Dekad ini telah menjadi tetingkap masa yang penting untuk masyarakat global cakna dengan isu alam sekitar dan perubahan iklim. Secara kolektif, setiap individu telah menyumbang sejumlah jejak karbon menerusi penggunaan tenaga, pengangkutan, pemakanan dan sebagainya.
Para pemerintah menggunakan polemik alam sekitar sebagai salah satu instrumen politik mereka, sekurang-kurangnya itu yang berlaku di kebanyakan negara maju. Antara yang mereka lakukan adalah dengan mewujudkan satu kementerian yang khusus, menghadiri persidangan antarabangsa dan mendanai pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan kelestarian.
Kumpulan elitis dan kapitalis turut tidak mahu ketinggalan memaparkan imej mereka yang pro kelestarian. Untuk mendapatkan sokongan awam, mereka menempelkan slogan hijau dalam produk dan kempen pemasaran mereka. Sama ada benar produk mereka menyumbang kepada alam sekitar yang lebih sihat, itu bukan keutamaannya.
Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, kita perlu meneliti penemuan saintifik dan bukti empirikal sebelum mahu mengatasi konflik alam sekitar dan kelestarian negara. Hal ini penting supaya apa jua bentuk desakan dan perubahan yang kita ingin pihak berkuasa lakukan bukannya berdasarkan sentimen sahaja.
Untuk itu, kita akan mendalami beberapa faktor yang menjadi kayu ukur bagi menentukan tahap prestasi alam sekitar sesebuah negara berdasarkan laporan Environmental Performance Index (EPI) 2022. EPI menilai 40 petunjuk yang meliputi 11 kategori isu di bawah tiga objektif polisi iaitu Environmental Health, Ecosystem Vitality dan Climate Change.
Malaysia pada umumnya berada di kedudukan 130 daripada 180 negara. Dalam kalangan negara Asia Pasifik pula, Malaysia berada di ranking 14 daripada 25 manakala keempat daripada 10 negara ASEAN, di belakang Singapura, Brunei dan Thailand.
FAKTOR EKONOMI
Ramai yang mungkin menyangka, semakin kaya sesebuah negara, semakin baik prestasi mereka dalam pemeliharaan alam sekitar namun hakikatnya ia separa benar. Rajah di bawah menunjukkan hubungan antara skor EPI dengan KDNK per kapita ialah positif, tetapi tidak bermakna semua negara yang berpendapatan tinggi mencatatkan ranking EPI yang baik, sebagaimana USA (43), Arab Saudi (109) dan Qatar (137).
Negara yang kaya serta mencatatkan KDNK per kapita yang tinggi mampu untuk meletakkan sejumlah pelaburan dalam aplikasi teknologi seperti sistem tenaga boleh baharu. Pelaburan tersebut juga boleh merancakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan produk inovasi yang berupaya mengurangkan pencemaran dan melindungi kesihatan awam dengan lebih berkesan.
Dari sudut perindustrian pula, besar kecil sektor pembuatan negara tidak semestinya menatijahkan kesan alam sekitar yang buruk atau baik, sebagaimana anggapan umum. Tidak terdapat perkaitan yang kuat antara elemen Kesihatan Alam Sekitar dengan sektor pembuatan. Ini bermakna, negara perindustrian tidak perlu pun mengorbankan kesihatan awam untuk melonjakkan pembangunan ekonomi mereka.
FAKTOR URUS TADBIR
Aspek urus tadbir negara yang baik akan membolehkan penyertaan orang awam dalam pembangunan dasar, mengecilkan potensi korupsi serta menggalakkan perbahasan yang menekan pemimpin untuk melaksanakan langkah pemuliharaan alam sekitar yang berkesan.
EPI menilai aspek urus tadbir sesebuah negara menerusi 3 lensa berdasarkan Worldwide Governance Indicators iaitu Keberkesanan Pentadbiran (governance effectiveness), Kualiti Perundangan (regulatory quality) dan Kedaulatan Undang-undang (rule of law).
Untuk aspek yang pertama, Keberkesanan Pentadbiran dilihat amat berkait rapat dengan kualiti udara (r=0.68), kebersihan & air minuman (0.80) serta pengurusan sisa (0.76). Skor yang tinggi ini natijah apabila perkhidmatan awam diberikan peruntukan yang sewajarnya, dilengkapi dengan kakitangan yang mencukupi dan bebas daripada tekanan politik.
Namun, perubahan iklim berada dalam senario yang unik apabila terdapat perkaitannya yang rendah dengan faktor urus tadbir (r<0.5). Hal ini bermakna, meskipun perusahaan yang melepaskan gas rumah hijau mematuhi undang-undang iklim, tetapi undang-undang tersebut mungkin tidak cukup ketat untuk memaksa negara terbabit mencegah kesan perubahan iklim.
FAKTOR SOSIAL
Human Development Index (HDI) antara salah satu radas yang digunakan untuk mengukur perkaitan aspek sosial dengan kualiti alam sekitar. Indeks ini mengambil kira kriteria kehidupan yang panjang dan sihat, menjadi berpengetahuan serta gaya hidup yang baik. Aspek sosial sebegini perlu diberi perhatian kerana pemboleh-pemboleh ubah yang terkait memberi kesan dan terkesan dengan satu sama lain.
Contohnya, taman hijau di kawasan urban menggalakkan aktiviti fizikal untuk penduduk berhampiran selain turut menurunkan suhu persekitaran dengan teduhan dan transpirasi tumbuhan. Hal ini membuktikan bahawa penggubal dasar boleh memperkenalkan polisi yang dapat menambah baik kesihatan alam sekitar dan kualiti hidup manusia, pada masa yang sama.
KESIMPULAN
Apa yang kita perlu lakukan? Malaysia dalam trajektori ekonomi yang cergas selaras dengan pengenalan beberapa rangka kerja baharu seperti National Energy Transition Roadmap (NETR) dan New Industrial Master Plan (NIMP). Rangka kerja sebegini akan mencipta pendapatan tambahan buat negara, cuma sejauh mana usaha tersebut tidak mencederakan lagi keadaan alam sekitar kita?
Di sebalik rangka kerja dan perancangan dasar yang dikarang kemas itu, bagaimana pula pelaksanaan dan penguatkuasaanya? Kita bukannya ketandusan bijak pandai melainkan keazaman politik yang lemah dan kemelaratan korupsi yang kian membarah. Itu prasyarat penting untuk melihat kelestarian alam sekitar terus dapat dipelihara dan dipulihara.