Tenaga Nuklear: Selamat atau Bahaya?

Masyarakat dunia secara amnya masih tidak dapat melupakan kemalangan ngeri yang disebabkan oleh kerosakan loji tenaga nuklear. Dianggap sebagai paling teruk dalam sejarah, insiden yang berlaku di Chernobyl, Ukraine pada tahun 1986 telah mengakibatkan dua pekerja mati dan 28 orang lagi mengalami kesan radiasi.

Bukan sekadar itu, kesan radiasi jangka panjang tersebut telah mendedahkan ribuan penduduk maut disebabkan kanser, malah kawasan seluas 30 kilometer ditutup di sekitar lokasi kejadian sehingga hari ini.

Terbaru, gempa bumi berskala 9.0 dan dituruti tsunami pada tahun 2011 telah menggagalkan sistem penyejukan di loji nuklear Fukushima, Jepun. Dampak pencemaran alam sekitar cukup menggusarkan bukan sekadar rakyat tempatan, tetapi turut dibimbangi oleh negara-negara yang mempunyai loji janakuasa nuklear.

Susulan daripada kejadian tersebut, Jerman umpamanya telah menyegerakan pelan penghentian operasi janakuasa nuklear dan dicapai pada April 2023. Begitu juga dengan Switzerland yang berazam tidak akan membina reaktor baharu atas desakan referendum rakyat pada tahun 2017.

 

Salah Faham Masyarakat

Akibat daripada peristiwa lalu telah menimbulkan persoalan, adakah benar tenaga nuklear berbahaya? Jika kita teliti menerusi neraca fakta, tenaga nuklear antara sumber yang paling selamat dan bersih. Bagi setiap satu terawatt-jam (TWj), tenaga nuklear hanya menyebabkan 0.03 kematian akibat kemalangan dan pencemaran udara. Jauh berbeza dengan arang (24.6), minyak (18.4) dan gas asli (2.8).

Dari segi pencemaran alam pula, tenaga nuklear juga cukup bersih apabila hanya melepaskan 6 tan gas rumah hijau bagi setiap satu gigawatt-jam (GWj), manakala sumber arang, minyak dan gas asli masing-masing melepaskan 160, 120 dan 70 kali ganda berbanding nuklear.

Terlalu banyak mitos yang menghantui tenaga nuklear. Antara yang paling terkenal ialah loji nuklear membebaskan kadar radiasi yang berbahaya. Sedangkan jika seseorang berdiri berhampiran fasiliti nuklear untuk sepanjang tahun, dia menerima kadar radiasi yang lebih rendah berbanding satu imbasan x-ray dada.

Ketakutan masyarakat global terhadap tenaga nuklear sebenarnya tidak berasas. Disebabkan sebilangan kecil insiden yang berlaku dalam beberapa tahun atau dekad, kita terus meloncat. Sama juga apabila kita mendengar berita kemalangan kapal terbang, disangka pengangkutan udara tidak lagi selamat.

Hakikatnya, kita turut menjadi mangsa ketamakan korporat. Mereka antara watak penting yang melobi kerajaan dan pertubuhan supaya menolak tenaga nuklear.

Contohnya, syarikat-syarikat gergasi minyak memberi dana kepada organisasi alam sekitar seperti Friends of the Earth untuk membentuk persepsi awam dan polisi yang menolak tenaga nuklear. American Petroleum Institute (API) pula mempromosikan gas asli sebagai alternatif yang lebih bersih, sekali gus mahu mengekalkan pegangan pasaran mereka dalam sektor tenaga.

 

Prestasi Tenaga Nuklear

Ada beberapa indikator untuk menentukan sama ada satu-satu sumber tenaga itu berbaloi atau tidak untuk dibangunkan: (1) ketumpatan tenaga, (2) kecekapan sistem, dan (3) penggunaan tanah.

Jika kita ambil satu pelet bahan api uranium sekecil saiz pemadam pensel, ia mampu menghasilkan sejumlah tenaga yang bersamaan dengan satu tan arang batu, 120 gelen minyak mentah atau 17,000 kaki padu. Ini menunjukkan tenaga nuklear tidak memerlukan sumber bahan api yang banyak, apatah lagi dianggarkan terdapat 6 juta tan uranium boleh diekstrak dari negara Australia, Kazakhstan dan Kanada yang menempatkan 50% simpanan bahan tersebut.

Dari segi kecekapan sistem, penjanaan tenaga nuklear dilihat setara dengan loji janakuasa konvensional apabila mencapai julat kecekapan sekitar 30 hingga 40 peratus yang menghasilkan elektrik dan selebihnya terbebas sebagai sisa haba. Prestasi ini sudah cukup baik jika dibandingkan dengan panel solar (yang selalu mendapat nama sebagai sumber tenaga masa depan) yang hanya mencapai kecekapan 15 hingga 20 peratus.

Tenaga nuklear juga menggunakan 0.3 meter persegi tanah bagi setiap megawatt-jam di sepanjang kitaran hayat sesuatu loji janakuasa, termasuk kawasan perlombongan, penyahtauliahan (decommissioning) dan pengurusan sisa. Sistem tenaga lain memerlukan tanah yang lebih luas seperti panel fotovoltan (19m2), loji arang (15m2) dan stesen kuasa hidroelektrik (14m2).

 

Masa Depan Yang Lebih Bersih

Cepat atau perlahan, tenaga nuklear terbukti berupaya menjadi sumber tenaga utama dunia. Malangnya, ketika ini nuklear hanya merangkumi 3.7% daripada keseluruhan penggunaan tenaga global. Nilai ini agak statik sejak 1980-an, naik sedikit ketika awal kurun ke-21 kemudian kembali menguncup.

Ini tidak menghalang teknologi baharu terus dibangunkan untuk memastikan tenaga nuklear lebih selamat dan berkuasa.

Salah satunya ialah small modular reactors (SMR). Daripada namanya kita boleh bayangkan SMR ini lebih kecil berbanding reaktor nuklear konvensional, sekurang-kurangnya satu perempat sahaja. Binaan SMR yang menggunakan modul memudahkan pemasangan dan pengalihan selain turut membolehkan pembinaan secara berperingkat berdasarkan permintaan.

Perkembangan teknologi tenaga nuklear tidak boleh terlepas daripada menyebut tentang Projek ITER. Sejak mula dilancarkan pada tahun 1985, projek yang melibatkan 35 negara ini ingin membangunkan kuasa pelakuran (fusion power), prinsip sama yang memberi kuasa kepada matahari dan bintang.

Jika ITER berjaya mencapai faktor perolehan pelakuran sebanyak 10, bermakna ia akan membuktikan praktikaliti untuk menghasilkan tenaga haba 10 kali ganda berbanding input tenaga yang diperlukan.

 

Malaysia Perlu Bersedia

Keupayaan sesebuah negara dalam membangunkan sektor tenaga menggambarkan kesediaannya menjadi adikuasa dunia. Sekiranya serius untuk meneroka potensi tenaga nuklear, kita akan meletakkan Malaysia sebagai aktor geopolitik yang disegani, mampu mempengaruhi dasar kelestarian dan mendorong kerjasama serantau.

Bekalan tenaga yang besar, bersih dan stabil memacu kerumitan ekonomi yang diperlukan untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi. Lebih banyak kilang perindustrian dan pusat data dapat dibangunkan pada kos yang rendah. Lebih banyak cerdik pandai diundang dan peluang pekerjaan dicipta.

Malaysia juga terletak di kedudukan serantau yang unik; bebas daripada ancaman bencana alam seperti gempa bumi dan letusan gunung berapi serta berada di tengah negara-negara ASEAN yang membolehkan kita memenuhi permintaan pasaran tenaga yang besar. Apatah lagi kita masih ada keluasan tanah yang boleh diteroka dan berhampiran dengan sumber air sebagai prasyarat sistem penyejukan.

Persoalannya, adakah Malaysia sudah bersedia?

Picture of Shauqi Johara

Shauqi Johara

Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSIKAN ARTIKEL DI ATAS

LinkedIn
Facebook
Email
WhatsApp
Print

ARTIKEL BERKAITAN