Genosid Gaza: Ancam Kebebasan Akademik Dunia

Tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengugut untuk memotong dana penyelidikan sebanyak AS$2.2 bilion kepada Universiti Harvard tidak boleh dianggap sebagai isu pentadbiran biasa. Ia adalah amaran terbuka dan ugutan politik yang terang-terangan terhadap universiti terkemuka dunia hanya disebabkan institusi tersebut memberi ruang kepada suara solidariti terhadap Gaza dan lantang mempertahankan hak bersuara para pelajarnya.

Tindakan Trump ini jelas bukan sahaja menyalahi prinsip kebebasan akademik, malah satu bentuk penindasan terhadap intelek dan maruah institusi-institusi yang perlu bebas daripada sebarang pengaruh politik.

Harvard Jadi Mangsa Pertama

Sejak Mac lalu, pentadbiran Trump telah memulakan semakan ke atas dana Persekutuan berjumlah AS$9 bilion (kira-kira RM43 bilion) yang disalurkan kepada Harvard selain mengemukakan senarai tuntutan luas, termasuk larangan pemakaian pelitup muka serta penghapusan semua program berkaitan kepelbagaian, kesaksamaan dan inklusiviti (DEI). Trump kemudian bertindak membekukan dana AS$2.3 bilion (RM11 bilion) kepada Harvard serta mengancam untuk menarik balik status pengecualian cukai universiti serta hak untuk menerima pelajar antarabangsa.

Sebagai salah satu universiti terbaik dunia, Harvard bukan sekadar ikon pendidikan elit, tetapi juga pusat penyelidikan penting dalam pelbagai bidang samada perubatan, dasar awam, kejuruteraan, hinggalah kajian hak asasi manusia. Menurut laporan Barron’s dan The Economic Times, pemotongan dana ini akan menjejaskan lebih 300 projek penyelidikan aktif yang sedang dijalankan di kampus, kebanyakannya berkaitan kesihatan global, perubahan iklim dan teknologi masa depan.

Apabila institusi seperti Harvard dikenakan sekatan kerana tidak tunduk kepada tekanan politik sempit, ia mencerminkan betapa rapuhnya sistem demokrasi yang selama ini dijulang oleh Amerika. Dalam keadaan di mana universiti-universiti seharusnya menjadi medan wacana bebas dan kajian mendalam terhadap isu kemanusiaan, campur tangan politik secara paksa dan bersifat hukuman adalah satu bentuk penindasan keilmuan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, tindakan Trump ini bukan sahaja menghukum Harvard, tetapi juga menghukum seluruh dunia yang mendapat manfaat daripada penyelidikan dan jaringan akademik global yang dipelopori universiti tersebut. 

Gaza Uji Integriti Akademik Global

Menurut laporan Reuters dan CNN, punca sebenar kemarahan Trump banyak dikaitkan dengan kebangkitan semula suara-suara universiti terhadap pembunuhan beramai-ramai di Gaza dan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis. Banyak institusi pengajian tinggi seperti Harvard, Columbia, Princeton, Cornell, Northwestern dan Brown telah mengizinkan platform perbincangan dan solidariti terhadap rakyat Palestin, malah ada dalam kalangan pensyarah secara terbuka mendesak agar Amerika menilai semula sokongan tidak bersyarat kepada Israel.

Bagi pentadbiran Trump, tindakan ini dianggap sebagai pengkhianatan terhadap “kepentingan nasional”. Namun di sinilah letaknya perbezaan yang kritikal: universiti bukan alat negara, tetapi benteng kepada kebebasan pemikiran dan nurani moral. Menekan universiti agar diam terhadap kezaliman hanyalah satu bentuk pelanggaran terhadap nilai paling asas dalam sistem demokrasi dan akademia.

Pihak universiti perlu terus tegas mempertahankan prinsip kebebasan akademik. Jika tidak, institusi pengajian tinggi akan kehilangan kepercayaan sebagai ruang wacana bebas dan akan menjadi sekadar kilang ijazah yang patuh membisu terhadap penindasan.

Kesimpulan

Ancaman Trump terhadap Harvard bukan sekadar isu dana, tetapi isyarat kepada satu corak pemerintahan yang anti-intelektual, bersifat balas dendam, dan tidak memahami peranan universiti dalam membina tamadun manusia. Dunia harus bersatu mempertahankan prinsip keilmuan bebas, tanpa tekanan politik dan kepentingan sempit. Sekiranya universiti seperti Harvard boleh dihukum kerana berkata benar, bayangkan apa yang bakal berlaku kepada institusi yang lebih kecil dan kurang berkuasa?

Picture of Hafizudin Yahaya
Hafizudin Yahaya
Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.2
Baca Artikel Penuh
2025.1
Baca Artikel Penuh
2025.1
Baca Artikel Penuh