sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja apabila YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membongkar pembohongan terang-terangan kerajaan Madani berhubung isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang. Walaupun kerajaan berulang kali mendakwa peruntukan akan diberikan jika pembangkang berunding, ahli parlimen Muar itu mendedahkan bahawa beliau telah lima kali berunding tetapi tetap dipermainkan tanpa sebarang hasil. Ini bukan sekadar kegagalan pentadbiran, tetapi satu bentuk kezaliman politik yang melanggar prinsip demokrasi dan keadilan. Sikap hipokrit ini membuktikan bahawa kerajaan Madani hanya sekadar bersandiwara, menindas lawan politik sambil menafikan hak rakyat di kawasan pembangkang. 

Pembangkang Dipinggirkan, Kerajaan Bermewah

Hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah Ahli Parlimen kerajaan menerima peruntukan yang sangat mewah. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, semasa menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Temerloh pada khamis lalu berkata peruntukan khas Perdana Menteri diperoleh ahli parlimen kerajaan sejak 2023 hingga tahun lalu berjumlah RM1.7 juta bagi kawasan Parlimen di Semenanjung dan RM2.2 juta bagi Sabah dan Sarawak.

Walaubagaimanapun, ahli parlimen pembangkang langsung tidak diberikan walau satu sen daripada kerajaan madani. Ini menimbulkan persoalan besar: apakah wang peruntukan ini hanya untuk penyokong kerajaan sahaja? Mengapakah hak rakyat di kawasan yang diwakili pembangkang dinafikan semata-mata kerana perbezaan politik? Tindakan ini bukan sahaja tidak adil, tetapi juga bercanggah dengan semangat demokrasi yang sering diwar-warkan oleh kerajaan.

Alasan “Tidak Mahu Berunding” Adalah Sandiwara

Terdahulu, kerajaan sering berdalih bahawa pembangkang tidak menerima peruntukan kerana mereka enggan berunding. Namun, fakta membuktikan sebaliknya. Syed Saddiq sendiri telah berulang kali berunding dengan kerajaan, tetapi tetap dipermainkan dengan janji kosong. Beliau akhirnya terpaksa mencari dana sendiri, termasuk menjadi model baju raya, demi membantu rakyat di kawasannya. Ironinya, di kala kerajaan memberi peruntukan besar kepada ahli Parlimen sendiri, seorang wakil rakyat pembangkang terpaksa melakukan kerja luar demi memastikan bantuan kepada rakyat tidak terjejas. Ini bukan sahaja mencerminkan kezaliman politik, tetapi juga kegagalan kerajaan Madani dalam mentadbir secara profesional dan bertanggungjawab.

Demokrasi atau Autokrasi Bertopeng?

Dalam sistem demokrasi yang matang, peruntukan kepada wakil rakyat seharusnya diagihkan secara saksama tanpa mengira parti politik. Namun, apa yang berlaku di Malaysia sekarang menggambarkan pentadbiran seolah-olah cenderung kepada politik dendam. Rakyat di kawasan pembangkang turut membayar cukai dan menyumbang kepada pembangunan negara, tetapi hak mereka terus dinafikan. Adakah demokrasi yang diperjuangkan kerajaan Madani hanya sekadar retorik, tetapi hakikatnya mengamalkan autokrasi bertopengkan reformasi? Jika kerajaan benar-benar ikhlas dalam memastikan kebajikan rakyat, peruntukan harus diberikan berdasarkan keperluan rakyat, bukan kesetiaan politik.

Kesimpulan

Ketidakadilan dalam pengagihan peruntukan ini bukan sahaja membuktikan bahawa kerajaan Madani gagal menepati janji, malah mencemarkan prinsip demokrasi yang sepatutnya menjadi asas pentadbiran negara. Sikap pilih kasih dalam menyalurkan dana hanya merugikan rakyat dan melebarkan jurang ketidaksaksamaan dalam pembangunan kawasan. Kerajaan perlu segera menghentikan amalan politik zalim ini dan memastikan setiap ahli Parlimen, tanpa mengira parti, mendapat peruntukan yang adil. Jika kerajaan terus berdolak-dalih, maka jelaslah bahawa konsep “Madani” yang dicanang hanyalah slogan kosong tanpa sebarang nilai sebenar. Rakyat Malaysia berhak mendapat kepimpinan yang adil, bukan pentadbiran yang hanya menjaga kepentingan golongan tertentu.

Picture of Hafizudin Yahaya
Hafizudin Yahaya
Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.5
Baca Artikel Penuh
2025.5
Baca Artikel Penuh
2025.5
Baca Artikel Penuh