Pada Isnin lalu, tujuh nyawa telah terkorban dalam nahas jalan raya di KM204, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara Ayer Keroh sewaktu semua sedang bersedia untuk pulang bercuti bagi perayaan Krismas dan Tahun Baharu. Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila tayar hadapan sebelah kanan lori treler tercabut dan berada di lorong tengah, menyebabkan bas persiaran dari arah utara ke selatan gagal mengelak lalu hilang kawalan. Bas tersebut terbabas ke jalan bertentangan dan akhirnya merempuh tiga kenderaan lain.
Kelemahan Pengurusan Lebuh Raya
Awalnya, ramai pemandu yang menyedari keadaan jalan raya yang tidak selamat, sehingga ada yang menghidupkan lampu kecemasan sebagai amaran. Namun dalam suasana lebuhraya yang gelap dengan aliran trafik yang laju pada waktu malam, kawalan terhadap situasi menjadi lebih mencabar. Tidak dapat dinafikan, kelewatan pihak lebuh raya mengesan objek asing di jalan menunjukkan bahawa sistem keselamatan lebuh raya kita masih memerlukan penambahbaikan yang signifikan.
Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, akan mengarahkan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ untuk menjalankan siasatan terperinci segera dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap syarikat lori dan bas terbabit. Namun, kejadian kemalangan sebegini bukanlah perkara baharu. Secara purata, didapati tiga buah lori terlibat dalam nahas dalam sehari, menyumbang hampir 5,364 kematian tahun ini.
Perlu Langkah Jangka Pendek
Kita memerlukan langkah strategik jangka masa pendek bagi mengurangkan kemalangan jalan raya khususnya bagi menangani situasi tidak dijangka di jalan raya. Salah satu pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah mengalihkan penggunaan lebuh raya untuk kenderaan berat kepada pengangkutan kargo antara negeri melalui kereta api, yang lebih selamat dan efisien.
Pengguna jalan raya juga boleh dilatih dengan kemahiran mengenali dan menggunakan isyarat kecemasan yang betul. Dengan ini, mereka dapat bertindak sebagai penyelesai barisan hadapan dalam menangani situasi tidak dijangka, sekali gus membantu mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan keselamatan semua pihak.
Kesimpulan
Semua pihak perlu memainkan peranan aktif dalam mengawal dan mencegah kejadian tidak diingini daripada berulang, terutamanya pihak konsesi lebuh raya sebagai pengendali utama yang bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan pengguna. Ini sesuai dengan hadis Rasulullah saw, di mana setiap langkah yang kamu hayunkan untuk menghilangkan sesuatu bahaya di tengah jalan adalah sedekah. Takziah diucapkan kepada semua keluarga yang terlibat, dan semoga mereka diberi kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian ini.