Masyarakat luar bandar hari ini berdepan dengan masalah ketidakcukupan bekalan rumah mampu milik dan harga sewa rumah yang tidak masuk akal sehingga menyebabkan mereka tiada pilihan melainkan bersesak dengan ibu bapa dan ahli keluarga lain di dalam satu rumah sehingga mereka juga mempunyai anak.
Merujuk laporan Jabatan Perangkaan Malaysia 2019, hampir 30% perbelanjaan isi rumah daripada anggaran purata perbelanjaan bulanan sebanyak RM4,535 dihabiskan untuk membayar rumah dan pelbagai utiliti lain. Bayangkan bagaimana penduduk luar bandar golongan pendapatan rendah dan sederhana mengurus perbelanjaan untuk rumah?
Memandangkan tiada statistik khas jumlah keperluan rumah di seluruh negara, kita mengambil kes di mana pada tahun 2022 sahaja, sistem e-perumahan Terengganu melaporkan permohonan rumah mampu milik sahaja adalah sebanyak 36,177 unit berbanding dengan jumlah rumah yang telah dan akan siap dibina sebanyak 18,061 unit. Hanya 49% sahaja rumah sedia diduduki.
Jumlah itu sahaja melibatkan pemohon yang sudah lama menunggu giliran sejak enam ke sepuluh tahun yang lalu, belum masuk lagi kemungkinan berlaku lambakan permohonan terdiri daripada golongan bujang dan yang berkahwin muda sejurus selesai mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), STPM ataupun diploma setiap tahun.
Keperluan bekalan rumah mampu milik juga bertambah kritikal apabila Malaysia sekarang sudah menjadi ‘ageing nation’ dengan limpahan penduduk yang telah menjadi warga emas daripada 7.0% pada tahun 2021 kepada 7.23% pada tahun 2022.
Kemudian, kadar pertumbuhan populasi warganegara juga meningkat dengan agak perlahan sebanyak 0.2% pada tahun 2022 berbanding tahun 2021, sehingga kerajaan-kerajaan negeri terpaksa melancarkan inisiatif galakan bagi menambah ahli keluarga melalui Skim Permata Sejahtera Terengganu, Skim Iltizam Negeri Selangor dan sebagainya.
Perubahan cara kerja pasca Covid-19 juga agak ketara di mana semakin ramai pasangan yang mula merasakan perlunya meninggalkan rumah keluarga masing-masing dan menyewa kediaman untuk mewujudkan ruang ‘pejabat’ sendiri bagi tujuan bekerja daripada rumah.
Ini adalah cabaran kepada kerajaan Persekutuan dan Negeri, untuk bersama-sama merancang kesejahteraan populasi dan mengawal harga perumahan mampu milik supaya mereka dapat hidup dengan tenang tanpa berhutang lebih daripada kemampuan sehingga tua dan akhirnya menatijahkan produktiviti kerja yang berkesan.
Meraikan usaha kerajaan yang ingin menyediakan Dasar Perumahan baru bagi menyambung dasar sedia ada yang akan tamat pada tahun 2025, kita ingin melihat satu transformasi bandar dan luar bandar yang signifikan diambil oleh kerajaan Madani kerana isu perumahan di bandar juga menjadi isu hangat buat masa ini seolah-olah memperlihatkan berlakunya ‘work in silo’ di peringkat kerajaan samaada Kementerian, negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Selain itu, kita mengharapkan agar kerajaan dapat membuat pertimbangan untuk mewujudkan polisi perumahan mengikut keperluan bujang dan lain-lain kriteria bujang seperti duda, janda, warga emas, pelajar dan orang kelainan upaya (OKU) yang mana keperluan perbelanjaan bulanan, ‘willingness to pay’ dan fasiliti mereka agak berbeza dengan keperluan isi rumah berkeluarga.
Kerajaan juga diharap dapat mempertimbangkan untuk memendekkan tempoh pembinaan dan agihan rumah dan menyemak kembali proses pemilikan dan penilaian tanah. Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Pihak berkuasa tempatan pula perlu menyemak semula semua kaedah dan prosedur yang ada didalam rantaian nilai sektor pembinaan seperti memperketatkan prosedur pembinaan rumah mampu milik samaada baru bina atau pembangunan semula melalui melalui pelbagai kajian seperti ‘feasibility study’ dan kajian spatial bagi projek perumahan mampu milik, daripada hanya berstatus ‘galakan’ ditukar menjadi ‘mandatori’ kepada semua pemaju perumahan mampu milik di seluruh negara.
Proses-proses ini adalah penting di dalam usaha memastikan harga rumah mampu milik siap adalah berpatutan. Jika ‘nilai’ rumah dengan kadar yang mampu milik meningkat dan menjadi pilihan rakyat, hal ini diyakini dapat meningkatkan keyakinan terhadap kerajaan Madani.
Luar bandar dan bandar mempunyai peranan yang saling lengkap melengkapi. 80% daripada populasi dunia luar bandar tinggal berdekatan dengan bandar. Justeru, isu perumahan ini perlu diselesaikan secara holistik melibatkan semua pihak swasta dan agensi kerajaan kerana rumah yang sejahtera mempengaruhi lima maqasid syariah iaitu menjaga nyawa, agama, keturunan, akal dan harta.
Rumah yang menyenangkan, selamat dan harmoni merujuk kepada perancangan bandar dan desa secara holistik dan bersepadu disamping memberikan keyakinan kepada pasangan suami isteri untuk menambah ahli keluarga serta meningkatkan kadar pendapatan bersih golongan luar bandar dan bandar di mana masing-masing meliputi 24.9% dan 75% daripada keseluruhan rakyat Malaysia.
Pemilikan rumah mampu milik tidak wajar menjadi gula-gula politik, bahkan ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk memastikan warganya dapat hidup dengan aman dan harmoni.
Hanisah Abd Rahman,
Penyelidik YSL,
Portfolio Kerajaan Tempatan, Infra dan Luar Bandar.