Tular baru-baru ini, sembilan Institusi Pendidikan Cina membuat bantahan menolak inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membuat penyelarasan semula silibus Bahasa Melayu di sekolah rendah vernakular. Selain Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), serta Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Selangor dan Kuala Lumpur, turut menyertai bantahan Majlis Bahasa Cina Malaysia, Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Besar Malaysia, Institut Pengajian Cina UTAR, Majlis Pengetua Sekolah Menengah Conforming Malaysia, Majlis Guru Besar SJKC Malaysia, dan Persatuan Ibubapa Pendidikan Cina Malaysia.
Menurut Presiden Jiao Zong, Cheah Lek Aee, penolakan terhadap penyelarasan silibus Bahasa Melayu di sekolah rendah vernakular disebabkan oleh faktor bahasa ibunda pelajar sekolah Cina yang bukan bahasa Melayu. Beliau menegaskan bahawa sekolah vernakular tidak boleh menggunakan silibus yang sama seperti Sekolah Kebangsaan kerana ia tidak sesuai dengan konteks pelajar yang berlainan latar belakang bahasa.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh KPM pada Mac lalu, kementerian memaklumkan bahawa terdapat permintaan untuk kajian menyeluruh mengenai ekosistem pendidikan di sekolah vernakular. Lebih daripada 1,800 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) membentuk persekitaran pendidikan vernakular yang memerlukan penilaian komprehensif bagi memastikan keberkesanannya.
Justeru, antara langkah yang akan diambil ialah penyelarasan silibus Bahasa Melayu di semua sekolah rendah, termasuk sekolah vernakular. Ini bertujuan memastikan semua pelajar di Malaysia mempunyai penguasaan dan pertuturan yang baik dalam Bahasa Kebangsaan. Ia juga merupakan usaha untuk mencapai perpaduan dan integrasi kaum melalui sistem pendidikan.
RESPON PELBAGAI PIHAK
Bantahan yang disuarakan oleh Presiden Jiao Zong telah menjadi tular dan mendapat pelbagai respon negatif serta kecaman dari pelbagai pihak. Tindakan beliau yang mewakili sembilan institusi pendidikan Cina itu dilihat tidak wajar malah telah menongkah arus terhadap semangat perpaduan dan hasrat murni KPM memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu sesuai dengan peruntukan perlembagaan.
Menurut Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, tindakan kumpulan institusi yang menolak inisiatif KPM tersebut merupakan satu keputusan tidak cerdik serta jahil tentang kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Tambah Kok Seong, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) harus memahami dasar bahasa negara yang menjunjung tinggi Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Justeru, melabelkan kumpulan tersebut sebagai cauvinis kerana berhujah mengatakan Bahasa Melayu bukan bahasa ibunda etnik Cina untuk menolak inisiatif KPM tersebut. Beliau turut hairan bagaimana kumpulan ini mempunyai nasionalisme etnik Cina yang lebih tebal berbanding semangat nasionalisme Malaysia meskipun negara ini sudah 67 tahun mencapai kemerdekaan.
Selain itu, pakar psikososial dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulkeflee Yaacob turut menempelak tindakan institusi pendidikan Cina tersebut yang disifatkan masih berilusi imigran di bawah naungan kolonial. Katanya, institusi berkenaan disifatkan tidak patriotik dan berlawanan prinsip Rukun Negara iaitu kesetiaan kepada Negara, Kedaulatan Undang-undang dan Keluhuran Perlembagaan.
Tambah Zulkeflee lagi, tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid sekolah Cina sangat lemah dari aspek tulisan mahu pun sebutan yang merosakkan nilainya dari sudut pandang antarabangsa. Justeru, adalah wajar mereka dididik untuk lebih memahami dan menguasai bahasa kebangsaan itu.
Sementara itu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) tampil membuat laporan polis terhadap Persekutuan Dong Zong yang didakwa melanggar kontrak sosial berhubung penolakan mereka mengenai insiatif kerajaan yang mahu menyelaras silibus Bahasa Melayu di sekolah rendah vernakular.
Manakala, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membuat gesaan kepada KPM agar menarik balik segala keistimewaan diberikan kepada mana-mana Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) yang membantah penyelarasan silibus Bahasa Melayu sekolah rendah vernakular. Malahan, Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali turut berpandangan, kerajaan perlu menutup institusi pendidikan vernakular sekiranya sistem pengurusannya terus menolak pelaksanaan silibus Bahasa Melayu di sekolah tersebut.
Gesaan itu turut disokong oleh Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat), Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan lain-lain.
KPM JANGAN LEMAH
Berdasarkan perkembangan semasa, isu penolakan insititusi pendidikan vernakular terhadap arahan KPM ini bukanlah pertama kali dilakukan. Jun lalu, sebelah Lembaga Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina (SMC) di Pulau Pinang menyuarakan bantahan serupa terhadap KPM untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam Dual Language Programme (DLP) di sekolah mereka.
Isu tersebut turut menjadi topik hangat seluruh negara serta mengundang kecaman dan kemarahan orang ramai. Ia juga menimbulkan persoalan mengapa insititusi pendidikan Cina ini begitu berani dan lantang menolak usaha KPM memartabat penggunaan Bahasa Melayu di sekolah-sekolah vernakular yang kerap kali diperkatakan gagal melahirkan pelajar yang fasih bahasa Melayu.
Berdasarkan perlembagaan Malaysia, melalui Perkara 152, dengan jelas mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kedudukan ini bermaksud bahawa Bahasa Melayu harus digunakan sebagai bahasa utama dalam semua urusan rasmi negara, termasuk dalam pentadbiran kerajaan, pendidikan, dan perundangan. Selain itu, Akta Bahasa Kebangsaan 1967 juga menetapkan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dalam komunikasi kerajaan, dengan pengecualian tertentu yang dibenarkan di bawah undang-undang.
KPM memamklumkan akan terus berusaha dan melakukan libat urus bagi menyelesaikan perkara ini dengan baik. Ia termasuk mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) turun padang berjumpa serta berbincang dengan semua kumpulan yang terlibat. Namun, sewajarnya tindakan lebih tegas harus mula dikenakan terhadap mereka yang masih mengulangi isu yang sama dan tidak menunjukkan sikap penerimaan malahan angkuh terhadap dasar dan objektif utama pendidikan negara.
Tuntasnya, usaha untuk memupuk perpaduan kaum sejak kanak-kanak berada di sekolah rendah adalah sangat penting dalam konteks masyarakat Malaysia bersifat majmuk. Ini menjadi lebih mencabar dengan kewujudan sekolah vernakular memisahkan murid mengikut kaum serta menggunakan bahasa penghantar utama yang berbeza. Justeru, semua pihak harus ditekankan kepentingan hidup harmoni dan saling toleransi terhadap apa yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial negara ini.
Sumber: https://harakahdaily.net