Tenaga Bersih Global Mencecah 40 Peratus!

Walaupun permintaan tenaga global meningkat pada kadar yang belum pernah kita lihat, dunia kini menyaksikan pencapaian bersejarah dalam penjanaan tenaga bersih. Laporan terbaru daripada badan pemikir berpusat di UK, Ember mendedahkan bahawa lebih 40% daripada elektrik dunia pada tahun 2024 dijana oleh sumber rendah karbon — satu lonjakan besar sejak era dominasi hidro pada 1940-an. Di sebalik cabaran cuaca ekstrem dan lonjakan permintaan akibat gelombang haba, tenaga boleh baharu bukan sahaja kekal bertahan, malah melonjak ke paras tertinggi.

Permintaan elektrik global melonjak sebanyak 4% pada 2024, didorong oleh peningkatan suhu luar biasa dan pertumbuhan ekonomi, khususnya di negara pesat membangun seperti India dan China. Cuaca panas ekstrem mendorong penggunaan penghawa dingin, menyumbang hampir 208TWh permintaan tambahan—yang sebahagian besarnya dipenuhi oleh arang batu dan gas.

Walaupun penjanaan tenaga daripada arang batu dan gas meningkat dan menjadikan jumlah pelepasan karbon dari sektor tenaga kepada paras tertinggi, namun, ia bukan petunjuk kegagalan peralihan tenaga, sebaliknya cerminan tekanan jangka pendek terhadap sistem sedia ada akibat ketidakstabilan iklim dan kenaikan permintaan.

Rekod Tercipta

Tenaga bersih mencatat rekod baharu pada 2024 dengan penambahan 927TWh penjanaan global, mencukupi untuk memenuhi 96% permintaan baharu—jika tidak kerana lonjakan suhu luar biasa. Penjanaan solar meningkat 29%, sekaligus mengelakkan 1.66 bilion tan pelepasan CO₂—setara dengan keseluruhan pelepasan sektor tenaga AS.

Tambahan kapasiti solar global mengatasi semua gabungan bahan api lain yang pernah dipasang dalam setahun sebelum 2023. Sebanyak 99 negara kini menggandakan penjanaan solar sejak lima tahun lalu. China sahaja telah menyumbang 39% kapasiti solar dunia, manakala pasaran baharu seperti Arab Saudi dan Pakistan muncul sebagai pengimport utama panel solar China.

Angin pula menyumbang tambahan 182TWh penjanaan global (naik 7.9%) meskipun beberapa wilayah mengalami kelajuan angin rendah. Penjanaan hidro juga pulih, terutamanya di China, dengan peningkatan 130TWh setelah berakhirnya musim kemarau.

Semakin Optimis

Walaupun peningkatan bahan api fosil berlaku, Ember menegaskan ini bukan penolakan terhadap peralihan tenaga. Sebaliknya, ini menandakan dunia berada pada “tipping point”, di mana faktor cuaca dan permintaan mempengaruhi turun naik jangka pendek, tetapi hala tuju iklim jangka panjang kekal jelas.

China dan India, dua ekonomi paling pesat membangun, menjadi pemacu utama tren bersih global. China memenuhi 81% pertambahan permintaan elektrik dengan tenaga bersih. Jika tanpa kesan haba ekstrem, hampir 97% pertambahan permintaannya pada 2024 boleh dipenuhi melalui sumber bersih sepenuhnya.

India pula menyaksikan penurunan peratusan kebergantungan kepada arang batu meskipun merupakan negara kedua tertinggi dalam peningkatan penjanaan fosil. Dengan 143GW kapasiti angin dan solar sedang dibina, India dijangka menggandakan kapasiti sedia ada dalam masa terdekat.

Di AS, arang batu jatuh ke bawah 15% dalam campuran tenaga – terendah dalam sejarah – manakala solar dan angin menjana 17% elektrik negara. Di EU, buat pertama kali, solar mengatasi arang batu dalam penjanaan elektrik.

Kesimpulan

Dalam konteks Malaysia, peralihan tenaga global ini memberi dua isyarat penting. Pertama, kebergantungan kepada bahan api fosil sebagai penjana utama tenaga tidak lagi mapan dalam jangka sederhana. Kedua, pasaran eksport dan pelaburan masa depan akan lebih cenderung kepada negara yang bersedia dan proaktif menyertai revolusi tenaga ini.

Dasar negara mesti menyokong pertumbuhan tenaga bersih bukan sekadar dari sudut peralihan alam sekitar, tetapi sebagai strategi daya saing ekonomi. Malaysia tidak boleh menjadi pemerhati dalam transformasi global ini.

Picture of Shauqi Johara
Shauqi Johara
Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.1
Baca Artikel Penuh