Tarif Trump: Usaha AS Makan Diri

Langkah Presiden Donald Trump mengumumkan tarif ke atas berpuluh-puluh negara telah mencetuskan pelbagai reaksi. Pendekatan ‘protectionisme yang diperkenalkan oleh Presiden Amerika Syarikat jelas ingin mencetuskan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China selain ia bertujuan untuk mengukuhkan pengaruh ekonomi global. Dalam usaha memajukan agenda “America First”, langkah ini diwujudkan bertujuan melindungi industri domestik, mengurangkan defisit perdagangan AS, serta memberi tekanan kepada negara-negara lain terutamanya China.

Reaksi China: Tegas & Strategik

Antara langkah utama pentadbiran Trump adalah pengenaan tarif terhadap berbilion dolar barangan import dari China dan negara-negara lain. Sejak 2018, AS telah mengenakan tarif bernilai lebih USD 360 bilion terhadap produk China, termasuk elektronik, keluli, alat ganti automotif, dan barang pengguna. Trump juga mengenakan tarif 25% ke atas keluli dan 10% ke atas aluminium. Langkah ini turut menjejaskan sekutu rapat seperti Kanada dan Kesatuan Eropah.

Sebagai tindak balas bagi perkataan tersebut, China mengumumkan senarai potensi tarif terhadap barangan AS sebagai satu langkah sekatan perdagangan. Tindak balas tersebut merupakan ‘amaran keras’ China terhadap AS sekiranya negara tersebut gagal mencapai kata sepakat terhadap perjanjian rundingan. Malangnya sehingga ke hari ini, Donald Trump dilihat gagal memahami mesej yang tersirat yang dikemukakan oleh China dan mengulangi dasar yang sama pada pemerintahan yang kedua. Bagi membalas polisi dangkal Presiden AS, China telah bertindak mengumumkan tarif 104 peratus dan meluaskan pengaruh serta pelaburannya di negara-negara Asia bagi mengukuhkan perdagangan serantau.

Kesan Tarif Terhadap Syarikat Tesla

China secara amnya kaya dengan hasil bumi dan nadir bumi. Di peringkat global, China telah menguasai bidang pembuatan, pasaran nadir bumi, teknologi 5G, e-dagang, tekstil, fintech, keluli , semi-konduktor dan pelabur utama tenaga boleh baharu. Malah, China merupakan pengeluar komponen kereta EV termasuk Tesla. Pelaksanaan tarif yang tinggi terhadap China secara tidak langsung akan mengganggu rancangan Tesla untuk mewujudkan Cybercab dan trak elektrik Semi.

Tesla sebelum ini bersedia untuk menanggung kos tambahan akibat tarif 34% terhadap barangan China, tetapi apabila tarif meningkat kepada 84% pada 9 April, dan kemudiannya melonjak kepada 125%, menjadikan jumlah tarif mencecah 145%, syarikat itu terpaksa menangguhkan penghantaran komponen.

Langkah tarif terbaru ini bukan sahaja menggugat jadual pelancaran model baharu Tesla, tetapi ia juga akan memberi kesan terhadap perang perdagangan terhadap syarikat inovatif yang bergantung kepada rantaian bekalan global. Secara global, perang perdagangan ini akan menyebabkan ketidaktentuan pasaran dan mendorong negara-negara lain, termasuk Eropah dan ASEAN, untuk menilai semula kebergantungan mereka terhadap pasaran AS dan China. Ia juga mendorong pertumbuhan ekonomi perlahan di sesetengah rantau membangun akibat ketegangan perdagangan global.

Kesimpulan

Sekiranya Tarif Trump berlanjutan dalam bentuk lebih agresif, ia secara tidak langsung akan mengubah landskap perdagangan antarabangsa. Reaksi China menunjukkan bahawa kuasa besar ekonomi tidak akan tunduk begitu sahaja kepada tekanan AS. Sementara itu, AS akan melihat impak jangka pendek polisi kepada syarikat seperti Tesla dan syarikat-syarikat AS yang lain.

Picture of Masitah Ismail
Masitah Ismail
Penyelidik Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.5
Baca Artikel Penuh
2025.5
Baca Artikel Penuh
2025.4
Baca Artikel Penuh