Dunia menyaksikan lapan hari penuh ketegangan geopolitik susulan ugutan tarif mendadak oleh Presiden Amerika Syarikat (US), Donald Trump, yang dikenali sebagai ‘Trump Tariff Tantrum’. Ketegangan ini bukan sahaja menggugat perdagangan global, malah memaksa syarikat gergasi seperti TSMC membuka kilang di US tanpa sebarang geran. Situasi ini memberi tekanan besar kepada negara serantau, termasuk ASEAN.
Setelah berhari-hari ‘berperang’ retorik dengan Beijing, Trump akhirnya mengumumkan penangguhan pelaksanaan tarif selama 90 hari dengan satu pengecualian besar: China.
Langkah ini serta-merta mengaktifkan pasaran kewangan yang sebelumnya jatuh, naik mendadak. Dow Jones meningkat 7.87% pada hari Rabu, S&P 500 melonjak 9.5%, manakala Nasdaq, dipacu saham teknologi melonjak 12.2%. Namun, di sebalik pemulihan dramatik ini, muncul satu persoalan besar: adakah ini benar-benar tanda kompromi, atau sebenarnya sebahagian daripada perancangan ekonomi yang lebih strategik? Dalam keadaan ini, bagaimana ASEAN mengemudi ekonominya dalam keadaan ini?
ASEAN di Tengah Ketidaktentuan
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini berdepan cabaran besar dalam mengemudi blok serantau menghadapi tekanan ekonomi yang kian memuncak. Dalam situasi ini, negara-negara ASEAN seharusnya bersatu menzahirkan pendirian bersama, memandangkan tarif imbal balik yang dikenakan US jauh melebihi kadar tarif sebenar yang dikenakan melalui pelbagai perjanjian perdagangan antarabangsa. Sebagai perbandingan, Menteri MITI memaklumkan bahawa purata tarif Malaysia sebenarnya hanyalah sekitar 5.6%.
Namun pendekatan yang diambil oleh negara-negara anggota berbeza-beza. Misalnya, walaupun US mempunyai lebihan dagangan dengan Australia, negara itu tetap dikenakan tarif. Ini menunjukkan ketidaktentuan dalam pendekatan dasar perdagangan US. Dalam kalangan ASEAN pula, Vietnam telah menerima pelawaan US untuk membuka rundingan secara langsung. Sementara itu, Singapura memilih langkah tersendiri untuk tidak merundingkan semula tarif, namun juga tidak menentangnya secara terbuka. Malah, bercadang untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan negara-negara lain.
Sebagai Pengerusi, Anwar Ibrahim dijangka mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh dan kolektif, namun setakat ini, suara ASEAN masih tenggelam di tengah kekalutan global.
Kesepakatan ASEAN
Negara-negara ASEAN masing-masing mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri. Dengan kombinasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah AS$3.6 trilion tahun lalu dengan 680 juta penduduk, ini adalah kesatuan ekonomi yang besar. Bukan itu sahaja, perjanjian dagang ASEAN + China adalah antara hubungan dagang yang menyumbang nilai yang agak tinggi sehingga USD$546.6 bilion, meningkat sebanyak 10.5% pada tahun 2024.
Hari ini Menteri-menteri Ekonomi ASEAN dan Timor Leste telah bermesyuarat dan menyatakan tiga kesepakatan utama iaitu:
- Penolakan kaedah pengiraan Tarif US oleh ASEAN
- Komitmen terhadap rundingan konstruktif
- Penubuhan Pasukan Petugas Khas GeoEkonomi ASEAN
Besar harapan diletakkan kepada kepimpinan negara agar risiko dapat dikurangkan, keberadaan syarikat gergasi di ASEAN sebagai sumber kerja dikekalkan, dan gangguan rantaian bekalan dapat diuruskan demi kestabilan kehidupan rakyat dan negara.
Kesimpulan
Ketidaktentuan dasar perdagangan US di bawah kepimpinan Trump menandakan era baharu dalam percaturan ekonomi global. Dalam menghadapi lanskap yang semakin kompleks ini, ASEAN perlu bergerak sebagai satu entiti ekonomi yang padu, bukan sekadar blok politik serantau. Ketidaktentuan ini juga boleh menjadi peluang untuk ASEAN memperkukuh peranannya di pentas global. Langkah ini mesti disusuli dengan tindakan kolektif yang jelas, konsisten dan berani. Dengan kekuatan kerjasama ekonomi yang kukuh, demografi yang dinamik, serta hubungan perdagangan serantau yang mantap, ASEAN memiliki potensi sebenar untuk menjadi kuasa penstabil dalam dunia yang semakin mengutamakan kepentingan negara masing-masing.