Isu Guru Bersara Awal Perlukan Solusi Segera KPM

Isu guru bersara awal kian mendapat perhatian pelbagai pihak mutakhir ini. Ibarat retak menanti belah, isu guru bersara awal juga terus menunjukkan trend meningkat saban tahun terutamanya selepas pasca pandemik Covid-19. Situasi ini menyebabkan ramai pihak berkepentingan samada mewakili persatuan-persatuan atau perseorangan menyuarakan kebimbangan dan cadangan masing-masing agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah drastik yang lebih berkesan membendung masalah ini.

Pada Jun 2022, Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa, hampir setiap tahun, sekurang-kurangnya 10, 000 orang guru yang sedang berkhidmat membuat permohonan kepada KPM untuk bersara awal. Presiden NUTP, Encik Aminuddin Awang berkata majoriti permohonanan datang dari guru-guru yang berumur lingkungan 56 hingga 58 tahun. Tambah beliau lagi, angka 10,000 permohonan tersebut jauh melebihi statistik yang direkodkan KPM bagi permohonan persaraan pilihan dibuat oleh guru pada 2021.

Merujuk data KPM, pada tahun 2015, sebanyak 2,777 guru yang telah memilih untuk bersara awal, manakala tahun seterusnya iaitu 2016, angkanya meningkat kepada 3,591. Trend ini menjadi lebih meruncing apabila angka tersebut terus meningkat kepada 4,360 permohonan persaraan awal pada 2021 iaitu bersamaan dengan 1.06% jumlah keseluruhan guru. Terbaru, KPM melalui pemberitahuan pertanyaan dewan rakyat kepada ahli parlimen Kota Melaka bertarikh 26 Jun 2024 memaklumkan jumlah permohonan guru yang diluluskan untuk bersara awal naik kepada 5, 306 orang pada 2022 dan 6,394 orang pada 2023.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, semasa mengulas isu ini kepada wartawan pada 27 Jun yang lalu selepas berkempen di Dun Sungai Bakap menyatakan kementeriannya tidak pernah memandang remeh isu guru bersara awal. Malahan, KPM telah mengambil pelbagai langkah meningkatkan semangat guru untuk terus memberi khidmat mendidik anak bangsa sebelum mereka bersara wajib. Ini termasuk program bersifat psikometrik, sokongan dan dokongan serta pengurusan berkaitan kenaikan pangkat.

Punca Guru Bersara Awal

Berdasarkan jawapan lisan Menteri Pendidikan di Dewan Rakyat pada 27 Jun lalu, faktor utama yang menyumbang kepada isu guru bersara awal ini ialah hilang minat untuk meneruskan kerjaya. Faktor ini mewakili 72.36 peratus guru yang memilih untuk bersara awal bagi tempoh 3 tahun yang lalu. Selain itu, faktor keluarga juga turut dikenal pasti sebagai punca lain bagi isu ini, merangkumi 15.21 peratus. Seterusnya, faktor kesihatan mewakili 6.96 peratus, diikuti faktor beban tugas 3.82 peratus dan masalah peribadi 1.64 peratus.

Stres dengan tekanan kerja yang berlebihan dilihat merupakan punca utama yang menyumbang kepada kurangnya minat para guru untuk meneruskan karier tersebut. Menurut kajian para penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2022 mendapati sebanyak 71.1 peratus guru yang berkhidmat di Kuala Lumpur dan di Selangor mengalami stres dengan nisbah guru wanita dua kali ganda lebih ramai berbanding guru lelaki. Aminuddin Awang, Presiden NUTP, turut berpandangan peningkatan kadar stres ini juga mungkin telah menjadi punca kepada kenaikan jumlah guru yang menghidapi penyakit kronik serta masalah kesihatan seterusnya membantutkan semangat guru ini untuk terus berbakti dalam dunia pendidikan.

Selain itu, faktor perubahan kerajaan yang lebih kerap kebelakangan ini turut menjadi punca kepada peningkatan guru bersara awal. Pendapat ini disuarakan oleh Ahmad Mustakim Zulkifli dalam penulisannya yang bertajuk ‘Kesan dasar pendidikan yang sering berubah’ dalam portal berita Malaysia Now bertarikh 11 Jun 2023. Menurut beliau, dasar pendidikan yang berubah mengikut pertukaran kepimpinan di peringkat nasional dan kementerian menjadikan murid, ibu bapa dan guru mangsa kepada keadaan itu. Malahan, guru selaku tulang belakang dalam sektor pendidikan negara sudah pasti akan menjadi kumpulan yang paling terkesan merasai beban perubahan dasar ini untuk dilaksanakan.

Di samping itu, faktor perkembangan dan pembudayaan digitalisasi pendidikan turut menyumbang kepada isu ini. Menurut Setiusaha Agung Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES), Encik Mohd Azizee Hasan berkata, terdapat guru yang bersara awal mengadu bahawa mereka sukar beradaptasi dengan era digital pendidikan yang semakin moden. Faktor pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) khususnya ketika negara dilanda wabak Covid-19 telah secara tidak langsung memaksa guru-guru untuk cepat menguasai teknologi pembelajaran digital sehingga memaksa sebahgian daripada mereka tewas dan memilih untuk bersara awal.

KPM Perlu Bertindak Segera

Meskipun KPM telah berikhtiar melakukan pelbagai inisiatif, namun ianya masih belum cukup berkesan bagi mengekang isu ini daripada terus meningkat saban tahun. Justeru, KPM disaran agar menilai dan menimbangkan beberapa cadangan berikut.

Pertama, KPM perlu mempertimbang secara serius cadangan mewujudkan jawatan pembantu guru bagi mengurangkan beban tugas pendidik di negara ini. Usaha ini mampu memberi impak besar dalam memudahkan tugasan guru-guru untuk fokus terhadap penambahbaikan kualiti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di dalam bilik darjah. Para guru juga dapat mengurangkan beban menyiapkan tugas perkeranian serta urusan luar bilik darjah seperti menguruskan aktiviti kokurikulum.

Kedua, KPM juga perlu bertindak segera mempertingkat keupayaan guru-guru dengan penguasaan digital dan kecerdasan kendiri (AI). Kompetensi digital pada masa kini dilihat satu keperluan kepada guru-guru bagi meningkatkan kualiti PdP lebih berkesan kepada murid. Para guru pula boleh memanfaatkan AI bagi menambah kemahiran digital secara kendiri termasuk menyediakan kemudahan keperluan ekosistem pendidikan berpandukan AI dalam melaksanakan tugas seharian di sekolah.

Terakhir, KPM juga harus lebih aktif memberi fokus terhadap pemerkasaan sistem sokongan emosi kepada para guru. Mengambil contoh negara Singapura, semua guru akan dipersiapkan dengan latihan pembangunan profesional yang celik terhadap kesihatan mental. Melalui inisiatif ini, guru bukan sahaja berupaya menyokong keperluan pelajar dalam menghadapi masalah sosial-emosi yang mencabar, tetapi juga dapat menjadi sistem sokongan kepada guru yang lain.

Picture of Hafizudin Yahaya

Hafizudin Yahaya

Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.1
Baca Artikel Penuh
2025.12
Baca Artikel Penuh