Sifar Plastik 2030: Impian Yang Masih Jauh

Setiap kali memasuki bulan Ramadan, negara merekodkan peningkatan sisa domestik dan plastik yang sangat ketara. Menurut SWCorp, daripada 38,000 tan metrik sisa yang dikeluarkan setiap hari, sebanyak 44 peratus atau 17,000 tan metrik daripada sisa makanan. Rekod pada musim perayaan ini menunjukkan peningkatan 15 hingga 20 peratus berbanding waktu-waktu yang lain.

Peningkatan sisa makanan ini semestinya meningkatkan lagi penggunaan beg plastik bagi pembungkusan makanan. Amalan rakyat Malaysia untuk menggunakan plastik ini sepatutnya diubah, apatah lagi selepas Malaysia menjadi negara penyumbang kedua tertinggi pencemaran plastik di Asia seperti yang dilaporkan kajian Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia. Manakala Utility Bidder, sebuah pihak pembekal perkhidmatan keperluan tenaga di United Kingdom (UK) melaporkan Malaysia mendapat kedudukan 10 negara teratas di dunia paling banyak membuang plastik ke dalam laut.

Malangnya apa yang berlaku ialah peningkatan saban tahun. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh kajian Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia, penggunaan plastik meningkat dengan purata 1.16 kilogram pada 2018 kepada 1.68 kilogram pada 2022 bagi setiap individu.

Justeru, dengan hanya berbaki kurang enam tahun sebelum ternoktahnya Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030, sasaran negara dilihat semakin hari semakin pudar dengan trend pengguna semasa yang tidak masih lagi tiada kesedaran.

Fasa perubahan yang perlahan

Jika melihat kepada trend pengguna dengan fasa yang digariskan dalam pelan tersebut, Malaysia mengambil masa yang lama untuk berubah dari satu fasa ke fasa yang lain. Malah, kesedaran rakyat dilihat bermusim. Terdahulu kempen “no plastic straw”, promosi tersebut dilihat berjaya dengan penyebaran video penyu yang mati akibat daripada tertelan penyedut minuman plastik tersebut.

Begitu juga apabila larangan plastik sekali guna dipromosikan, pengguna mula membawa beg mereka sendiri. Namun, selepas beberapa ketika, amalan ini berhenti dan orang ramai kembali kepada cara lama mereka. Ini kerana caj 20 sen dilihat terlalu rendah dan orang ramai lebih sanggup membayar daripada bersusah tiada plastik. Walhal, beg plastik berharga 20 sen itu membawa impak yang amat besar terhadap alam kerana mengambil masa yang lama untuk terurai.

Di Pulau Pinang, kerajaan negeri mempunyai inisiatif sendiri dengan menaikkan caj sehingga RM1. Disebabkan itu, pengguna Pulau Pinang membawa beg boleh guna semula mereka sendiri. Persoalan lain yang timbul ialah ke manakah perginya duit caj ini. Ini kerana duit inilah yang sepatutnya digunakan untuk program kelestarian dan pemuliharaan alam sekitar, tetapi sehingga kini tiada hitam putih ke manakah duit itu telah disalurkan.

Fasa perubahan ini dilihat perlahan kerana kerajaan tidak menyediakan alternatif yang sesuai kepada pengguna. Walaupun Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata akan memberi tumpuan untuk menghapuskan plastik sekali guna dengan menggantikannya dengan plastik terbiodegradasi, alternatif yang diberi ini tidak strategik berikutan kos plastik terbiodegradasi ini masih mahal dan memerlukan syarat yang sangat khusus untuk dicapai di peringkat global.

Berbanding mengejar dan memaksa pengguna untuk membayar caj, kerajaan sepatutnya terus mengejar sumber pengeluaran plastik. Jika kerajaan benar-benar mahu menjadikan pelan ini satu kejayaan, perlu ada larangan ke atas pembuatan dan pengimportan plastik sekali guna, namun perlu juga ada satu ruang kepada pengilang untuk proses perubahan secara berperingkat agar mereka tidak terbeban.

Penguatkuasaan perlu dilakukan secara menyeluruh

Rata-rata peniaga di luar bandar masih tidak melaksanakan hasrat kerajaan untuk tidak lagi menggunakan plastik sekali guna. Hala tuju negara dilihat hanya berpusat kepada bandar dan mengetepikan kawasan luar bandar.

Ini kerana pelaksanaan dan penguatkuasaan yang tidak menyeluruh dek kerana tiada push factor kepada industri untuk bertukar. Perlu ada sesuatu yang kerajaan boleh tawarkan untuk membantu industri seperti memberi pengurangan cukai kepada peniaga yang mematuhi sasaran kerajaan.

Pada masa ini, kerajaan masih lagi meneruskan sasaran tiada lagi penggunaan beg plastik di semua premis dan sektor perniagaan di seluruh negara pada 2025 dan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030. Tidak banyak masa yang berbaki, tambahan lagi obsesi pengguna dalam penggunaan plastik saban hari semakin meningkat.

Kerajaan perlu mengkaji semula mengapa isu ini tidak mendapat sambutan masyarakat. Mungkin terdapat kesilapan dalam kaedah penyelesaian yang perlu dilihat semula dan perlu mendapat perhatian segera daripada kerajaan. Jikalau tidak, sasaran ini hanyalah akan menjadi satu angan-angan yang tidak kesampaian.

Picture of Izzat Tuan Ibharim

Izzat Tuan Ibharim

Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.1
Baca Artikel Penuh
WhatsApp Image 2025-01-09 at 3.05
Baca Artikel Penuh