Perkembangan konflik kejam di Gaza saban hari semakin mencuri perhatian komuniti antarabangsa. Keganasan luar batas kemanusiaan regim zionis terhadap rakyat Palestin benar-benar menghambat setiap jiwa untuk bersolidariti dan menjunjukkan kemarahan terhadap kebobrokan terbesar Israel abad ini. Tidak terhad kepada masyarakat awam, bantahan berterusan turut dilakukan oleh warga pendidik dan pelajar di dalam kampus-kampus universiti ternama di seluruh dunia.
Universiti Colombia, Universiti Havard, Universiti Oxford, Universiti Berlin dan banyak lagi dilihat terus menjadi hab protes utama bagi kempen membantah perang genosid ke atas genting Gaza yang berlarutan sejak lebih tujuh bulan lalu. Malahan, Profesor Robert Cohen, Pakar Pengajian Sejarah dan Sains Sosial, Universiti New York menerusi satu wawancara menyifatkan gerakan protes yang sedang merebak diseluruh dunia kini merupakan gerakan demonstrasi pelajar terbesar pada abad ke-21.
Pada peringkat awal, protes ini dicetuskan oleh sekumpulan pelajar dari Universiti Columbia di Amerika Syarikat (AS). Protes yang bermula sejak November 2023 akhirnya berkembang menjadi lebih besar pada April lalu apabila ribuan pelajar membanjiri kawasan kampus dan mendirikan khemah sebagai tanda solidariti dengan penduduk Gaza, dikenali sebagai “Gaza Solidarity Encampment.” Mereka berdemonstarsi mengeji perbuatan terkutuk regim zionis serta mengkritik pemerintah AS kerana bersubahat berterusan menyalurkan dana ketenteraan kepada Israel yang digunakan untuk melakukan genosid di Gaza.
Berang dengan peningkatan mendadak jumlah pelajar yang bersolidariti, Minouche Shafik, Presiden universiti Columbia mengambil keputusan untuk memanggil polis serta menggunakan kekerasan bagi menyuraikan pelajar-pelajar yang berdemonstrasi. Natijahnya, ratusan pelajar cedera akibat di pukul oleh pihak berkuasa dan lebih 100 pelajar ditangkap. Tindakan Shafik itu mendapat kejian dari pelbagai pihak kerana ia jelas bertentangan dengan prinsip kebebasan akademik dan bersuara yang subur diamalkan di kampus-kampus universiti seluruh AS.
Lebih malang, tindakan dangkal Shafik itu juga itu ibarat senjata makan tuan apabila bukan sahaja gagal memadamkan api kemarahan para pelajar, bahkan protes kini telah menjalar kepada lebih 150 kolej dan universiti di seluruh AS. Sehingga hari ini, pentadbiran kerajaan AS juga terpaksa berdepan masalah merungsingkan apabila ramai di kalangan pelajar terus memboikot untuk hadir kuliah dan membanjiri kawasan kampus melakukan protes. Situasi yang berlaku dilihat semakin menyamai protes yang berlaku ketika Perang Vietnam yang menjadi ombak besar apabila Pengawal Negara Ohio dihantar untuk menyuraikan protes pada 4 Mei 1970 tetapi berakhir dengan tragedi berdarah.
PROTES PELAJAR MEREBAK KE EROPAH
Gelombang kemarahan pelajar tidak hanya berpusat di AS, malah turut merebak pantas ke Kanada, Mexico serta beberapa negara Eropah dan Asia. Di Jerman, Polis memaklumkan berjaya mematahkan beberapa siri protes pelajar yang berdemonstrasi halaman di Universiti Percuma Berlin. Protes turut berlangsung di Universiti Amsterdam sehingga memaksa pihak polis masuk campur dan menahan 169 pelajar.
Manakala di UK, Polis Britain melaporkan terpaksa menahan 16 pelajar di Universiti Oxford selepas mereka menyertai tunjuk perasaan di pejabat naib canselor. Hal yang sama turut berlaku di Universiti Warwick, ratusan pelajar turut membanjiri laman kampus melakukan protes kepada pihak universiti. Mereka menggesa universiti untuk menjual saham dalam syarikat Israel atau memutuskan hubungan kewangan sebagai respons terhadap keganasan operasi ketenteraan regim zionis di Semenanjung Gaza.
Di Paris, polis turut dikerah untuk menyuraikan protes di universiti berprestij Sciences Po apabila pelajar bertindak membuat halangan bagi pelajar lain masuk dewan utama menduduki peperiksaan. Mereka menuntut pihak universiti mendedahkan perkongsian kerjasama dengan institusi dari Israel. Dalam perkembangan yang lain, pihak universiti turut memaklumkan, sekurang-kurangnya 13 pelajar bertindak melakukan mogok lapar menuntut pihak universiti menunaikan permintaan mereka.
Sementara itu, di Austria dan Switzerland, protes turut berlaku empat universiti terkemuka di Vienna, Lausanne, Geneva dan Zurich. Para pelajar turun melakukan tunjuk perasaan selain mendirikan khemah dalam kawasan kampus serta memasang kain rentang mengutuk kekejaman Israel. Meskipun begitu, pihak universiti dengan angkuh mengatakan tiada apa-apa tindakan perubahan polisi akan diambil malahan kerjasama mereka dengan institusi dari Israel akan diteruskan.
PROTES BERJAYA
Menurut laporan Al Jazeera, beberapa universiti di AS dan UK telah mengambil keputusan akur dan bersetuju dengan tuntutan pelajar yang berdemonstrasi. Misalnya Universiti Minnesota, AS, pihak universiti telah mengumumkan untuk mendedahkan maklumat mengenai kerjasama pelaburannya dengan semua syarikat awam termasuk dari Israel. Pihak pentadbiran juga telah menyarankan kepada pihak polis supaya tidak lagi menangkap pelajar yang berdemonstrasi kerana menghormati hak kebebasan mereka bersuara.
Selain itu, Universiti Northwestern di Illinois, turut mengeluarkan kenyataan untuk memberi peluang kepada pelajar menjadi ahli dalam Jawatankuasa Pelaburan Lembaga Pemegang Amanah bagi mengawal selia pelaburan yang dijalankan universiti. Pihak pentadbiran turut bersetuju untuk mendedahkan semua pelaburannya kepada pihak berkepentingan termasuk pelajar. Lebih menarik, Universiti Northwestern juga bersetuju untuk biasiswa pendidikan sarjana muda kepada 5 orang pelajar dari Palestin.
Manakala di UK, pentadbiran Universiti Goldsmiths tampil menyatakan komitmen untuk mewujudkan dasar pelaburan baharu yang lebih beretika dan tidak berkaitan dengan institusi dari Israel. Malah, para pelajar juga boleh mengemukakan bukti kepada Jawatankuasa Kewangan sekiranya wujud sebarang pelaburan universiti yang melanggar dasar baharu tersebut.
SUARA KERAMAT MAHASISWA
Keberanian pelajar yang melakukan protes di Barat secara tidak langsung telah membangkitkan suara-suara mahasiswa dari bumi kampus pendidikan tinggi lain di seluruh seantero dunia. Apa tidaknya, penindasan dan penipuan Israel ibarat mengherdik idealisma dan intelektualisma mahasiswa yang cinta kepada ilmu serta kebenaran dan benci kepada kebodohan serta kezaliman.
Usaha yang dilihat kecil seperti melakukan protes bantahan ini tidak boleh dipandang enteng kerana sejarah telah membuktikan protes pelajar mampu membawa kepada perubahan dasar dan polisi universiti mahupun kerajaan. Bahkan, dalam siri protes Gaza yang sedang berlangsung, ada beberapa universiti telah akur dan bersedia menuruti kehendak pelajar yang ingin membela nasib rakyat Palestin.
Gerakan pelajar di Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Dari era 1960-an hingga sekarang, mahasiswa telah memainkan peranan yang signifikan dalam membentuk lanskap politik dan sosial Malaysia. Misalnya, pada tahun 1974, mahasiswa turun menyertai demonstrasi besar-besaran di Baling, Kedah untuk menyokong petani-petani miskin yang menghadapi kesulitan ekonomi. Selain itu, gerakan mahasiswa keras mendesak kerajaan membuat Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2009. Malah, sejarah turut membuktikan keberanian penglibatan mahasiswa melakukan protes seperti Protes PTPTN, Protes GST dan Protes Turun Harga Barang.
Namun, mutakhir ini gerakan mahasiswa di Malaysia semakin kelihatan suram. Banyak isu yang berlaku dalam negara seperti kenaikan kos sara hidup, penarikan balik subsidi minyak diesel, serta salah guna kuasa kurang mendapat perhatian serius mahasiswa. Ini termasuk dalam isu yang sedang meruncing di Palestin, ramai yang tertanya-tanya sejauh mana usaha pimpinan pelajar dan mahasiswa bersolidariti dan berkempen bagi membantu rakyat Gaza yang sedang ditindas?
Intihanya, peranan dan suara mahasiswa diseluruh dunia adalah penting serta berpotensi untuk menjadi kuasa ketiga atau “The 3rd Force” dalam mengubah corak dan pendirian sesebuah kerajaan membentuk dasar-dasar baharu. Melihat kepada perkembangan isu genosid di Gaza, ramai ahli akademik dan penganlisis politik percaya gerakan protes pelajar yang sedang marak ini sudah menjadi tsunami yang besar dan mampu mengubah lanskap politik global untuk tidak terus condong berkiblatkan AS dan sekutunya.