RUU Baja Sabah: Model Pembaharuan Pertanian Di Peringkat Persekutuan

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Baja Pertanian 2025, menjadikan Sabah negeri pertama di Malaysia yang menggubal undang-undang khusus berkaitan baja. RUU ini bertujuan mengawal pengilangan, pengimportan, pengeksportan dan penjualan baja serta bahan mentahnya. Langkah ini bukan sahaja menunjukkan penelitian kerajaan negeri terhadap isu kualiti input pertanian, malah satu bentuk langkah kuasa autonomi Sabah selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang ingin dicapai oleh negeri tersebut.

Rasional Dasar: Mengatasi Kegagalan Pasaran

Pasaran baja di Malaysia sering diwarnai dengan lambakan produk tiruan yang kandungannya tidak menepati label dan merugikan petani. Masalah ini mencerminkan satu bentuk information asymmetry, di mana pengguna – khususnya pekebun kecil – tidak mempunyai keupayaan teknikal untuk menilai ketulenan baja. Sabah melalui RUU ini bertindak menangani kegagalan pasaran menerusi pengawalseliaan yang lebih ketat, satu langkah yang selari dengan teori ekonomi politik tentang keperluan intervensi kerajaan apabila pasaran gagal melindungi kepentingan awam. Dalam konteks Malaysia yang masih bergantung kepada pekebun kecil, langkah ini sangat relevan dan perlu diteladani.

Menariknya, Malaysia belum mempunyai akta persekutuan khusus yang mengawal standardisasi baja secara menyeluruh. Beberapa peruntukan berkait baja hanya terkandung dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Racun Makhluk Perosak 1974, itupun secara tidak langsung. Sabah melalui RUU ini tampil sebagai pelopor dan menunjukkan keberanian autonomi dalam urus tadbir sektor pertanian. Ia membuktikan bagaimana kuasa negeri boleh dimanfaatkan untuk menangani isu yang sangat kontekstual. Malah, pendekatan ini selari dengan aspirasi MA63 yang menuntut lebih banyak keupayaan legislatif diberikan kepada Sabah dan Sarawak.

Dalam kerangka dasar yang lebih luas, inisiatif Sabah ini harus dijadikan model rujukan oleh kerajaan Persekutuan untuk merangka satu Akta Baja Nasional yang komprehensif. Ini penting agar wujud penyelarasan antara negeri dan pusat, sekaligus membolehkan pasaran baja Malaysia ditadbir secara lebih sistematik, bersepadu dan berpandukan sains serta bukti.

Satu Reka Bentuk Perundangan Yang Seimbang Dan Praktikal

RUU ini menetapkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun bagi kesalahan biasa, dan sehingga RM100,000 atau penjara dua tahun untuk kesalahan berulang. Reka bentuk hukuman ini menunjukkan keseimbangan antara ketegasan dan galakan. Ia cukup tinggi untuk memberi isyarat pencegahan (deterrent), tetapi masih berpatutan untuk membolehkan pengusaha kecil menyesuaikan diri. Ini penting kerana dasar yang terlalu menghukum boleh membawa kesan sampingan seperti pasaran gelap atau penurunan inovasi dalam sektor baja.

Petani akan menjadi penerima manfaat utama menerusi jaminan bahawa setiap pembelian baja adalah berbaloi, berkualiti dan selamat digunakan. Sementara itu, syarikat baja tempatan mendapat peluang untuk bersaing dalam pasaran yang lebih adil dan telus. Dalam jangka panjang, dasar ini dapat mengurangkan kebergantungan terhadap subsidi input tani, kerana petani akan lebih berdaya hasil dengan input yang efisien.

Dari sudut kelestarian, pengawalseliaan baja secara tidak langsung membantu mengawal pencemaran tanah dan air akibat penggunaan baja sintetik berlebihan. RUU ini boleh diperkukuh dengan memasukkan insentif kepada pengeluar baja organik dan pelabelan mesra alam sebagai galakan tambahan. Ini juga bertepatan dengan agenda pertanian regeneratif dan amalan lestari global.

Apa Yang Diluluskan?

RUU Baja Pertanian 2025 Sabah dibentangkan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan. Menurut beliau, RUU ini akan membolehkan kerajaan negeri memantau pergerakan dan standard bahan input secara lebih menyeluruh. Antara kandungan pentingnya termasuk:

  • Perlesenan dan pendaftaran pengeluar, pengimport dan penjual baja.
  • Keperluan pelabelan dan kandungan yang tepat.
  • Pemantauan rantaian bekalan baja daripada pengilangan hingga ke pengguna.
  • Kuasa penguatkuasaan kepada pegawai negeri untuk menyita dan mengambil sampel.

RUU ini turut mewajibkan laporan tahunan daripada pemain industri, sekaligus mewujudkan satu ekosistem kawal selia yang dinamik dan berasaskan data.

Namun begitu, kejayaan pelaksanaan bergantung kepada keupayaan penguatkuasaan. Sabah perlu memperkukuh struktur agensinya — termasuk makmal ujian, pegawai teknikal, dan saluran aduan petani. Tanpa kapasiti pelaksanaan, RUU ini mungkin hanya tinggal di atas kertas. Di samping itu, isu ketelusan dalam pemberian lesen dan potensi pembentukan monopoli baja juga perlu ditangani secara proaktif, dengan membangunkan Pelan Pelaksanaan RUU yang inklusif, berpandukan kepada prinsip tadbir urus baik (good governance) dan sistem audit bebas.

Kesimpulan

RUU Baja Pertanian 2025 merupakan satu langkah reformis yang menunjukkan kesungguhan Sabah memperkukuh sektor pertaniannya melalui pendekatan kawal selia yang berasaskan realiti tempatan. Ia menyelesaikan masalah kegagalan pasaran, memberi manfaat berganda kepada petani dan industri tempatan, serta menyumbang kepada matlamat kelestarian.

Langkah ini juga menyerlahkan potensi sebenar kuasa negeri dalam menambah baik dasar-dasar yang selama ini kurang diberi perhatian di peringkat pusat. Maka, sudah tiba masanya bagi Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk menggubal satu kerangka undang-undang nasional berkaitan baja yang lebih menyeluruh, bersepadu dan berteraskan keadilan agroekonomi — agar setiap inci tanah yang diusahakan petani kita menghasilkan bukan sekadar makanan, tetapi masa depan yang berdaulat.

Picture of Izzat Tuan Ibharim
Izzat Tuan Ibharim
Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan