Negara bakal berhadapan dengan penarikan subsidi bahan api RON95 kepada kumpulan warga asing dan T15 pengguna mahakaya sekitar pertengahan tahun ini. HSBC Global Research melaporkan bahawa penarikan subsidi ini bakal mencetuskan ketidaktentuan ekonomi, dengan inflasi berpotensi meningkat kepada 2.7% berbanding 1.9% tahun lalu. Selain itu, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 dinaikkan kepada 4.8% daripada 4.6%, walaupun terdapat risiko luaran daripada dasar perdagangan AS, terutama terhadap sektor semikonduktor negara.
Khazanah cadang langkah lebih berkesan
Sehingga kini, masih tiada takrifan yang jelas untuk kategori T15. Kajian yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Khazanah yang bertajuk Rethinking ‘Who’s Rich?’ in Malaysia menunjukkan bahawa klasifikasi pendapatan semasa di Malaysia (B40, M40, T20) tidak mencerminkan realiti sebenar pendapatan isi rumah dan corak perbelanjaan mereka. Menariknya, 30% teratas (T30) dilihat mempamerkan ciri-ciri yang lebih sejajar dengan kumpulan kelas pertengahan.
Oleh itu, Khazanah mencadangkan agar tumpuan diberikan untuk menyokong isi rumah berdasarkan keperluan, berbanding menyamakan T20 atau T15 dengan kekayaan, atau B40 dengan kemiskinan. Cabaran utama bukan hanya untuk mengenal pasti siapa “orang kaya” tersebut, tetapi memastikan intervensi dasar yang lebih berkesan dalam menangani semua golongan yang terkesan. Tambahan pula, penarikan subsidi bahan api boleh menimbulkan keresahan rakyat kerana ia memulakan kitaran inflasi di mana kenaikan harga di satu bahagian ekonomi mencetuskan kenaikan di bahagian lain.
Sasaran KDNK lebih baik
Pada masa yang sama, unjuran KDNK yang lebih tinggi dilihat sebagai satu perkembangan positif. Walaubagaimanapun, negara perlu bersedia dengan langkah strategik bagi menghadapi ketegangan perdagangan ekonomi rakan dagang utama Malaysia seperti Amerika Syarikat dan China. Pelaburan perlu ditingkatkan dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mempelbagaikan produk semikonduktor kepada pasaran yang lebih pelbagai, seperti sektor automotif dan tenaga hijau. Selain itu, daya tahan ekonomi juga perlu ditingkatkan melalui pelaburan dalam pendidikan teknikal dan latihan kemahiran untuk menyediakan tenaga kerja yang mampu bersaing dalam sektor ekonomi berteknologi tinggi.
Kesimpulan
Penarikan subsidi bahan api bukan hanya soal pengurusan kewangan kerajaan, tetapi turut menyentuh sensitiviti kehidupan rakyat yang berdepan kos sara hidup yang meningkat. Dalam melaksanakan dasar ini, kerajaan perlu bersikap inklusif, memastikan tiada kelompok yang tertinggal. Dengan unjuran KDNK yang lebih positif, peluang untuk melabur dalam R&D dan pendidikan teknikal perlu diutamakan agar Malaysia mampu bersaing di peringkat global. Akhirnya, keberhasilan dasar harus dinilai berdasarkan sejauh mana ia mengurangkan keresahan rakyat dan meningkatkan kesejahteraan mereka, bukan sekadar angka-angka makroekonomi semata-mata.