Perang perdagangan Amerika Syarikat (US)-China dijangka kian genting sejurus sahaja Donald Trump diisytihar sebagai Presiden pada 20 Januari akan datang. Trump bakal mengenakan tarif ke atas import dari China bermula dengan 10% dan dijangka meningkat hingga 60%, lebih tinggi berbanding zaman Trump 1.0 dengan purata tarif efektif sekitar 11%. Trump 2.0 juga bercadang untuk membatalkan status Perhubungan Perdagangan Normal Kekal (PNTR) ke atas China. Status ini diberikan apabila China menyertai WTO dengan jaminan China menerima tarif rendah yang sama seperti kebanyakan rakan dagangan yang lain.
Bagi China, dasar baru ini dijangka akan berdepan dengan pelbagai cabaran perundangan dan pelaksanaannya mungkin mengambil masa yang panjang. Sebagai tindak balas, China berkemungkinan menyediakan pakej rangsangan kepada industri yang sangat bergantung kepada eksport US. Selain itu, China juga mungkin terpaksa menurunkan nilai mata wangnya sehingga mencecah 8.42 bagi setiap dolar jika 60% tarif dikenakan. Terkini, China menawarkan ‘zero tariff’ kepada negara-negara kurang membangun bagi membuka ruang kerjasama yang lebih luas dan situasi menang-menang bermula 1 Disember. Langkah ini bertujuan untuk mengurangkan kesan tarif US dengan meningkatkan daya saing eksportnya di pasaran antarabangsa.
Kesan Perang Dagang pada Malaysia
Kesan perang dagang ini menyebabkan transaksi bagi pusat pembuatan elektronik Asia Tenggara melonjak naik di tiga negara utama pengeksport ke US iaitu, Thailand, Malaysia dan Vietnam. Selain itu, mereka juga mengambil peluang untuk menyimpan bekalan dengan meningkatkan import dari China bagi mengelakkan krisis harga apabila tarif mula dilaksanakan.
Buat masa ini, dilaporkan permintaan import ke US dari Asia Tenggara menunjukkan peningkatan mendadak, terutama bagi komponen elektronik dan mesin. Sebagai contoh, eksport dari Thailand melonjak hampir 30% pada Oktober lalu, manakala import dari China ke Thailand pula melonjak hampir 18%. Sementara itu, eksport bagi keseluruhan produk dari Malaysia dan Vietnam masing-masing berkembang sehingga 19.2% dan 24.2%. Dalam masa yang sama, import dari China ke Malaysia dan Vietnam pula meningkat sebanyak 15% dan 31.6%. Keadaan ini turut menimbulkan tekanan apabila syarikat-syarikat logistik memaklumkan mereka telah menerima banyak permintaan untuk mempercepatkan tempoh penghantaran barangan.
Kenyataannya, jika tarif Trump 2.0 dilaksanakan, ini bukan sahaja akan menjejaskan import China tetapi juga boleh memberi kesan kepada produk dari Asia Tenggara, terutamanya jika negara itu dianggap sebagai pengganti atau terlibat dalam rantaian bekalan China. Ini boleh berlaku jika US melaksanakan dasar Anti-Circumvention, dimana negara-negara Asia Tenggara digunakan oleh China untuk mengelak tarif. Jika ini berlaku, negara tersebut juga bakal dikenakan tarif.
Langkah Penyelesaian
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri melalui jawapannya di Parlimen baru-baru ini berkata kementerian akan terus memantau secara rapat sebarang perkembangan yang mungkin turut memberi kesan kepada negara. Buat masa ini, kebanyakan pakar masih tidak dapat menjangka situasi yang akan berlaku akan datang. Ini menunjukkan situasi ini rumit dan perlunya suatu tindakan yang proaktif. Walaupun kita berpengalaman menghadapinya sewaktu Trump 1.0, dasar perlindungan dan pengasingan Amerika Syarikat tidak boleh diambil ringan.
Oleh itu, satu rangka kerja berkesan seperti mewujudkan insentif pelaburan baru, mempercepatkan pelesenan kilang, pengurusan risiko atau meningkatkan latihan modal insan bagi industri semikonduktor, ekonomi digital, pertanian dan lain-lain industri terlibat dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030) perlu dikemaskinikan melibatkan kesemua 14 negeri. Penglibatan negeri ini amatlah penting bagi memastikan pendekatan yang inklusif dan mencerminkan kepentingan strategi tempatan untuk melengkapi inisiatif nasional.