Malaysia dijangka memulakan jualan tenaga hijau ke pasaran luar negara bermula bulan ini. Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, YB Akmal Nasrullah Mohd Nasir baru-baru ini berkata bahawa terdapat lebihan (surplus) simpanan tenaga hijau di Malaysia dan ia akan mula dieksport ke Singapura sebanyak 50 megawatt (MW).
Lebihan ini mencerminkan adaptasi pasaran tempatan kepada tenaga hijau masih belum meluas. Ini dapat dilihat apabila beliau menggesa syarikat-syarikat tempatan untuk menyegerakan penggunaan tenaga hijau. Jika 2.4 MW boleh membekalkan tenaga kepada lebih daripada 200 perumahan sosial Singapura (HDB) berkapasiti empat bilik sehari, kemudahan yang sama pula berpotensi menyokong pusat data bersaiz sederhana. Lebih signifkan lagi, 50MW ini boleh mengurangkan 6,000 ke 10,000 kereta dari jalan raya setiap tahun.
Tahap Kecukupan Bekalan Tenaga
Baru-baru ini, bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan tahap kecukupan bekalan tenaga hijau untuk operasi pusat data di Malaysia. Ini berdasarkan laporan Tenaga Nasional yang menjangkakan pusat data memerlukan sebanyak 5,000 megawatt menjelang tahun 2035 dan tahun-tahun berikutnya diunjurkan mencecah sehingga 11,000 megawatt.
Walaubagaimanapun, beliau berkata “kita kena terus usaha untuk tingkatkan kapasiti pengeluaran tenaga hijau. Jadi sebab itu beberapa dasar yang selama ini telah adapun kita tambah baik dan juga perkenalkan sebagai contoh yang konsep CRESS.” Pernyataan ini kurang meyakinkan kerana tiada pelan tindakan konkrit yang dikemukakan untuk menangani hal ini. Lebih membimbangkan, apabila eksport tenaga hijau dilakukan secara berkala, timbul persoalan tentang kesediaan negara untuk memenuhi permintaan dalam negeri ketika keperluan domestik meningkat pada masa akan datang.
Utamakan Pasaran Tempatan
Berdasarkan peningkatan permintaan domestik, lebihan tenaga hijau mungkin tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan pusat data dan industri dalam jangka panjang. Kerajaan perlu menunjukkan komitmen jelas terhadap keperluan domestik termasuk menyediakan pelan tindakan konkrit untuk memastikan kecukupan bekalan tenaga bagi menyokong pertumbuhan sektor strategik seperti pusat data dan industri teknologi.
Pelbagai inisiatif boleh ditawarkan di pusat-pusat zon ekonomi termasuk hub halal yang akhirnya dapat menarik perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) mengembangkan potensi mereka. Ini dapat membantu menyediakan elektrik dengan harga berpatutan kepada PMKS di samping meningkatkan margin pengeluaran produk untuk jangka masa panjang. Dengan ini, Malaysia bukan sahaja dapat meningkatkan daya saing industrinya, malah turut menyumbang kepada pencapaian matlamat kelestarian tenaga pada masa hadapan.
Kesimpulan
Oleh itu, adaptasi penggunaan tenaga hijau dalam pembangunan memerlukan usaha rentas kementerian yang proaktif. Malaysia perlu memastikan strategi eksport ini dilakukan secara berhati-hati dengan menilai keperluan domestik secara berkala. Dalam pada itu, kerajaan perlu mengutamakan keperluan rakyat dan pasaran domestik terlebih dahulu sebelum memanfaatkan lebihan tenaga untuk pasaran luar. Ini penting untuk mengelakkan kebergantungan tenaga kepada pihak asing pada masa hadapan.
Walaupun eksport ini dapat menjana pendapatan dan membuktikan keupayaan tenaga hijau negara, ia menimbulkan kebimbangan tentang kecukupan bekalan untuk menyokong pertumbuhan pusat data dan sektor industri tempatan. Jangan nanti, kita ibarat peribahasa “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”.