Kerajaan Malaysia dikatakan bakal meminda Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta PNPV) dan memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman, yang bertujuan mengukuhkan undang-undang kawalan dan peraturan berhubung pengeluaran, pengedaran, dan penggunaan benih tanaman di dalam negara. Dalam konteks ini, usaha tersebut dilihat sebagai langkah strategik untuk meningkatkan produktiviti sektor pertanian dan memastikan keterjaminan makanan negara. Namun, cadangan tersebut telah menimbulkan kegelisahan banyak pihak tertamanya petani berhubung impaknya terhadap petani kecil dan amalan tradisional mereka.
Kebimbangan ini timbul berikutan komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Komprehensif dan Progresif Trans-Pasifik (CPTPP) dan keahlian negara dalam Akta 1991 Kesatuan Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu (UPOV 1991) yang menyebabkan Malaysia terpaksa menggubal undang-undang yang memenuhi perjanjian antarabangsa. Ini membimbangkan para petani kerana kedua-dua komitmen ini dikatakan boleh menguatkan monopoli korporat dan kewujudan kartel dalam sektor benih, sekali gus memberi kesan negatif kepada petani kecil. Pun begitu, keahlian negara dalam UPOV 1991 ini ada kebaikannya iaitu memberi pelindungan hak kepada pembiak baka, memberikan insentif kepada pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan varieti tanaman baharu yang seterusnya meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil pertanian dalam skala yang besar.
Sebelum ini, Pelapor Khas PBB mengenai hak makanan, Michael Fakhri juga pernah menyatakan kebimbangannya terhadap UPOV 1991 ini yang didakwa memihak kepada pembiak baka komersial. Ia dikatakan memberi hak monopoli kepada korporat besar untuk mengawal benih tanaman melalui sistem hak harta intelek. Hal ini secara langsung mengehadkan hak petani kecil untuk menyimpan, berkongsi, atau menjual benih. Tindakan ini dikatakan boleh melemahkan amalan tradisional petani, meningkatkan risiko “biopiracy” sumber genetik tempatan, dan akhirnya menjejaskan keterjaminan makanan negara.
Menjawab kepada dakwaan itu, Wakil Tetap Malaysia ke PBB menyebutkan bahawa majoriti petani di Semenanjung Malaysia sebenarnya cenderung membeli benih setiap musim. Hasil daripada kajian tahun 2023 menunjukkan bahawa hanya 33.5% pesawah di kawasan utara Semenanjung yang menyimpan 10% – 20% hasil tuaian mereka untuk dijadikan benih bagi musim berikutnya dan angka ini berkurang setiap tahun. Penurunan amalan menyimpan dan menggunakan benih sendiri ini menunjukkan peralihan jelas ke arah penggunaan benih komersial. Trend ini menggambarkan integrasi petani kecil ke dalam sistem pertanian yang lebih bergantung kepada pasaran, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kaedah tradisional.
Keperluan untuk mengikut Peraturan Antarabangsa
Beberapa seksyen dalam Akta PNPV seperti Seksyen 14(2), yang membenarkan petani menggunakan varieti tanaman berdaftar untuk kegunaan sendiri, dan Seksyen 15 serta Seksyen 31, yang memberikan perlindungan tertentu kepada petani berisiko dipinda untuk memenuhi keperluan CPTPP.
Pindaan ini menimbulkan dilema dasar antara memenuhi komitmen perdagangan antarabangsa, yang menekankan perlindungan harta intelek, dengan melindungi hak tradisional petani kecil. Keadaan ini menunjukkan ada keperluan mendesak untuk negara mengambil jalan tengah bagi memastikan keadilan sosial dan keseimbangan dasar, dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan, termasuk petani kecil, NGO, dan komuniti luar bandar. Tanpa pendekatan yang holistik, dasar ini mungkin menjejaskan kelestarian sektor pertanian tempatan dan keterjaminan makanan negara.
Impak Terhadap Petani Kecil
RUU Kualiti Benih Tanaman akan memperkenalkan sistem pelesenan dan notifikasi wajib bagi pihak yang menyimpan dan mengedar benih. Ini berpotensi menambah beban kepada petani kecil, yang kebanyakannya bergantung kepada amalan tradisional seperti menyimpan benih sendiri untuk musim penanaman seterusnya. Tambahan pula, amalan korporat yang membekalkan “set lengkap” benih bersama baja dan racun sering kali memerlukan pelaburan besar, yang boleh menekan petani kecil dari segi kewangan dan beban pengoperasian. Dalam konteks ini, dasar baharu mungkin meminggirkan petani kecil yang sudah pun menghadapi cabaran seperti margin keuntungan rendah, kebergantungan hasil kepada cuaca, dan peningkatan kos pengeluaran.
Bagi melindungi hak petani kecil ini, kerajaan telah menyatakan komitmen melalui beberapa pindaan terhadap Akta PNPV. Antaranya, petani kecil akan dibenarkan menyimpan dan menggunakan benih varieti tertentu untuk kegunaan sendiri tanpa dikenakan sekatan. Peruntukan baru juga akan diperkenalkan bagi memperkukuh hak pembiak baka kecil, termasuk masyarakat tempatan dan pribumi, untuk memohon perlindungan ke atas varieti tanaman yang mereka bangunkan. Malaysia juga boleh mengambil inspirasi daripada amalan negara ASEAN seperti Vietnam dan Thailand, yang berjaya mengimbangi perlindungan benih tempatan dan hak petani kecil dengan inovasi sektor benih yang kompetitif, sebagai model untuk membangun sektor pertanian yang lebih inklusif dan mampan.
Kesimpulannya, undang-undang yang bakal diperkenalkan ini merupakan langkah penting ke arah memperkukuh sektor pertanian negara. Namun, pelaksanaannya perlu seimbang antara memenuhi keperluan perdagangan antarabangsa dan melindungi hak petani kecil. Melalui dasar inklusif seperti pengecualian tertentu bagi petani kecil dan pengiktirafan benih tempatan, Malaysia berpeluang untuk membina sistem keterjaminan makanan yang lebih mampan dan adil. Langkah ini bukan sahaja akan memastikan sektor pertanian dapat bertahan dalam landskap global yang kompetitif tetapi juga memperkukuh keupayaan negara dalam menangani cabaran seperti perubahan iklim dan keselamatan makanan, sambil mengekalkan biodiversiti spesies tempatan seterusnya mengukuhkan sosioekonomi masyarakat luar bandar.